USIA kenderaan bermotor kini sudah lebih seabad dan pelbagai teknologi penambahbaikan automobil dicipta seperti tali keledar, beg udara, pencucuhan kawalan berkomputer, suntikan bahan api dan sistem brek anti-kunci (ABS) yang membuatkan pemanduan hari ini jadi lebih selamat dan bertambah baik.
Bagaimanapun, tahukah anda lampu signal belok kekal tidak berubah sejak lebih 70 tahun lalu? Walaupun lampu signal belok ialah antara ciri keselamatan automotif terpenting, tetapi kawalan signal belok moden masa kini masih lagi tiada perubahan sejak lebih tujuh dekad lalu.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Bahaya Nyalakan Lampu Kabus Pada Malam Cerah?
BUICK JADI PENGELUAR PERINTIS
Penggunaan pertama lampu signal belok elektrik berkelip dirintis oleh Buick 1938 sebagai ciri keselamatan baharu model itu dan diiklankan sebagai 'Signal Arah Berkelip'. Menjelang 1940, Buick menaik taraf mekanisme batal-sendiri (self-cancelled) pada kolum stereng yang terdiri daripada metod mekanikal sensitif dan rumit seperti spring, aci, lungsur (slider) dan lobus (lobe) dengan poin penutup tetap. Semua metod itu masih digunakan kenderaan seluruh dunia hari ini.
Nyata sekali ciptaan 1940 itu ialah penyelesaian pintar yang mampu beroperasi cukup baik selama bertahun-tahun. Namun, ketika semua pemandu dan pengeluar sudah terbiasa menggunakan, ada beberapa isu mengenai sistem lampu belok yang masih gagal diselesaikan. Contohnya:
BACA >>> 5 Tip Periksa Lampu Kereta Supaya Kekal Berfungsi dan Selamat
1. MEKANISME MAHAL
Pemasangan mekanisme 'batal-sendiri' menelan kos dan intensif buruh yang tinggi berikutan banyak bahagian mudah patah dan lembut perlu dipasang. Ia juga memerlukan ruang tertentu dalam kolum stereng.
2. SIGNAL TERBIAR MENYALA
Anda tentu pernah mengalami pengalaman begini bukan? Tanpa sedar anda sedang memandu dalam keadaan lampu signal belok terpasang atau terbiar menyala lama disebabkan kegagalan mekanisme mematikannya secara automatik. Anda mungkin sudah memandu sejauh beberapa kilometer dalam keadaan lampu signal belok masih berkelip.
3. TERPADAM AWAL
Lampu signal belok terpadam awal sebelum membelok berpunca daripada kuit (wiggle) roda stereng. Sebagai pemandu, sebaik saja menyedari lampu signal belok terpadam, kita dengan pantas akan cuba mengaktifkannya semula. Ia bukan masalah besar, tetapi realitinya, situasi tersebut cukup mengganggu dan mampu mengundang bahaya.
BACA >>> #TahukahAnda: Halogen, HID dan LED, Apakah Beza Jenis Lampu Utama Kereta Ini?
4. BUNYI MENGGANGGU
Bunyi bising 'tik tok' tidak henti-henti mengingatkan kita bahawa lampu signal belok bukanlah sistem yang sempurna dan sentiasa memerlukan perhatian. Kadangkala kita perlu mematikannya sendiri. Sebagai pemandu, bunyi tersebut sudah sedia tersimpan dalam minda separa sedar dan kita tahu apa patut dilakukan. Namun, bunyi itu juga diakui antara perkara paling menganggu ketika memandu. Bunyi bising sebenarnya bertujuan membantu, tetapi sayangnya nada itu tidak seperti bunyi stereo dihidupkan atau tingkap kuasa diturunkan.
5. KETAHANAN & RELIABILITI
Mekanisme sensitif biasanya direka untuk dapat bertahan daripada kemungkinan salah guna dan kekasaran pemandu. Terdapat banyak bahagian kecil, lembut dan diminyakkan dalam mekanisme lampu signal belok, di mana dalam jangka masa panjang fungsinya boleh jadi caca-marba, haus atau patah bergantung kepada tahap penggunaan. Item seperti modul pengelip turut mempunyai risiko kegagalan pada masa tertentu.
BACA >>> #RetroAuto: Sejarah Lampu Utama Kereta yang Perlu Anda Tahu
Di atas ialah 5 masalah berbangkit mengenai lampu signal belok pada 1940 dan masalah itu kekal sama hingga ke hari ini. Sama ada benci atau suka, inilah teknologi terbaik yang kita miliki dan kekal relevan sejak lebih 70 tahun lalu.
Sama seperti Buick 1940 itu sendiri, sistem lampu signal belok moden hari ini sepatutnya sudah lama menjadi arkib muzium. Mungkinkah sudah tiba masanya teknologi baharu diperkenalkan, atau sememangnya belum dijumpai?
SUMBER: RLPEngineering.com
Leave a Reply