TOYOTA Hilux baharu versi dipertingkat (facelift) diperkenalkan pada Jun tahun ini di Thailand dan pembeli Malaysia tidak perlu menunggu lama kerana tempahan sudah pun dibuka.
Di Jepun pula, Hilux facelift sudah berada di pasaran sejak 19 Ogos lalu. Sebenarnya ada kisah menarik mengenai Hilux facelift ini.
Walaupun Toyota berasal dari Jepun, tetapi Hilux sebenarnya sudah dihentikan pengeluaran pada 2005, iaitu setakat generasi keenam sahaja sebelum kembali ke pasaran pada 12 September 2017 selepas 13 tahun tiada pengganti.
Seperti pasaran lain, Hilux generasi kelapan dipasangkan di Thailand sebelum diimport ke Jepun sebagai model domestik JDM. Sejak 2017, Hilux juga satu-satunya trak pikap JDM di Jepun dan selain digunakan untuk perniagaan, ia digemari pemandu muda yang mahu bergaya.
BACA >>> Toyota Hilux (2020) Buka Tempahan, Harga Anggaran Mula RM94k!
Dari segi rekabentuk luaran, Hilux JDM tampak sama seperti versi Thailand kecuali gad bawah bampar depan, paten rim dan cermin sisi pada fender kiri.
Hilux JDM ditawarkan dalam dua varian, iaitu Z dan X sebagai model asas dengan rim besi, manakala Hilux spesifikasi Thailand meriah dengan varian Revo Rocco, Revo Prerunner, Rezo Z-Edition dan Revo B-Cab. Walaupun tampil ringkas, tetap terasa aura sebuah kenderaan JDM walaupun asal-usulnya diimport dari Thailand.
Menggerakkan Hilux JDM ialah enjin 2.4L 2GD-FTV diesel turbo berkuasa 148hp dan tork 400Nm serta dipadankan transmisi automatik 6-kelajuan Super ECT yang digerakkan dalam sistem pacuan empat roda (4WD).
Kadar penggunaan bahan api ialah 13.6km per liter (JC08) berdasarkan mod pemanduan campuran antara bandar, luar bandar dan lebuh raya. Di pasaran luar, Hilux didatangkan dalam beberapa jenis enjin seperti 2.8L 1GD-FTV diesel turbo dan 2.7L 2TR-FE petrol. Begitu juga pilihan transmisi, pembeli ditawarkan opsyen manual 6-kelajuan atau pacuan dua roda (2WD).
Ciri keselamatan pula, selain sistem praperlanggaran dan amaran tukar lorong, varian Hilux Z dilengkapkan sensor sonar untuk mengesan kenderaan yang menghampiri belakang dan depan, sebelum pemandu diberikan notifikasi amaran. Turut ditambah pada Hilux Z ialah ciri diferensial gelincir terhad (LSD) Auto yang berfungsi mengagihkan kuasa enjin pada roda kanan dan kiri ketika melalui selekoh dan jalan mencabar untuk meningkatkan cengkaman.
Hilux facelift JDM ini turut dilengkapi Kawalan Aliran Variabel (Variable Flow Control) yang mengawal kadar aliran minyak stereng kuasa selain perubahan suspensi untuk kestabilan dan keselesaan lebih baik.
Hilux Z dijual pada harga 3,876,000 yen (RM153,200), manakala Hilux X berharga 3,471,000 yen (RM137,122) dengan sasaran jualan 400 unit sebulan.
BACA >>> Toyota Corolla Apex Edition - Sedan Edisi Terhad untuk Pemanduan Sporty
Leave a Reply