SELEPAS beberapa imej bocor minggu lalu, Porsche secara rasmi mendedahkan Cayenne generasi baharu yang dilengkapkan enjin 4.0L V8 Twin Turbo berkuasa 454hp dan tork 620Nm.
Berbanding generasi terdahulu, Cayenne GTS (2021) ini menawarkan esktra kuasa 20hp dan ekstra tork 20Nm yang membolehkan kenderaan utiliti sukan (SUV) ini memecut 0-100kmj sepantas 4.5 saat dengan tambahan pakej Sport Chrono. Kelajuan maksimum mampu mencecah 270kmj!
BACA >>> 8 Fakta Pantas: Porsche Cayenne Generasi Ke-3 Kini di Malaysia - Harga Bermula RM745k
Dari segi kemasan luaran, Cayenne GTS (2021) tampil menawan dengan aksen hitam, sistem ekzos baharu dan rim RS Spyder Design 21 inci.
Sebagai tambahan kepada perubahan mekanikal, SUV Porsche baharu ini turut mendapat naik taraf sistem suspensi sport untuk merendahkan jarak lega bumi lebih 20mm. Pelanggan juga boleh membeli pilihan tambahan seperto Kawalan Casis Dinamik Porsche (PDCC), stereng gandar-belakang dan suspensi udara.
BACA >>> 10 Fakta Pantas: Porsche 911 GT2 RS (2019) Sempena Ulang Tahun ke-70 - RM2.9 Juta
Menjengah ruang kabin, penampilan SUV ini diserlahkan dengan kemasan kulit Alcantara pada konsol tengah, sil dan kerusi. Logo GTS merah pada penyandar kepala nampak begitu menonjol, dan turut tertera pada papan pemukan dan bahagian pintu.
Tempahan Cayenne GTS (2021) kini dibuka kepada pelanggan di Jerman pada harga AS$129,151 (RM552,510) untuk versi Standard dan AS$134,142 (RM573,560) untuk Coupe. SUV ini bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat menjelang musim luruh ini pada harga bermula AS$107,300 (RM459,030), manakala pasaran Asia dijangka tahun depan.
Leave a Reply