SUDAH lama pengguna tidak dikhabarkan mengenai model Proton mendominasi segmen kereta penumpang. Senario itu berubah menerusi debut X70 yang berjaya menduduki takhta kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C.
Di sebalik kejayaan itu, Proton sebenarnya bekerja keras untuk menghasilkan SUV yang benar-benar sesuai dengan kondisi Malaysia. Ini kerana X70 diletakkan sebagai model penanda aras penting dalam usaha Proton mengukuhkan dan meningkatkan jenama pengeluar itu ke tahap baharu. Senang kata, X70 perlu sempurna yang bukan sekadar menukar logo saja.
Umum tahu X70 diasaskan daripada Geely Boyue yang dijual di pasaran China sebagai model pemanduan sebelah kiri (LHD). Secara konsep, nampak mudah dan cuma perlu mengalihkan stereng kiri ke kanan. Namun, faktanya ia bukan semudah itu.
BACA >>> #TahukahAnda: 14 Fakta Transmisi Proton X70 - 7DCT yang Perlu Anda Tahu
Ada 761 komponen perlu ditukar dan selain stereng, banyak lagi yang perlu dilakukan Proton seperti:
- Papan pemuka (posisi diubah dan dijajarkan semula
- Konsol stereng
- Pedal
- Kawalan pintu
- Brek
- Transmisi
- Pengelap cermin
- Saluran penyaman udara
- Kotak simpanan (glovebox)
- Kabel dan wayar
Semua 761 komponen itu tidak termasuk fungsi dan ciri yang perlu dibikin semula (reengineered) sepenuhnya.
BACA >>> Proton X70 CKD Lancar! 10 Perkara Perlu Anda Tahu, Harga Bermula RM94,800!
PERLU LASAK, TAHAN CUACA
Dari segi geografi, Malaysia terletak di utara Khatulistiwa (equator) dengan cuaca tropika yang memberikan panas dan hujan sepanjang tahun. Jadi, X70 perlu menjalani ujian dinamakan 'tropikalisasi' kerana banyak komponen Boyue direka untuk pasaran China dan tidak sesuai dengan suhu Malaysia.
Antara perlu ditukar ialah unit pendinginan dan getah. Proton nampaknya begitu mengambil berat dengan sistem penyaman udara dan tidak hairanlah model-model Proton sejak dulu terkenal dengan unit penyaman udara yang lasak, sejuk dan beroperasi baik.
Selain itu perubahan kondisi muka bumi dan altitud juga diambil kira yang mana sistem pengurusan enjin perlu dikalibrasikan semula (recalibration).
Secara ringkas, X70 perlu tahan kesesakan di Kuala Lumpur yang mencapai suhu 34ºC setiap hari, mampu dipandu ke Genting Highlands pada ketinggian lebih 6,000 kaki dengan udara sejuk dan berupaya menempuh kondisi rupa bumi ekstrem di Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak.
PENUHI STANDARD TEMPATAN, LULUS UJIAN PERLANGGARAN
Selepas perubahan penyaman udara dan penukaran bahagian pemanduan, X70 juga perlu menjalani ujian ketat lain supaya menepati kondisi tempatan.
Daripada 548 ujian dijalani Boyue ketika mula dibangunkan, sebanyak 25 peratus perlu diuji semula bagi memastikan SUV itu sesuai dengan persekitaran dalam negara kita. Ujian dilakukan membabitkan aspek prestasi, pemanduan dan pengendalian, pembrekan, emisi, keselamatan, berat, termal, kawalan suhu, keserasian elektromagnetik, aerodinamik, ergonomik, ketahanan, dan NVH (bunyi, getaran dan kekasaran).
X70 turut perlu mematuhi piawaian undang-undang dan spesifikasi tempatan, yang disebut sebagai homologasi. Dari segi keselamatan, kenderaan di Malaysia perlu memenuhi piawaian Asean NCAP yang berbeza berbanding kriteria C-NCAP di China.
Bahan api digunakan juga berbeza kerana China masih menggunakan RON92, sedangkan kenderaan di Malaysia sudah beralih kepada petrol gred tinggi jenis RON95 atau RON97. Perbezaan oktana bermakna minyak digunakan di negara kita lebih sukar dicucuh (ignite) dan lebih tahan ketukan (knocking), sekali gus memerlukan enjin dilaras semula untuk memaksimumkan prestasi dan aspek kecekapan.
BACA >>> Proton X50 Sah Masuk Malaysia, Ini 6 Perkara Yang Kami Tahu Setakat Ini
PEMBEKAL, KEPAKARAN TEMPATAN DAN JALINAN KERJASAMA
Selain komponen berbeza, tidak dilupakan juga aspek sumber dan material pembekal tempatan. Pada peringkat awal, pembekal tiada kepakaran menghasilkan komponen diperlukan, tetapi kini berjaya diatasi melalui jalinan kerjasama (JV) dan perjanjian bantuan teknikal daripada pembekal Geely di China.
Hasilnya dapat dilihat pada penghujung 2019 yang mana hampir 45 peratus komponen X70 dibekalkan syarikat tempatan dan disasarkan meningkat lebih 8 peratus menjelang penghujung 2020. Ini turut membantu menambah pengetahuan dan penawaran tempatan serta membolehkan vendor tempatan menghasilkan komponen untuk pengeluar lain sama ada di dalam atau luar negara.
Projek Proton-Geely turut melibatkan 95 jurutera Proton dalam proses transformasi Boyue kepada X70 yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengujian. Bersama juruteknik dari bahagian pembuatan dan kualiti Proton, secara keseluruhannya sekitar 200 orang dihantar ke Geely di China dalam jangka masa enam bulan untuk proses penghasilan X70.
Semua individu tersebut membawa pulang pengetahuan dan pengalaman berharga daripada Geely yang seterusnya mampu mempertingkatkan lagi keupayaan kejuruteraan Proton. Dengan proses semakan dan ekstensif tersebut pengguna dapat mengetahui kenderaan dihasilkan Proton bukan setakat copy-and-paste, tetapi sebenarnya melalui proses kejuruteraan dan pengujian berat sebelum ditawarkan kepada pasaran.
Tidak menghairankan apabila unit prototaip Proton dengan seragam kamoflaj kerap ditemui di sana sini yang ramai menganggap sebagai propaganda jualan. Sebenarnya tidak begitu.
BACA >>> Proton X70 (2020) Kini Dilengkapi Sistem Penulenan Udara Pintar-Proton (P-IAPS)
SUMBER: ZGH/Proton
Leave a Reply