KAWASAKI NINJA H2R menjadi jentera idaman ramai peminat motosikal di Malaysia. Model supercas ini didatangkan dengan ciri eksklusif seperti pakej output kuasa enjin kira-kira 1.5 kali ganda lebih tinggi daripada superbike lain
Output kuasa dihasilkan membolehkan Ninja H2R memintas atau mendahului mana-mana model pesaing, termasuk kereta lumba trek.
Apakah 12 fakta menarik tentang Ninja H2R yang perlu anda tahu?
BACA >>> #RetroAuto: Inilah Sebab Ada 'Ninja' dalam Kawasaki
1. MOTOSIKAL PENGELUARAN TERPANTAS DUNIA
Ninja H2R mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 400kmj dalam masa 26 saat. Rekod ini dicipta bekas pelumba Turki yang juga juara lima kali Kejuaraan Supersport Dunia, Kenan Sofuoglu.
Beliau mencipta rekod itu ketika melakukan ujian pecutan atas jambatan Osman Gazi dekat Istanbul. Jambatan itu ditutup kepada pengguna jalan raya lain ketika Sofuoglu cuba mencipta rekod tersebut.
2. CAT PULIH SENDIRI
Kemasan cat cermin perak tulen pada Ninja H2R mampu memulihkan sendiri kesan calar pada badan motosikal itu. Cat dengan daya ketahanan tinggi itu mampu sembuh sendiri disebabkan kombinasi teknik semburan cat lapisan lembut dan keras yang menghasilkan permukaan licin sepanjang masa.
Bagaimanapun, cat inovatif tersebut cuma boleh menutup kesan calar pada segmen permukaan cat lembut, dan calar jenis ringan yang tidak terlalu dalam.
BACA >>> Bagaimanakah Cat Boleh Hilangkan Calar Seperti Kawasaki Ninja H2 (2019)?
3. PAPARAN SUDUT MIRING
Ninja H2R didatangkan dengan ciri indikator sudut miring (lean angle) untuk mencatatkan sudut membelok maksimum dan boleh dipaparkan semula jika perlu. Unit Unjuran Inersia (IMU) juga efektif yang membantu jentera ini mengoptimumkan ciri tersebut.
4. BUKAN UNTUK JALAN RAYA
Model supercas ini hanya untuk tunggangan trek sahaja atau kes khas seperti kawasan tertutup. Ninja H2R didatangkan tanpa komponen mandatori untuk jalan raya seperti lampu depan, lampu belakang dan cermin sisi. Anda juga tidak akan diberikan nombor plat pendaftaran untuk motosikal ini.
5. ENJIN SUPERCAS
Kawasaki adalah satu-satunya pengeluar yang memperkenalkan enjin supercas dalam dunia motosikal dengan ledakan kuasa 310hp dalam kondisi normal dan 326hp dengan mod bantuan ram udara. Output kuasa itu diraih pada rev enjin 14,000rpm, manakala tork puncak 165Nm dicapai pada 12,500rpm.
BACA >>> #Videotomotif: Inilah Ngauman Ekzos Kawasaki Ninja ZX-25R dari Litar Sentul Indonesia!
6. WINGLET GENTIAN KARBON
Ninja H2R memiliki winglet gentian karbon untuk meningkatkan daya mendap (downforce). Komponen itu dipasangkan pada bahagian cermin sisi motosikal biasa. Tetapan tersebut nyata memberikan kesan aerodinamik ketika menunggang lebih 300kmj.
7. TAYAR BRIDGESTONE BATTLAX V01
Kawasaki menawarkan pakej kombionasi tayar terbaik untuk Ninja H2R. Tayar spesifikasi lumba V01 tidak boleh ditukar sesuka hati kerana semua ciri elektronik pada motosikal ini sudah ditetapkan mengikut aspek ukuran dan keupayaan.
8. SWINGARM TUNGGAL
Swingarm tunggal premium ini membantu mengurangkan berat motosikal selain nampak menarik dari sudut pandang sisi. Swingarm dan set brek cakera diposisikan pada kiri motosikal yang membuatkan rim aloi dan sistem ekzos titanium H2R terdedah di sebelah kanan.
9. BREK BREMBO
Ninja H2R menggunakanbrek cakera kembar Brembo 330mm jenis separa apung dengan ketebalan 5.5mm untuk daya membrek lebih jitu, termasuk mengurangkan berat motosikal. Kaliper brek depan mempunyai empat piston. Rim belakang disambung pada cakera 250mm dengan kaliper M50 dwi-piston.
10. SUSPENSI ÖHLINS
Ninja H2R dilengkapi sistem suspensi Ohlins TTX36 (jenis gas) dengan jarak travel 135mm. Bagi memastikan pembelokan H2R lebih tepat dan stabil, set damper stereng istimewa dihasilkan dengan kerjasama Öhlins. Fork depan adalah jenis terbalik (USD) 43mm dengan travel 120mm.
11. METER INFORMATIF
Kawasaki memasang konsol meter infomatif pada Ninja H2R, terdiri daripada takometer analog dan skrin digital TFT untuk maklumat lain. Skrin ini memaparkan maklumat indikator gear, spidometer, meter trip dan mudah dibaca.
12. JADUAL PENYENGGARAAN
Ninja H2R perlu diperiksa setiap 15 jam selepas digunakan. Konsol meter membuat kiraan masa secara automatik dan sistem ini turut mengira masa (dalam format minit) apabila pusingan enjin seminit melepasi paras 8,000rpm.
BACA >>> Tamiya Tambah Koleksi Miniatur Kawasaki Ninja H2, Bakal Perkenal H2 CARBON
GALERI
SUMBER: MaxAbout
SYED YASSIN BIN Syed Muhammed MUHAMMAD says
Memang kat Malaysia tak da lagi ..