SATU video Youtube daripada akaun Lost Adventures di Britain menarik perhatian ramai penonton di Malaysia.
Video berdurasi 12.01 minit itu memaparkan pengembaraan dua anak muda memasuki bangunan terbiar dan menjumpai beberapa unit kereta mewah dan prototaip. Ruang berkenaan kelihatan seperti garaj menyimpan koleksi kenderaan selain perkakasan mekanik. Malah ada komponen seperti enjin dan alat ganti lain.
Namun, apa yang menarik perhatian, sebalik barisan kereta mewah di bangunan milik Bristol Cars itu terselit sebuah Proton Perdana hitam dengan nombor pendaftaran VK 5231. Lebih pelik Perdana tersadai bersama kereta mewah lain itu sebenarnya dikeluarkan dalam unit terhad dan tidak dijual intuk pasaran luar.
Sedan eksekutif generasi kedua itu didaftarkan sekitar 2016-2017. Difahamkan model itu sebenarnya milik mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ini disahkan sendiri laman Facebook Kelab Che Det menerusi beberapa dokumen sokongan surat rasmi mengeksport model itu ke Britain.
Kereta Proton Perdana bernombor plat VK 5231 tu didaftarkan atas nama Mahathir bin Mohamad. Untuk pengetahuan, bangunan tersebut milik Bristol Cars, pemilik dia Kamal Siddiq, seorang usahawan warganegara Britain berdarah Pakistan. Macam mana pulak kereta Tun M boleh ada dekat UK ni? Cerita dia bermula pada akhir tahun 2016 bila Tun M pergi ke UK dan ada berbincang dengan Kamal Siddiqi untuk convert kereta biasa kepada kereta hibrid melalui syarikat R&D milik Kamal iaitu Frazer Nash Research Limited yang berpengkalan kat UK."
Menurut surat rasmi itu, yang dikeluarkan Tun Mahathir pada 4 Januari 2017, sepatutnya selepas selesai proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), Perdana tersebut akan dikembalikan semula ke Malaysia. Bagaimanapun, kereta itu dibiarkan tersadai bersama koleksi kereta mewah dan prototaip lain.
KENAPA FRAZER-NASH GROUP?
Difahamkan Frazer-Nash Group ialah pakar dalam teknologi kenderaan elektrik dan pernah membekalkan kenderaan elektrik ke Malaysia ketika menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.
Hubungan syarikat itu dan Malaysia bukan setakat itu, tetapi sebelum itu pernah juga bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad pada 1996 yang sepatutnya menghasilkan kereta elektrik pertama Malaysia. Namun, semua perancangan tidak menjadi kenyataan dan segalanya jadi terbiar apabila memasuki era milenia sekitar awal 2000-an.
BACA >>> Geely Preface (2021) Didedahkan, Beri Bayangan Proton Perdana Baharu?
BACA >>> Tengku Laksamana Selangor Beli Proton Perdana 'Custom Made'
Leave a Reply