MERCEDES-Benz Malaysia meluaskan barisan model dengan memperkenalkan Mercedes-AMG A35 4MATIC, Mercedes-AMG A45S 4MATIC+ dan CLA 45S 4MATIC+ yang dilancarkan secara atas talian menerusi akaun Facebook Mercedes-Benz Malaysia.
A45S dan CLA 45S (kedua-duanya dengan 4MATIC+) tampil agresif menerusi padanan gril Panamericana dengan rekabentuk vertikal. Kemas kini aerodinamik dikukuhkan dengan pemasangan apron dan spliter depan.
Penampilan kedua-dua model itu disempurnakan dengan rim aloi 19 inci bersama tayar bersaiz 245/35 dan 255/35 untuk model sedan coupe. Versi S mudah dikesan menerusi brek cakera 6-piston merah dengan lencana AMG hitam.
Turut tersedia pilihan dua tip ekzos kembar diameter 90mm, difuser dan spoiler bumbung (A45S) atau spoiler but (CLA 45S). A35 dibezakan dengan gril depan horizontal krom. Padanan lampu baharu LED multisuluh (multibeam) menawarkan pencahayaan lebih terang dan natural pada malam.
Tambahan, kualiti cahaya luar biasa Bantuan Suluh Tinggi Adapatif (Adaptive Highbeam Assist Plus) mampu mengawal kawalan lampu LED menerusi penukaran suluhan rendah, separa dan lampu utama secara automatik. Mercedes-AMG A35 4MATIC dan A45S 4MATIC+ didatangkan dengan Pakej Edition 1.
BACA >>> #PanduUji: Mercedes-Benz E300 Exclusive Line, Sedan Mewah untuk Baby Boomers?
Pakej Edition 1 menawarkan rim 19 inci 5 jejari kembar hitam kusam dengan kemasan penutup roda di tengah. Gril radiator Edition 1 dikromkan supaya tampil eksklusif.
Paling mengujakan ialah trenkuasa baharu digunakan tiga model Mercedes-Benz berkenaan yang dikatakan enjin 4-silinder turbo paling berkuasa dunia setakat ini untuk model pengeluaran massa.
A45S dan CLA 45S berkongsi enjin sama, 2.0L Turbo berkuasa 421hp @ 6750rpm dan tork 500Nm @ 5000-5250 rpm. Hantaran kuasa disalurkan transmisi dual-klac (DCT) AMG SpeedShift 8G yang membolehkan pecutan 0-100kmj dibuat sepantas 3.9 saat (A45S) dan 4.0 saat (CLA 45S) dengan pecutan maksimum 270kmj.
Sementara itu, enjin 2.0L A35 pula menghasilkan kuasa 306hp @ 5,800-6,100rpm dan tork 400Nm @ 3,000-4,000rpm. Hantaran kuasa ke roda disalurkan menerusi transmisi DCT AMG SpeeShift 7G.
Pecutan 0-100kmj mampu dicapai sepantas 4.7 saat, manakala kelajuan maksimum 250kmj. Pemandu juga boleh mengaktifkan mod Drift untuk kedua-dua model A45S dan CLA 45S, dengan mod Race diaktifkan apabila ciri Program Stabiliti Elektronik (ESP) dimatikan dan gear manual digunakan.
Sistem absorber adaptif AMG Ride Control pula membolehkan pemandu memilih tiga mod berbeza bermula pemanduan selesa hingga sporty. Sistem ini beroperasi automatik dan mampu memberikan reaksi pada setiap pergerakan roda (mengikut mod dan permukaan jalan) dalam masa milisaat.
Sistem AMG Dynamic Select pula menawarkan enam mod pemanduan, iaitu: Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race (standard untuk model S). Ruang kabin menampilkan sistem infotainment MBUX, kerusi kontur dengan kemasan kulit Artico dan mikrofier Dinamica, aksen kuning, stereng AMG Performance dengan balutan kulit nappa/mikrofier Dinamica dan sistem pencahayaan ambien.
Konsol tengah menampilkan komponen pad sentuh untuk kawalan sistem infotainment MBUX dan butang tambahan untuk mengawal ciri seperti ESP tiga peringkat, mod manual, dan fungsi suspensi adaptif AMG Ride Control. Selain itu, elemen AMG menguasai segenap ruang dengan kehadiran pedal sport keluli tahan karat, karpet AMG, pelapik bumbung fabrik hitam, dan kemasan keluli tahan karat AMG pada sil pintu.
BACA >>> #BikinKereta: Mercedes-Benz E300 AMG Bertatah Emas Tulen, Berlian
BACA >>> #TahukahAnda: Bagaimanakah Sistem DAS Untungkan Mercedes AMG PETRONAS?
Berikut harga jualan tiga model Mercedes-Benz:
- Mercedes-AMG A35 Edition 1 - RM379,888
- Mercedes-AMG A45S 4MATIC+ Edition 1 - RM459,888
- Mercedes-AMG CLA 45S 4MATIC+ - RM448,888
Leave a Reply