"PERGHHH, harga lagi mahal daripada Civic baru, baik angkat Civic!" Anda tentu biasa terbaca komen seperti di atas semasa pelancaran PROTON Perdana baharu baru-baru ini. Ayat sama juga pernah kedengaran apabila PROTON melancarkan Preve yang dibandingkan dengan Honda City dan Toyota Vios.
Isunya, model yang dibandingkan itu berada dalam kelas yang berbeza. PROTON Perdana ialah model segmen-D (saiz pertengahan), manakala Honda Civic segmen-C (kompak) yang sebaris dengan PROTON Preve. Sebaliknya Honda City dan Toyota Vios, termasuk PROTON Saga pula dalam segmen-B (subkompak). Tetapi bolehkah kita membandingkan sesebuah kereta secara silang segmen? Kenapa pula tidak boleh sedangkan harganya lebih kurang sama? Kita akan ulas isu berkenaan dalam artikel siri ketiga kali ini.
HONDA CIVIC 2016 VS PROTON PERDANA 2016
Jadual di atas ialah perbandingan spesifikasi antara Honda Civic 2016 dan PROTON Perdana 2016. Civic 2016 ialah generasi Civic ke-10, iaitu model serba baharu yang tampil dengan rekabentuk dan spesifikasi yang juga serba baharu dan terkini. Sebaliknya, PROTON Perdana ialah model 'rebadge' Honda yang menggunakan platform Accord generasi ke-8 (sekarang generasi ke-9) dengan dikenakan beberapa terma dan syarat.
Menilai jadual di atas, jelas spesifikasi Civic lebih superior berbanding Perdana, tetapi itu tidaklah bermakna Perdana terlalu jauh ke belakang. Varian premium Civic 2016 menampilkan enjin turbo 1.5L dengan kuasa 170hp dan tork 220Nm, manakala Perdana menggunakan enjin aspirasi natural (NA) 2.4L berkuasa 178hp dan tork 222Nm.
Perdana nyata lebih berkuasa, tetapi kuasa dan tork Civic lebih pantas dicapai berdasarkan perbandingan data putaran roda perminit (RPM). Civic kembali menggunakan transmisi pembolehubah berterusan (CVT) dan Perdana kekal dengan transmisi Accord, automatik 5-kelajuan. Anjakan Civic lebih lancar, tetapi apa yang diberikan transmisi konvensional Accord bukanlah ketinggalan. Lihatlah senarai model segmen-D dalam artikel Siri 1, semua model popular masih menggunakan transmisi konvensional kecuali Nissan Teana.
BACA >>> PROTON Perdana 2016 [SIRI 1]: Perbandingan Harga dan Prestasi dengan Model Segmen-D di Malaysia
EKSTERIOR VS INTERIOR
Spesifikasi eksterior nyata seimbang. Civic 2016 menampilkan kemasan terkini seperti lampu depan LED berserta lampu siang (DRL), berbanding Perdana, lampu turus intensiti tinggi (HID) dengan DRL. Lampu mana lebih bagus akan kita ulas dalam artikel lain nanti. Namun, sama ada LED atau HID, kedua-dua jenis lampu berkenaan ialah ciri biasa yang digunakan kebanyakan kenderaan hari ini bagi menyerlahkan imej mewah dan elegan.
Interior kedua-dua model mempunyai sistem infotainment tersendiri dengan paparan skrin Civic bersaiz 7 inci, dan Perdana 6.2 inci. Bezanya, Civic menawarkan 8 pembesar suara berbanding Perdana (6 pembesar suara, termasuk subwufer), dan juga ada punat henti-mula (push-start button) serta masukan tanpa kunci (keyless entry). Tetapi Perdana mempunyai sokongan lumbar pada kerusi elektrik pemandu yang tiada pada Civic.
Begitu juga ciri keselamatan, Civic dibekalkan 6 beg udara, dan Perdana cuma 4 beg udara disebabkan kekangan Honda yang mahu PROTON mengikut spesifikasi asal Accord. Bagaimanapun, Perdana memiliki ciri keselamatan utama lain yang sama seperti Civic seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) dan pautan kerusi kanak-kanak ISOFIX.
DIMENSI BERBEZA
Jadi, apa perbezaan kedua-duanya? Perbezaan ketara antara Perdana dan Civic ialah dimensi, dan inilah apa yang dikatakan pentingnya membuat perbandingan segmen. Sebagai sedan segmen-D, Perdana nyata mempunyai saiz dimensi yang melebihi Civic sama ada dari segi panjang, lebar, tinggi, berat kerb dan jarak roda. Lihat saja jadual di atas.
Beza dimensi dua model berkenaan menunjukkan Perdana lebih panjang 390mm, lebih lebar 46mm, lebih tinggi 59mm, lebih berat 216kg, dan lebih jarak roda 100mm berbanding Civic. Kenapa dimensi penting dalam segmen?
Tahap dimensi sebenarnya berkait rapat dengan imej mewah sesebuah kereta. Anda mungkin pernah dengar istilah 'kereta besar' dalam bahasa seharian kita. Ya, inilah pengetahuan asas mengenai segmen yang secara tidak sedar kita sudah pun mengakuinya. Dalam erti kata lain, semakin 'besar' sesebuah kereta, maka semakin tinggi nilai mewah atau 'classy' kereta itu.
BACA >>> PROTON Perdana 2016 [SIRI 2]: Eksterior Setara, Interior Ada Limitasi
SEGMEN-C ATAU SEGMEN-D?
Setiap segmen mempunyai sasaran pembeli tersendiri. Segmen-C disasarkan kepada pembeli yang berada dalam status matang dalam kerjaya, berumur antara 35 hingga 45 tahun, manakala segmen-D menumpukan kepada pembeli yang berada pada kemuncak kerjaya, iaitu 45 tahun ke atas.
Segmen-C juga dikhaskan kepada golongan eksekutif peringkat tinggi, sebaliknya segmen-D mengecilkan skop mereka kepada eksekutif hierarki elit seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), ahli politik, pengurus besar syarikat, ahli perniagaan dan seumpamanya. Secara gambaran mudah, jarang sekali kita melihat kereta segmen-C dijadikan kenderaan rasmi syarikat atau Kerajaan, atau 'kereta bos'. Kebiasaannya, model segmen-D yang akan dipilih. Kenapa? Sebabnya, dimensi segmen-D memberikan nilai 'status' atau 'kelas' tersendiri berbanding segmen lain di bawahnya.
Jadi, jika anda layak beli kereta bernilai sekitar RM140,000, patutkan anda memilih Honda Civic atau PROTON Perdana? Ataupun model lain yang lebih berbaloi? Nantikan artikel seterusnya. 🙂
Leave a Reply