KENDERAAN Pelbagai Guna (MPV) sebenarnya adalah satu segmen yang mudah diterima di kebanyakan pasaran di dunia. Sama ada di Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia, Indonesia atau Malaysia, pengguna memerlukan kenderaan jenis ini.
Di AS, saingan MPV sengit dengan pengguna ditawarkan pelbagai jenis model sama ada dari jenama AS sendiri atau jenama Asia seperti Honda, Toyota dan Kia. Sifir keperluan MPV mudah dan sama seperti dahulu, jumlah penumpang yang boleh dibawa bersama. Jika sebelum ini pengguna ditawarkan dalam bentuk van, sekarang sudah berubah dengan MPV yang lebih mewah dan canggih.
BACA >>> #PanduUji: Kia Grand Carnival 2.2L Turbo Diesel, MPV Paling Sedap di Malaysia?
Terbaharu, Kia memperkenalkan Carnival generasi keempat dengan terma berbeza iaitu Grand Utility Vehicle. Sebelum itu, Carnival generasi pertama atau Naza Ria popular di negara kita dengan generasi ketiga turut ditawarkan di pasaran tempatan.
Berikut ialah perincian Kia Carnival generasi keempat:
Rekabentuk Luaran
- Dibina berasaskan platform saiz sederhana Kia yang menawarkan lebih ruang berbanding model dahulu.
- Rekabentuk diilhamkan daripada model kenderaan utiliti sukan (SUV). Sekali pandang nampak seperti SUV yang dipanjangkan.
- Berbanding model dahulu, MPV ini mempunyai unjuran (overhang) depan lebih pendek, bahagian bawah pilar-A dianjak ke belakang untuk bonet lebih panjang.
- Jarak roda 3,090mm (+30mm), lebar 1,995mm (+10 mm), panjang keseluruhan 5,155mm (40mm), unjuran belakang 1,130mm (+30mm).
- Bahagian tepi ringkas dengan satu garisan karakter dan gerbang roda mengembang.
- Rekaan bumbung pulau (island roof) dengan pilar-A dan pilar-B dihitamkan. Pilar-C seperti sirip dengan warna krom dan corak berlian kabur.
- Rekaan hidung harimau selebar kenderaan dengan lampu siang (DRL) LED, lampu utama dan gril disatukan.
- Bahagian belakang tampil bersahaja dengan lampu selebar kenderaan. Gaya SUV ditonjolkan melalui plat skid pada bampar.
- Tiga saiz rim aluminium: 17, 18 dan 19 inci mengikut spesifikasi.
Rekabentuk Dalaman
- Direka menggunakan konsep Spatial Talents yang menawarkan teknologi tinggi, menenangkan dan persekitaran bergaya yang ideal untuk perjalanan keluarga.
- Rekabentuk papan pemuka dengan skrin panoramik yang menggabungkan teknologi dua skrin infotainment dan kawalan sentuh haptik.
- Bergantung pada pasaran, ada tiga atau empat baris tempat duduk dengan ruang untuk tujuh, lapan atau 11 penumpang.
- Kerusi penumpang belakang boleh dipusingkan kepada bentangan berdepan.
- Lebih ruang untuk penumpang baris ketiga.
- Varian 7-kerusi mempunyai kerusi Premium Relaxation Seat untuk penumpang barisan kedua.
- Jika kerusi barisan pertama digunakan, saiz ruang belakang seluas 2,905 liter (VDA, jenis kerusi tiga barisan).
- Ruang belakang kerusi barisan ketiga mempunyai kapasiti 627 liter (sehingga barisan atas penyandar kerusi).
Rangkaian Kuasa
- Ada tiga pilihan jenis enjin petrol dan diesel.
- Paling berkuasa, 3.5L GDi V6 (291hp, 355Nm).
- 3.5L MPi V6 (269hp, 332Nm).
- 2.2L Smartstream diesel. Bakal ditawarkan untuk banyak pasaran global dan antara enjin diesel paling bersih pernah dihasilkan Kia dengan kuasa 199hp, 440Nm.
- Semua enjin dipadankN bersama transmisi automatik 8-kelajuan.
Teknologi Keselamatan
- Bergantung pasaran, dilengkapi teknologi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS). Antaranya ialah:
- Bantuan Pengelakan Pelanggaran Berdepan (FCA) dengan pengesanan kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal.
- Bantuan Laluan Susur (LKA), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Had Kelajuan Pintar (ISLA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Monitor Pandangan Titik Buta (BVM).
- Bantuan Lampu Puncak (HBA), Kawalan Jelajah Pintar (SCC) atau SCC berasaskan navigasi (NSCC).
- Bantuan Ikut Laluan (LFA), Bantuan Pemanduan Lebuh Raya (HDA), Monitor Pandangan Keliling (SVM), Monitor Pandangan Belakang.
- Bantuan Pengelakan Pelanggaran Trafik Belakang (RCCA), Amaran Jarak Meletak Kenderaan (PDW) depan dan belakang.
- Tambahan baharu, Bantuan Keluar Dengan Selamat (SEA). Menghalang pintu gelungsur belakang dari terbuka dan penumpang muda keluar apabila sistem mengesan kenderaan menghampiri dari belakang atau sudut bertentangan.
- Sistem Brek Berbilang Pelanggaran (Multi-Collision Brake System), mengelak penambahan kerosakan akibat pelanggaran kali kedua.
- Standard dengan Pengurusan Penstabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC) dan sehingga tujuh beg keselamatan.
Carnival (2020) baharu sudah pun mula dijual di Korea Selatan dan sejumlah pasaran global Kia akan menyusul dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Ramai positif Carnival (2020) akan dibawa masuk ke pasaran tempatan berdasarkan pakej model itu sebagai MPV yang bagus dan boleh mendapat perhatian umum asalkan kena pada harga. Carnival generasi ketiga yang dijual sekarang sudah pun menawarkan pakej nilai bagus dan kami memang teruja mahu mencuba Carnival baharu ini kerana menawarkan saiz lebih besar.
Jika kena pada harga, populariti Carnival atau Naza Ria tidak mustahil berulang semula.
BACA >>> Kia Sorento, Sportage Lama Kekal Laku Keras di AS Sepanjang Julai 2020
Leave a Reply