POPULARITI segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) memang tengah mencanak di pasaran automotif dunia hari ini, dan Malaysia juga tidak terkecuali. Model-model SUV pelbagai jenama mendapat sambutan hangat di pasaran. Boleh dikatakan setiap pengeluar utama tempatan memiliki model SUV taruhan masing-masing.
Walaupun hari ini kita boleh melihat banyak kelibat SUV di mana-mana jalan raya Malaysia, tetapi sedan masih lagi menjadi segmen paling popular negara ini. Buktinya, separuh daripada 10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019 dikuasai model sedan seperti Perodua Bezza, Proton Saga, Honda City, Proton Persona dan Toyota Vios.
Maknanya, pembeli kita masih meletakkan sedan sebagai pilihan utama dalam pembelian kereta mereka. Malah, Malaysia juga mempunyai kelompok pembeli sedan terbesar di Asean.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Perbezaan SUV dan Crossover?
Kenapa orang Malaysia sukakan sedan berbanding SUV?
1. LEBIH SELESA, MUDAH AKSES
Sedan memang lebih selesa berbanding SUV. Sedan menawarkan keselesaan pemanduan jarak jauh dan dekat sama ada di lebuh raya yang memerlukan pemandu memecut laju atau di bandar sesak yang perlu banyak henti dan gerak. Ergonomik sedan juga lebih selesa dari segi posisi duduk, dan akses keluar-masuk kabin untuk pemandu dan penumpang tanpa mengira peringkat umur.
Keluar-masuk ke kabin SUV nampak leceh dan memenatkan bagi penumpang warga emas dan kanak-kanak.
2. PRAKTIKAL DI BANDAR, RELAKS DI LEBUH RAYA
Semestinya sedan lebih mudah dikendalikan di bandar berbanding SUV. Pasti ramai setuju yang sedan lebih senang melakukan kerja memarkir kenderaan dengan pantas. Ini kerana saiz SUV lebih tinggi dan pemandu memerlukan lebih ruang dan masa untuk memasukkan kenderaan ke petak parkir.
Saiz sedan yang rendah memberikan sudut pandang keliling luas untuk pemandu memantau situasi sekeliling kereta mereka. Tugas memotong kenderaan depan juga mudah dan pantas dilakukan dengan sedan, terutama situasi kritikal yang memerlukan pemandu segera masuk atau tukar lorong.
Paling utama, bonet sedan sudah tentu lebih besar daripada SUV, dan juga tertutup rapi.
BACA >>> Ford Puma (2020) - SUV Kecil 1.0L dengan Ciri Keselamatan Tinggi
3. PRESTASI DAN TEKNOLOGI TERKINI
Sedan sentiasa menjadi model perdana sesebuah pengeluar yang akan dilengkapkan dengan spesifikasi dan teknologi terkini. Model sedan biasanya akan menjadi perintis kepada teknologi yang akan digunakan model segmen lain selepas itu.
Agihan kuasa, berat jentera dan profil badan sentiasa menjadikan sedan sebagai segmen yang lebih superior berbanding SUV dalam aspek prestasi atas jalan.
4. LEBIH EKONOMI, EKSTRA NILAI
Ada dua kelebihan ekonomi dimiliki sedan, iaitu ekonomi bahan api, dan ekonomi poket.
Sedan menawarkan kadar penggunaan bahan api yang lebih jimat. Logiknya mudah, saiz badan sedan lebih kecil dan ringan daripada SUV.
Malah, secara am, harga jualan sedan lebih murah jika dibandingkan dengan SUV. Alasannya juga sama seperti faktor ekonomi bahan api, iaitu saiz sedan lebih kecil dan ringan. Jadi, komponen digunakan juga tidak sebesar SUV dan ini secara langsung turut ada hubung kait dengan kos penyenggaraan yang lebih mampu milik.
5. LEBIH GAYA, ADA STAIL
Dimensi sedan yang rendah, panjang dan lebar menawarkan lebih kebebasan kepada pereka untuk menghasilkan rekabentuk yang mampu memenuhi kecantikan sesebuah kereta. Ini berbeza dengan SUV yang memiliki dimensi badan tinggi dan tidak seimbang.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapakah Tork Penting untuk Kenderaan?
Aloya says
Sekali dah naik dan bawa SUV dah tak pandang sedan. Bila tukar bawa sedan dah rasa tak best.