Nasihat pertama terbaik yang boleh diberikan kepada mana-mana penunggang motosikal jika mahu menunggang ketika hujan adalah jangan menunggang dan tunggu hujan berhenti.
Menunggang ketika cuaca elok pun sudah dianggap berisiko buat penunggang, apatah lagi jika menunggang ketika hujan. Bahaya itu bukan saja datang daripada kekangan yang bakal anda hadapi seperti jarak penglihatan terbatas, dan kondisi jalan tidak menentu, tetapi juga bahaya dari pengguna jalan raya lain.
Pengguna jalan raya juga mengalami masalah sama seperti kita. Bezanya, mereka seperti pemandu menaiki kenderaan empat tayar, sebaliknya kenderaan penunggang motosikal cuma dua tayar. Siapa yang lebih berisiko terbalik?
BACA >>> #ApaNakBuat: 10 Tip Asas Menunggang Motosikal Ketika Hujan
Namun, kadangkala kita sebagai penunggang motosikal memang tiada pilihan. Perlu juga menunggang ketika hujan yang mana ada situasi tertentu hujan turun ketika sedang dalam perjalanan ke ofis atau balik rumah. Sesetengah penunggang perlu menjalankan tugas diamanahkan, dan ada macam-macam alasan lain. Kata orang, hidup mesti terus.
Jika situasi itu berlaku, iaitu anda perlu juga menunggang dalam hujan, apa dapat kami nasihatkan adalah bersedialah dengan pakaian atau sut menunggang yang sesuai. Anda perlu tingkatkan keselesaan dan ciri keselamatan diri, serta pada masa sama memastikan motosikal beroperasi dengan baik dan selamat.
BACA >>> #ApaNakBuat: Inilah Komponen Motosikal yang Perlu Diservis Selepas Redah Hujan
MOTOSIKAL ANDA PERLU....
Jika mahu menunggang dalam hujan, atau sudah sedia maklum sekarang musim hujan, anda perlu siap sediakan motosikal anda dengan:
- Pastikan semua lampu menyala dengan baik seperti: lampu utama, lampu signal belok (depan dan belakang), lampu belakang termasuk lampu brek.
- Tukar mentol kalau ada yang terbakar. Tukar lampu baharu kalau kaca sudah kusam, kekuningan, calar teruk atau pecah.
- Pastikan brek berfungsi baik depan dan belakang. Jika guna brek cakera, pastikan tukar pad brek jika sudah nipis. Jika brek dram, laraskan pedal atau tuil brek mengikut jarak sepatutnya, atau tukar kasut brek.
- Pasang cermin sisi. Jika sebelum ini cuma pasang sebelah kanan (sebab trend), tidak salahpun pasangkan sebelah lagi apabila hujan.
APA NAK PAKAI?
Sekarang apakah pula perlu kita pakai sebagai penunggang motosikal yang menunggang ketika hujan? Kami senaraikan secara poin ringkas buat anda:
1. Sut Baju Hujan
Memiliki baju hujan dan disimpan bawah pelana (atau) kotak barang (box) boleh dikatakan aksesori wajib buat penunggang. Apatah lagi Malaysia ialah negara tropika yang hujan akan turun tidak tentu masa.
Tetapi ingat bukan sebarang baju hujan boleh dibeli. Laburlah sedikit wang untuk dapatkan sut baju hujan yang lengkap dan berkualiti. Berikut kriteria sut baju hujan yang perlu anda pertimbangkan:
- Cari sut lengkap, siap dengan baju dan seluar hujan (ada yang didatangkan sekali dengan penutup kasut).
- Carilah warna cerah, dan ada strip reflektor supaya pengguna jalan raya lain nampak kehadiran anda.
- Pilihlah sepadan dengan saiz badan, tidak terlalu labuh, terlalu longgar atau terlalu ketat. Baju hujan labuh (sampai ke lutut) sangat bahaya, terutama buat pembonceng! Ada beberapa kes kemalangan disebabkan baju hujan tersangkut di celahan rim, atau kenderaan lain.
2.Helmet dan Visor
Helmet muka penuh (full-face) adalah paling ideal ketika menunggang dalam hujan kerana menawarkan perlindungan terbaik daripada perlanggaran, hujan, angin dan cuaca sejuk.
Namun, jika pilihan yang ada cuma helmet muka terbuka (open face), pastikan visor digunakan dapat melindungi muka dengan baik daripada terkena hujan.
Penglihatan adalah ciri keselamatan utama ketika memakai helmet. Jika sebelum ini anda gemar menunggang dengan visor gelap, tukarlah kepada visor cerah. Ini kerana cuaca ketika hujan biasanya mendung dan gelap. Jadi anda perlukan pandangan yang jelas untuk melihat kondisi jalan dan mengagak sebarang ancaman persekitaran tidak diduga.
Visor antikabus adalah pilihan ideal ketika menunggang dalam hujan supaya cermin visor tidak berkabus hingga mengaburkan penglihatan dan menjejaskan tunggangan
Tip:
- Jika helmet full-face ada ventilator udara, jangan lupa tutup sebelum hujan turun.
- Jangan lupa ketatkan tali helmet.
3. Jaket Kalis Cuaca
Ini pilihan kedua selepas sut baju hujan. Boleh juga dijadikan pilihan pertama, cuma harganya lebih mahal daripada sut baju hujan. Carilah jaket kalis cuaca (weatherproof) berkolar tinggi supaya air tidak mencelah masuk ke dalam badan. Juga jangan lupa ketatkan bahagian pergelangan tangan.
Tapi, apa bezanya sut baju hujan dan jaket kalis cuaca?
Jaket kalis cuaca boleh dipakai sepanjang masa ketika menunggang dan tidak semestinya ketika hujan saja. Jadi, anda tidak perlu berhenti di bawah jambatan untuk menyarungkan sut. Ia juga siap dengan ciri keselamatan menunggang seperti strip reflektor berserta pad siku dan bahu.
Harga memang keras, tetapi tidak salah berbelanja lebih untuk keselesaan dan keselamatan.
4. Seluar Kalis Cuaca
Seluar jenis ini sesuai jika anda memakai jaket kalis cuaca. Namun jarang juga pemakai jaket yang beli bersama seluar ini. Namun faktanya, seluar kalis cuaca (weatherproof) sangat bagus untuk penunggang kerana menggunakan fabrik khas yang kalis air untuk memastikan kita kekal kering.
Asalkan dipakai elok mengikut saiz pinggang, tiada air boleh mencelah masuk dalam seluar. Bahagian kedap di buku lali juga mampu mengelak percikan air jalan masuk.
5. Sarung Tangan
Ada dua sebab kenapa perlukan sarung tangan ketika menunggang dalam hujan.
Pertama, supaya anda dapat memegang bar hendal dengan selamat. Kedua, supaya tangan kekal panas dan kering. Kedua-dua sebab itu penting untuk keselamatan dan keselesaan.
Carilah sarung tangan jenis kalis air dan ada liang udara (supaya air tidak bertakung). Kalau boleh cari jenis panjang yang boleh bersambung terus dengan jaket atau baju hujan supaya air tidak masuk membasahi tangan, atau bertakung.
6. But Hujan atau Kasut Getah
Memakai kasut yang biasa anda pakai ketika menunggang bukan idea yang bagus ketika hujan. Ini kerana hujan dan air jalan boleh memercik masuk dan membasahi kasut anda, serta ia berlaku serta merta.
Jika pernah menunggang dengan kasut basah, anda pasti tahu betapa tidak selesa dan terseksa berada dalam situasi tersebut. Rasa seperti hendak berhenti segera untuk buang air, atau macam-macam bendasing lain yang bertakung dalam kasut.
Carilah kasut atau but kalis air, biasanya jenis high-cut, yang direka supaya bersambung terus dengan seluar hujan atau seluar kalis cuaca. Tujuannya, supaya air tidak menceroboh masuk ke dalam kasut anda.
Mungkin ada yang cakap leceh hendak berbut bagai, lebih-lebih lagi jika cuma menunggang kapcai. Jadi kami cadangkan anda cari kasut getah yang ada banyak liang atau lubang untuk menyingkirkan air keluar. Kasut getah ini boleh dicari di kedai kasut biasa, tidak mahal dan praktikal digunakan. Ia juga menawarkan cengkaman yang baik supaya tidak tergelincir ketika berjalan.
Leave a Reply