KEDAI gunting rambut, termasuk perkhidmatan dandanan rambut dan kecantikan kini dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun ini dengan syarat perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ketat, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Ismail dalam sidang media khas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebentar tadi.
Keputusan itu dibuat selepas mengadakan sesi pendengaran dengan Kementerian Perdaganan Dalam Negeri (KPDN) dan mengambil kira nasib 74,000 pekerja yang terbabit dalam sektor gunting rambut dan berkaitan.
BACA >>> Covid-19: Thailand Pun Longgar Sekatan Pergerakan, Kedai Gunting Rambut Boleh Buka
Ismail Sabri berkata, sektor gunting rambut dan yang berkaitan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM13.5 bilion setahun.
Antara aktiviti berkaitan gunting rambut yang dibenarkan adalah gunting rambut, cuci rambut, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, rias dan rawatan kuku, termasuk cuci dan rawatan muka.
Sementara itu, bagi golongan berisiko tinggi, iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, proses menggunting rambut perlu dibuat secara janji temu tanpa kehadiran pelanggan lain, ataupun ditetapkan jangka waktu tertentu, contohnya jam 10-11 pagi. Begitu juga kanak-kanak di bawah 12 tahun yang perlu memakai pelitup muka dan apron pakai buang.
ADA 3 SOP TAMBAHAN
Pengusaha atau pekerja kedai gunting rambut dan sektor berkaitan pula perlu mematuhi tiga peraturan SOP tambahan berhubung etika pemakaian ditetapkan, iaitu:
- Memakai pelindung muka (face shield)
- Memakai apron (perlu ditukar untuk setiap pelanggan baharu)
- Memakai sarung tangan (perlu ditukar untuk setiap pelanggan baharu)
Apron pelanggan pula perlu dibuang dan tidak boleh digunakan semula, tetapi dibenarkan dibawa pulang pelanggan tersebut yang mungkin boleh digunakan semula nanti.
Selain SOP disebutkan, pengusaha kedai gunting rambut juga perlu mematuhi SOP sedia ada PKPB iaitu menyediakan sanitasi tangan dan memeriksa suhu, termasuk mengambil butiran pelanggan.
BACA >>> #TahukahAnda: 5 SOP ASAS yang Majikan, Pekerja Kena Buat Sepanjang PKPB
Leave a Reply