CERITA pasal Jochen dan Ruben Gravemade ini sedang hangat tular di media sosial selepas dua kembar dari Belanda itu memandu Proton Wira (dengan seragam Teksi Malaysia) di Litar Nurburgring, Jerman.
Siapa kembar ini? Dan kenapa mereka tergila-gilakan Wira dengan seragam Teksi Malaysia?
Jochem dan Ruben adalah pemilik akaun Instagram dan YouTube Dutch DIY Mechanic (DDM) yang menjadi platform mereka memuat naik segala foto dan video kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf projek Wira Teksi itu. Lagipun, kedua-duanya memang kaki kereta dan memiliki beberapa unit kereta seperti Honda, manakala Wira ini pula adalah salah satu model yang sengaja dipilih untuk projek khas Nurburgring.
BACA >>> Honda Civic Type-R Limited Edition (2020) Mahu Rampas Semula Raja Nürburgring
KENAPA WIRA?
Sebabya, Jochem dan Ruben pernah membesar di Malaysia, atau lebih spesifik menetap di Ampang pada 1997-2001, dan 2009-2011. Pengalaman enam tahun itu membuatkan dua beradik itu jatuh cinta dengan Malaysia, dan Wira adalah salah satu daripada produk negara ini yang mendapat tempat di hati mereka.
Apabila pulang ke Belanda, mereka memulakan 'Project Proton' dengan misi mahu membawa kereta Malaysia itu ke Nurburgring, yang menjadi litar idaman ramai pelumba dan pemilik kenderaan untuk menguji kenderaan masing-masing.
Model Wira pertama dibeli adalah model Jerman dan inilah sebab ia datang dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD). Bagaimanapun, enjin asal 4G13 sedan itu rosak, termasuk enjin ganti jenis sama. Mujurlah mereka sempat mendapat satu lagi unit Wira edisi aeroback dengan enjin 4G15 bersesaran 1.5L. Inilah Wira Teksi yang sedang anda lihat dalam artikel ini.
Uniknya, dua beradik ini memilih tema Teksi Kuala Lumpur berwarna merah-putih, siap dengan label 'Teksi Ampang' dan nama syarikat teksi 'DDM Dutch Mechanics Sdn Bhd'. Tidak ketinggalan pelekat pandu lalu McDonald's di sudut atas cermin depan kereta.
MAHU BIKIN JADI TEKSI LENGKAP
Selain skema warna teksi, Wira ini dipasangkan rim aloi OZ-Racing 16 inci dengan tayar Toyo Proxes R1R, manakala set tempat duduk menggunakan kerusi buket Sparco. Kereta ini berjaya masuk ke trek Nurburgring pada 5 Julai lalu, dan sekali lagi pada Ogos baru-baru ini.
Jochen dan Ruben sebenarnya berhasrat melengkapkan Wira Teksi itu dengan aksesori penuh seperti teksi Malaysia seperti mesit resit dan strob bumbung yang khabarnya sudah dipesan daripada seorang pengikut di Instagram. Jika projek final ini selesai, mereka akan kembali lagi ke Nurburgring pada penghujung Ogos atau awal September ini.
Jom sama-sama kita ikuti laman Instagram dan YouTube dua beradik Belanda ini.
Leave a Reply