INGATKAN khabar angin ini sudah luput, tetapi nampaknya tidak apabila portal automotif Jepun, Young Machine membangkitkan kembali isu jentera Honda V4 baharu.
Honda khabarnya sedang mengusahakan superbike V4 yang mungkin dilancarkan dalam masa terdekat. Jika anda pernah terdengar berita ini, anda betul. Pada awal 2010, ada banyak berita dikecohkan mengenai superbike versi pengeluaran yang dibina berasaskan jentera V4 Honda MotoGP.
PENGGANTI RC213V-S
Ramai peminat motosikal, terutama Honda teruja apabila mendengar berita tersebut. Kemungkinan besar jentera itu akan memiliki kuasa kuda lebih tinggi, transmisi lebih lancar, dan berat badan lebih ringan dengan injap pneumatik serta pelbagai ciri menarik lain yang bakal dilakukan Honda. Sayang, jawapan diperoleh mengecewakan.
Apabila Honda melakukan debut RC213V-S pada 2015, reaksi portal RideApart adalah; "Khabar angin ketibaan superbike Honda V4 sudah berlegar bertahun-tahun, tetapi jika jentera itu bakal muncul tentu bukan yang ini." Malangnya, andaian itu betul.
BACA >>> Honda RC213V-S - Motosikal Lumba Versi Jalanan Paling Mahal di Dunia
Mengambil kira jentera sah ditunggang atas jalan, RC213V-S hanya berkuasa 159hp. Dengan menambah komponen lumba, kuasa model itu dapat ditingkatkan kepada 215hp, iaitu angka kuasa yang cukup relevan pada 2014. Namun, itu tidak lebih daripada konfigurasi standard superbike jalanan lain seperti Ducati Panigale.
Sebagai contoh, dengan pemasangan komponen superbike jalanan, RC213V-S memiliki berat kering lebih tinggi daripada Panigale (166kg), iaitu 170kg. Malah, RC213V-S tiada tren injap pneumatik seperti dimahukan pelanggan, atau transmisi lancar.
Walaupun direka mirip jentera lumba pasukan satelit Honda MotoGP pada masa itu, tetapi ia jauh berbeza berbanding jentera lumba pasukan pengilang Repsol Honda yang ditunggang Marc Marquez. Malah, membelanjakan AS$184,000 (RM781,540), anda sebenarnya boleh membeli jentera lumba daripada pasukan Superbike Dunia (WorldSBK) atau pelumba Isle of Man TT.
Namun, Honda mungkin tidak terlalu bimbang dengan baki stok, kerana pengumpul koleksi motosikal biasanya akan tergila-gila dengan jentera seperti itu. Memasuki 2020, kini muncul khabar angin baharu mengenai superbike V4. Kenapa? Bukankah Honda baru sahaja mengemas kini platform superbike empat sebaris pada akhir 2019, iaitu CBR1000RR-R.
BACA >>> Malaysia Pertama di Asia Dapat Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, Harga RM199k!
DUCATI PANIGALE V4 S BERI MOTIVASI
Menurut Young Machine, ada tiga teori yang menyokong idea jentera V4 baharu Honda.
Pertama, Honda sibuk mengusahakan rekabentuk V4 sejak lima tahun lalu. Walaupun selepas RC213V-S dilancarkan, Honda sedang mengusahakan paten baru V4. Kedua, Young Machine mendakwa Honda mahu membina platform V4 baharu yang patuh syarat emisi Eropah. Ketiga, Honda melihat Ducati Panigale V4S diterima baik pembeli dan mahu turut serta dalam segmen itu.
Adakah semua ini akan jadi nyata atau Young Machine cuma bermimpi?
Sukar untuk katakan, kerana kilang Jepun sangat berahsia. Di Amerika Utara, sangat sukar mendapatkan berita baharu melainkan didedahkan pengeluar itu sendiri. Bagaimanapun, Young Machine memang terkenal sebagai portal pertama yang kerap mendedahkan maklumat dan perincian motosikal baharu dari Jepun.
Namun, itu masih bukan bermakna laporan itu benar. Malah, permohonan paten juga tidak menjamin V4 baharu akan dikeluarkan. Agak sukar membayangkan Honda meninggalkan platform CBR1000 yang baru ditambah baik, tetapi. siapa tahu?
Mungkin Young Machine ada sumber atau gosip dalam yang tidak kita tahu. Jika ya, era V4 baharu akan bermula.
BACA >>> Hanya Ada 10 Unit di Dunia, Aprilia RSV4 X Debut di Malaysia, Asia
BACA >>> Honda N600 Ini Guna Enjin Motosikal VFR V4 800cc!
GALERI
SUMBER: RideApart | YoungMachine
Jan says
kalau di motogp guna V4, x mustahil honda akan produce superbike V4 juga nanti. untuk apa R&D mahal2 di GP, tapi x jual?