YAMAHA MT-09 Tracer dilancarkan di pasaran Eropah tahun lalu dan pantas menambat peminat motosikal besar di sana. Kini Yamaha MT-09 Tracer menjadi salah satu jentera besar Yamaha yang popular di Eropah.
Berita baiknya, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) membawa masuk Yamaha MT-09 Tracer ke pasaran tempatan! Kehadiran model itu pastinya menambahkan pilihan model touring di Malaysia yang selama ini didominasi Kawasaki.
Yamaha MT-09 Tracer dikuasakan enjin 847cc tiga silinder dengan penyejukan cecair dan dilengkapi teknologi pancitan bahan api yang menawarkan penjimatan minyak tiada tandingan. Berat 190kg bersama tork tinggi menyumbang kepada tunggangan menyeronokkan. Malah, Yamaha MT-09 Tracer tampil dengan ciri fleksibel mengikut kehendak penunggang bermula bar hendal boleh laras dan lebih lebar.
Malah dilengkapi teknologi sistem Kawalan Traksi (TCS) yang mampu mengawal tenaga disalurkan ke roda belakang, sekali gus menjadikan pengendalian lebih selesa dan stabil dalam apa juga kondisi jalan.
TETAPAN D-MODE
Ciri lain disediakan ialah D-Mode yang membolehkan penunggang memilih tetapan karakter enjin. Operasinya semudah menekan tombol pada bar hendal sebelah kanan. Bahagian hadapan Yamaha MT-09 Tracer dilengkapi lampu LED dan kowl sebagai pelindung bagi meminimumkan gelora ketika menunggang.
Posisi tunggangan tegak dan jarak pandangan mata jauh memberikan kelebihan untuk penunggang Yamaha MT-09 Tracer mengembara jauh. Tempat duduk terpisah antara penunggang dan pembonceng, serta lebih lebar mengurangkan kepenatan.
Model import ini dijual pada harga RM59, 900 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran nombor plat). Buat mereka yang memang menantikan kehadiran model ini, anda perlu bersabar sedikit sahaja lagi. Yamaha MT-09 Tracer dijangka berada di pusat jualan Yamaha bermula minggu hadapan dengan pilihan warna cuma Race Blue. Yamaha MT-09 Tracer ialah model kelima menyertai barisan motosikal besar lain seperti XJ6, MT07, MT-09 dan XV950R.
GALERI
Leave a Reply