SEDAR tidak sedar memandu kereta pada hari ini jauh lebih selamat berbanding kereta buatan sedekad lalu. Terima kasih kepada pelbagai teknologi bantuan pemanduan yang dicipta dan diperkenalkan pengeluar kenderaan.
Produk kereta moden kini bukan hanya bersaing dari segi prestasi semata-mata, tetapi juga berlaku perlumbaan teknologi, terutama yang menyentuh aspek keselamatan. Malah, kereta masa kini turut dilengkapkan ciri bantuan pemandu yang mampu memudahkan kerja-kerja pemanduan seharian.
Sesertengah orang percaya kereta dengan teknologi terlalu banyak akan menghilangkan fiil memandu. Namun, pada masa sama mereka juga tidak dapat menafikan manfaat ditawarkan. Sebenarnya, ada banyak teknologi keselamatan yang ditawarkan pengeluar.
Namun, dalam artikel ini kami senaraikan enam [6] teknologi keselamatan yang paling hot dan top masa kini.
BACA >>> 10 Teknologi Angkasa dalam Kereta Nissan Hari Ini
1. KAWALAN JELAJAH ADAPTIF (ACC)
Sistem Kawalan Jelajah (cruise control) kali pertama muncul pada akhir abad 40-an. Fungsinya mudah, cuma pilih kelajuan diinginkan dan kereta akan bergerak stabil pada halaju ditetapkan itu hingga pemandu membatalkan sistem dengan menekan brek.
Sistem Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) muncul pada 1999 untuk menyelesaikan kekurangan ciri Kawalan Jelajah asas. Sistem. ACC berfungsi lebih pintar kerana mampu mengubah halaju kereta dipandu mengikut kenderaan di depan tanpa mengabaikan jarak keselamatan dengan mengawal tekanan brek.
Sensor ACC dipasangkan di depan kereta, berfungsi menyesuaikan halaju mengikut kenderaan depan tetapi tidak melebihi halaju ditetapkan pemandu.
Bagaimanapun, sistem ini hanya berfungsi di lebuh raya dan masih belum cukup pintar dalam situasi lalu lintas sesak.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu Teknologi Keselamatan Jelajah (Cruise Safety)?
2. KAMERA 360º
Peraturan di Amerika Syarikat (AS) mewajibkan semua kereta yang dijual di negara itu dilengkapi kamera belakang bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan pejalan kaki ketika mengundur.
Terkini, sudah banyak kereta moden hari ini dilengkapkan kamera pandang keliling 360º untuk membantu pemandu memantau situasi sekeliling. Ciri ini cukup berguna ketika hendak memarkir kenderaan, terutama bersaiz besar, atau masuk ruang sempit.
Masih menjadi ciri premium kereta-kereta di Malaysia, tetapi peranti aftermarket sudah boleh dibeli dan dipasang di kedai aksesori.
3. BANTUAN PARKIR
Ciri ini sangat berguna kepada mereka yang kurang cekap dalam urusan keluar masuk parkir, terutama apabila hendak memakir kereta secara sisi atau petak sempit. Sistem bantuan parkir menggunakan kamera dan sensor sekeliling untuk meletakkan kereta secara automatik.
Walaupun tidak boleh percaya sepenuhnya kepada sistem ini, tetapi ia tetap teknologi yang cukup membantu. Cara menggunakannya, pemandu hanya perlu teka butang parkir dan cari petak kosong. Kemudian sistem secara automatik akan menghala dan bergerak ke petak kosong itu.
Apapun ingat, ini cuma ciri sokongan. Pemandu masih perlu memantau situasi sekeliling, manakala kaki perlu sentiasa bersiap sedia pada pedal brek.
4. KAMERA IMEJ MALAM
Kamera pandang malam (night vision) tidak hanya ada pada kenderaan tentera atau dalam filem fiksyen sains, tetapi sudah ada banyak kereta mewah turut memiliki sistem ini. Ciri ini membolehkan pemandu mengesan kelibat objek di jalan raya yang sukar dilihat mata kasar seperti pejalan kaki, atau haiwan.
Ada dua jenis kamera digunakan, iaitu pasif dan aktif. Kamera pasif menggunakan termal untuk mengesan manusia atau haiwan, manakala kamera pasif menggunakan sinar inframerah untuk pencahayaan. Buat masa ini, hanya model mewah seperti Mercedes-Benz, BMW, dan Cadillac dilengkapi kamera pandang malam.
5. AMARAN MENGANTUK
Keletihan adalah antara punca utama kemalangan jalan raya peringkat global. Ini juga sebab utama yang mendorong kepada pengenalan sistem amaran mengantuk untuk mengesan sebarang gejala, respon atau reaksi pemandu yang keletihan atau mengantuk.
Sistem amaran mengantuk menggunakan kamera dan sensor yang mensasarkan pemandu untuk memantau ciri seperti posisi kerusi pemandu dan kelopak mata. Kemudian, teknologi kepintaran buatan (AI) akan mengumpul maklumat dan menganalisis sebarang gejala keletihan. Dari situlah sistem akan mengeluarkan amaran sama ada secara audibel menggunakan bunyi atau respon seperti menggetarkan kerusi atau stereng.
BACA >>> Steer - Peranti Anti-Tidur yang Guna Elektrik untuk Kejutkan Pemandu Mengantuk
6. AMARAN PERLANGGARAN
Sistem ini bertanggungjawab menilai situasi lalu lintas sekitar kereta dipandu dan memberi amaran jika mengesan sebarang risiko perlanggaran dengan kenderaan lain. Jika diperlukan, sistem mampu mengambil alih kawalan kereta dengan membrek automatik bagi mengelak rempuhan.
Ciri keselamatan ini paling banyak memberikan manfaat kepada ramai pemandu. Malah model kereta bukan premium pun sudah dilengkapkan ciri ini seperti Myvi dengan teknologi bantuan pemandu A.S.A.
Namun, teknologi amaran perlanggaran ini juga ada beberapa kelemahan seperti mengeluarkan isyarat amaran terlalu awal atau automatik walaupun bukan dalam situasi mencemaskan.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Teknologi Keselamatan Perlanggaran (Crash Safety Technology)?
Leave a Reply