JIKA anda peminat sukan permotoran seperti GT300, GT500, dan beberapa siri perlumbaan lain, jenama WedsSport atau lebih spesifik WedsSport TC series pasti bukan asing. Jenama rim sport itu bermula sejak 1993 dan saban tahun sentiasa menampilkan pembaharuan.
Generasi terkini siri TC, TC105N adalah antara produk rim sport popular yang menjadi pilihan pelumba trek dan pemilik kereta harian masa kini. Seperti TC105N sedia ada, rim sport TC105X baharu turut menjalani banyak ujian penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam siri perlumbaan SuperGT Jepun.
Data dikumpul WedsSport daripada kejuaraan itu digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan rim yang memiliki ketahanan tekanan ekstrem tanpa berat berlebihan. Berbanding TC105N, siri TC105X menampilkan enam perubahan utama yang menjadikan rim itu lebih kuat dan pada masa sama tidak mengubah penampilan luaran, iaitu masih kekal dengan ciri signatur 10-jejari.
BACA >>> 10 Rekabentuk Rim Sport Aftermarket Paling Ikonik
1. N-FRAME DIKEMAS KINI
Perubahan pertama dilakukan WedsSport adalah mengkaji struktur frem N-Frame. Frem rim ini direka untuk meningkatkan tahap rigid jejari dan menambah baik sebaran impak. Dengan menjadikan N-Frame sedikit lebih tinggi, WedsSport dapat meningkatkan kekuatan rim. Ia juga agak lebih besar pada model baharu, tetapi jika cuba cari perbezaan, anda mungkin tidak sedar.
2. POTONGAN SISI JEJARI
WedsSport menggunakan rekabentuk sama pada rim terdahulu dan berjaya. Jadi, cara sama juga digunakan pada TC105X baharu. Dengan potongan besar pada sisi jejari (spoke), berat rim kini jadi lebih ringan tanpa mempengaruhi kekuatan.
Malah, potongan itu meningkatkan bahagian permukaan jejari dan menawarkan sebaran beban lebih baik. Siri lama TC105N menggunakan jejari rata berbeza pada sisi jejari bertentangan dengan N-Frame. Agak mudah mengesan perbezaan dua rim itu dalam gambar.
3. PROFIL BAREL
Barel (barrel) rim adalah salah satu bahagian paling kritikal kerana menghubungkan muka dan belakang rim. Barel yang lemah berkemungkinan besar boleh pecah akibat impak. Jadi sangat penting barel menggunakan rekabentuk yang kuat.
Sudah tentu, barel akan jadi agak besar dan penggunalan terlalu banyak material akan menyebabkan rim jadi sangat berat. Bagaimanapun, TC105X mempunyai lekuk tengah (drop-centre) yang turut digunakan WedsSport pada rim lain. Lekuk tengah itu berfungsi sebagai penguat muka rim roda dan menambah baik keseluruhan kekuatan rim.
BACA >>> Berapakah Tekanan Angin yang Betul Selepas Tukar Saiz Rim dan Tayar?
4. BEBIBIR DIUBAHSUAI
Bebibir (flanges) adalah bahagian rim paling jauh dan kerap disalah guna. Bagi TC105X, WedsSport melenturkan bebibir depan dan menipiskan bebibir belakang. Ini meningkatkan kekuatan keseluruhan rim dan mengurangkan potensi untuk mudah pecah.
5. DI SEBALIK POTONGAN JEJARI
Usaha mengurangkan berat rim turut disumbangkan potongan kecil belakang jejari. Bagi model TC105N, belakang jejari adalah rata, tetapi WedsSport mendapati sejumlah kecil material boleh diketepikan tanpa menjejaskan kekuatan jejari.
Jadi, TC105X menampilkan potongan belakang jejari yang kecil. Ini mungkin bukan penjimatan berat yang ketara, tetapi ia sebenarnya sudah jadi rim yang lebih ringan.
BACA>>>Rim Kawasaki Ninja ZX-25R Versi Lumba Buatan Indonesia?
6. BAHAGIAN TENGAH DIPERKUAT
Perubahan terakhir dilakukan pada TC105X adalah kawasan tengah yang diubahsuai sedikit untuk meningkatkan keseluruhan bahagian permukaan dengan menambah baik agihan beban. Seperti dimaklumkan di atas, walaupun sekadar perbezaan kecil, perubahan itu semestinya akan menambah baik rim yang sedia hebat.
PERLUKAH NAIK TARAF RIM?
Jika anda sekarang menggunakan satu set rim TC105N, anda mungkin tertanya adakah perlu naik taraf? Jika anda suka berlumba trek, memiliki rim ringan dan kuat adalah perkara yang sangat penting. Jadi memang perlu naik taraf.
Jika kereta anda digunakan untuk pemanduan harian, tiada masalah untuk anda naik taraf, tetapi bukanlah satu keperluan. Seperti disebut di atas, TC105X adalah evolusi rim siri TC, bukan revolusi. Perubahan adalah kecil, tetapi tetap memberikan lebih manfaat berbanding TC105N.
BACA >>> Lelaki Ini Bikin Arca Guna Penutup Rim, Boleh Jual Sampai RM40k!
SUMBER: VividRacing
Leave a Reply