TENTU ada yang hendak tahu pasal Lexus ES yang baru saja dibeli Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu aka YB Peja bagi menggantikan Toyota Camry sebagai kenderaan rasminya. Kami andaikan varian dibeli itu ialah ES 250 Luxury, iaitu varian paling premium dan mahal dalam siri ES.
Lexus ES serba baharu dilancarkan di Malaysia pada September tahun lalu, bersama satu lagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) Lexus, RX.
ES ialah model teras sejak Lexus pada 1989 dan kekal sebagai sedan mewah popular jenama itu dengan jualan global mencecah 2.3 juta unit. Seiring usia 30 tahun di pasaran, ES (2019) kini menjadi penanda aras terkini dalam rekabentuk baharu Lexus.
Berikut beberapa fakta menarik yang perlu anda tahu tentang Lexus ES versi Malaysia.
BACA >>> MB Peja Tukar Lexus ES Sebagai Kereta Rasmi, Camry Lama Serah Kepada ADUN
1. Bertemakan Provocative Elegance, ES generasi ketujuh tampil dengan rekabentuk sporty pintar menerusi garis bumbung lebih rendah di belakang yang memberikan aura coupe. Selain menyerlahkan penampilan elegan, ia turut menyumbang kepada aspek kecekapan aerodinamik.
2. ES dibangunkan menggunakan casis serba baharu yang bukan hanya membolehkan penampilan lebih dinamik tetapi prestasi pemanduan jitu.
3. Keselesaan dalaman dipertingkat untuk semua penumpang dengan jarak pemisah tepi 1,022mm. Ruang kabin juga lebih lapang dan senyap yang menjadi keutamaan ES sejak dulu. Kerusi belakang boleh dilaraskan jenis elektrik dan ada liang pengudaraan untuk memberikan kemewahan dan keselesaan optimum kepada penumpang.
4. Sistem infotainment dengan paparan skrin sentuh 12.3 inci resolusi tinggi yang serasi konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto. Ada juga sistem bunyi Pioneer dengan 10 pembesar suara.
5. Bahagian papan pemuka menumpukan kepada pemandu dengan ruang dan reka letak yang menampilkan kemasan dan kehalusan rapi. Lexus turut menumpukan kepada perincian kualiti dan kemasan akhir ruang kabin dengan mengutamakan layanan 'Omotenashi', iaitu budaya layanan Jepun terhadap tetamu.
BACA >>> Lexus ES dan RX Facelift Lancar di Malaysia, Harga Bermula RM300k
6. Aspek keselamatan ES dilengkapi sistem bantuan pemandu Lexus Safety System +(LSS+) dengan pakej termaju yang terdiri daripada teknologi keselamatan aktif seperti Bantuan Jejak Laluan (LTA) dengan kawalan stereng, Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC).
7. Ciri keselamatan aktif ES ialah: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Traksi dan Kawalan Mula Daki (HAC), Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS), Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA), Signal Brek Kecemasan (EBS), Bantuan Belok Aktif (ACA), Kawalan Mula Pandu (DSC), Pemantau Paparan Panoramik (PVM), Pemantau Bantuan Parkir Undur (RPAM).
8. Ciri keselamatan pasif ES ialah: 10 beg udara SRS, tali keledar 3-poin dengan ciri retraktor kunci kecemasan (ELR), prategang, pengehad beban dan pengurang tegangan untuk penumpang depan, pautan kerusi kanak-kanak ISOFIX, pengurangan kecederaan leher (WIL).
9. Trenkuasa ES dipadankan enjin 16 injap 4-silinder sebaris 2.5L DOHC (A25A-FKS) berkuasa 204hp @ 6,600rpm dan tork 247Nm @ 5,000rpm dengan teknologi pemasaan injap pintar VVT-iE (Variable Valve Timing - Intelligent by Electric Motor). Kelajuan maksimum ialah 210kmj dan pecutan 0-100kmj sepantas 9.1 saat.
10. Sistem transmisi adalah jenis automatik 8-kelajuan Direct Shift dengan kawalan anjakan pintar AI-Shift (Artificial Intelligence Shift Control).
11. Ada ciri but bebas tangan yang hanya memerlukan pemandu melintaskan kaki bawah bampar untuk membuka but. Sesuai dan mudah untuk memuat masuk barang yang dipegang penuh kedua-dua tangan.
12. Lexus ES facelift didatangkan dengan dua pilihan varian iaitu Lexus ES 250 Premium pada harga RM299,888 dan Lexus ES 250 Luxury (RM332,888). Bagaimanapun, harga terbaharu Lexus ES sempena insentif pengecualian cukai jualan diberikan Kerajaan ialah RM288,663 untuk varian Premium dan RM320,510 untuk varian Luxury.
BACA >>> Harga Baharu Kenderaan Toyota, Lexus Kini Lebih Murah 1-6 Peratus
Leave a Reply