PERJALANAN malam yang panjang di jalan raya memang memenatkan. Lampu jalan dan lampu utama kereta kerap mengaburi dan menyilaukan pandangan. Walaupun tidaklah lama perlu menatap suluhan lampu itu, tetapi itupun sudah terkeluar macam-macam seranah yang tidak enak didengar.
Antara situasi paling tidak menyenangkan, ketika tenang memandu pada malam indah dan cuaca baik, tiba-tiba muncul sebuah kereta memintas perlahan dengan lampu merah memancar terang dari bampar belakang keretanya.
BACA >>> #TahukahAnda: Warna Manakah Sesuai untuk Lampu Kabus Depan, Putih atau Kuning?
Ya, sinaran itu datang dari lampu kabus belakang kereta tersebut. Sepatutnya, kadar sinaran tinggi hanya digunakan ketika memandu dalam cuaca buruk seperti kabus (sudah nama pun lampu kabus), ribut, hujan lebat dan seumpamanya. Tujuannya adalah membantu pemandu belakang melihat kedudukan kenderaan kita dengan lebih jelas.
Masalahnya sekarang, kebanyakan pemandu tidak sedar apa mereka sudah buat. Jadi memang ramai pengguna jalan raya marah apabila berhadapan situasi begitu.
Situasi itu tidak akan berlaku jika pemilik kenderaan faham tujuan dan cara penggunaan lampu kabus. Faktanya, lampu kabus belakang tidak wajib dipasangkan di negara kita. Namun, kebanyakan pengeluar tempatan memilih untuk tidak mengubah spesifikasi asal, dan selaras peraturan spesifikasi lampu seperti ditetapkan piawaian Kesatuan Eropah (EU) yang dilaksanakan di negara kita.
BACA >>> Lampu Kabus Belakang - Bilakah Perlu Pasang? Kenapa Masih Ramai Pemandu *&$#@?
KEPERLUAN LAMPU KABUS BELAKANG
Lampu kabus belakang adalah salah satu spesifikasi wajib bagi kenderaan di negara-negara EU. Keadaan cuaca berkabus di kebanyakan jalan raya di sana memerlukan pengguna memasang lampu kabus depan dan belakang bagi memastikan kenderaan mereka dapat dilihat.
Dalam kondisi jalan tidak baik seperti hujan lebat, kabus tebal, debu atau jerebu dan seumpamanya, pemandu seharusnya menyalakan lampu kabus depan dan belakang. Sebaliknya, apa yang kerap dilakukan pemandu Malaysia, ramai pula yang menyalakan signal kecemasan.
Signal kecemasan sepatutnya digunakan ketika kecemasan saja yang dipasang sekiranya berada dalam situasi mencemaskan seperti terkandas di tepi jalan atau terbabit kemalangan.
CARA GUNA LAMPU KABUS BELAKANG
Pemandu seharusnya sedia maklum mengenai cara menyalakan lampu kabus (depan dan belakang). Malah, Toyota menerusi model Vios pernah menyiarkan video pendek mengenai cara penggunaan lampu kabus belakang dengan betul.
Berdasarkan foto yang diambil daripada video Vios di atas, suis lampu kabus terletak pada tuil lampu sebelah kanan stereng. Pemandu perlu memutarkan suis (bukan tolak atau tarik) bagi menghidupkan lampu kabus. Anda mungkin juga tidak perasan tuil suis itu ada dua bahagian, luar dan dalam yang boleh diputar.
Putaran luar adalah untuk menghidupkan lampu utama, manakala putaran dalam untuk menghidupkan lampu kabus depan atau belakang (rujuk gambar atas). Model Vios ini memiliki dua suis berbeza untuk menghidupkan lampu kabus depan dan belakang.
Di Malaysia, sudah jadi kebiasaan ramai pemandu untuk menghidupkan lampu kabus depan bagi meningkatkan tahap kecerahan lampu ketika memandu malam, atau dalam cuaca gelap.
Kedudukan suis lampu kabus depan dan belakang mungkin berbeza berdasarkan jenama model. Sesetengah model meletakkan suis lampu belakang di panel instrumen.
Ada pengeluar menghimpunkan suis lain bersama suis lampu kabus dalam panel khas seperti model Volkswagen. Apa yang penting, pemilik kenderaan perlu tahu posisi suis tersebut untuk menghidupkan dan mematikan lampu kabus. Berdasarkan penggunaan tuil lampu Vios, pemandu berkemungkinan tidak tahu membezakan simbol lampu kabus depan dan belakang.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Lampu Belakang, Brek Mesti Warna Merah?
APAKAH SIMBOL LAMPU KABUS BELAKANG?
Gambar di atas adalah simbol yang tertera pada panel meter atau kluster instrumen kereta jika lampu tertentu dinyalakan:
- Simbol 1: Lampu kecil depan
- Simbol 2: Lampu suluh tinggi (high beam)
- Simbol 3: Lampu kabus belakang
- Simbol 4: Lampu kabus depan
Kenapa ada dua simbol untuk lampu kabus? Ini bagi membezakan jenis lampu kabus yang dipasang. Anda perlu ingat simbol mana yang menyala. Jika masih sukar hendak ingat jenis simbol, ingatlah warna simbol tersebut!
Simbol hijau untuk lampu kabus depan, manakala jingga untuk lampu kabus belakang. Jika tersalah pasang, anda cuma perlu memutarkan suis pada simbol di tuil lampu.
Berdasarkan foto tuil lampu Vios di atas, ramai tersilap memutarkan suis ke atas tanpa mengenali simbol lampu kabus. Kami berpendapat posisi suis lampu kabus sepatutnya diubah untuk mengelak pemandu terpasang lampu kabus belakang.
Penasihat jualan juga perlu memainkan peranan mengingatkan pemilik kenderaan mengenai penggunaan suis lampu itu, iaitu dua kali putaran adalah lampu kabus belakang, sebaliknya sekali putaran untuk lampu kabus depan. Memang berbeza!
Sekali lagi peringatan, lampu jingga (atau orange) dikhaskan untuk lampu kabus belakang. Kalau nampak ia menyala ketika memandu dalam cuaca baik, sila matikan.
Diharapkan artikel ini mampu membantu anda menggunakan fungsi lampu kabus belakang dengan sebaiknya. Keprihatinan dan kepekaan anda menggunakan lampu itu sebenarnya membantu pengguna jalan raya lain. Tidak susah pun hendak kenal jenis dan warna simbol lampu kabus belakang, termasuklah mengetahui cara mematikan lampu berkenaan. Putar atau tekan saja suis lampu untuk mengaktifkan atau mematikan fungsinya.
BACA >>> #TahukahAnda: Segala Tentang Lampu Depan Adaptif yang Perlu Anda Tahu
Shahrizal says
Sungguh memberi informasi, persoalan yang biasa kita dengar dari pemandu seperti kenapa cermin padang belakang sangat perlu sebelum membelok, menggunakan butang auto cruise atau kelebihan enjin hibrid masih jauh dari perbualan orang awam
Taha says
Askm nk tnya lampu bahagian tmpat letak kaki memang 24 jam menyala ke
AO says
Tak. Mungkin masalah wiring
Zam zaimah says
Salam...sy nak tanya boleh ke usik wayer dari bawah stearing tu utk matikan lampu depan...? Sy fomfiusla... Hmmm
Azhan O says
Boleh cuba, rosak tanggung sendiri
Chintya says
Untuk laluan gunung selalunya berkabus, ada cadangan tak untuk lampu kabus terbaik kak?
Thank You 😊