SEBAGAI komponen yang mengeluarkan emisi (sisa buangan pembakaran), sistem ekzos kereta mempunyai fungsi mengurangkan kadar pencemaran. Ini bertujuan memastikan jumlah pengeluaran gas mengikut standard ditetapkan sesebuah negara yang mana ia seharusnya kurang membahayakan manusia dan alam sekitar.
Kebocoran sistem ekzos sangat berbahaya kepada kesihatan pemandu dan penumpang kerana mampu menyelinap masuk ke dalam ruang kabin kereta. Gas ekzos seperti karbon monoksida (CO) adalah tidak berbau dan tidak dapat dilihat mata kasar yang boleh menyebabkan kita terhidu tanpa sedar.
Kandungan CO tinggi boleh menjejaskan kesihatan, malah menjurus kepada kematian.
Kes-kes kematian dalam kenderaan ketika tidur juga berlaku kerana gas ekzos memasuki ruang kabin. Ini kerana gas tidak dapat tersebar kerana kenderaan tidak bergerak. Lebih bahaya kalau berada di kawasan tertutup seperti garaj kereta atau parkir dalam bangunan.
Jadi, pemandu disarankan membuka tingkap supaya gas tidak terkumpul dalam kereta. Lebih selamat jika tidak menggunakan penyaman udara dan mematikan enjin jika hendak tidur. Namun, langkah membuka semua cermin tingkap kereta sekurang-kurangnya mampu mengurangkan risiko terhidu CO.
Pengetahuan mengenai kebocoran sistem ekzos adalah sangat penting bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku. Jika anda sedar berlaku kebocoran, segeralah ke bengkel untuk dibaik pulih.
Bagaimanakah mengesan sistem ekzos kereta kita mengalami kebocoran?
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Penukar Bermangkin (Catalytic Converter) Pada Sistem Ekzos?
BACA >>> #TahukahAnda: Bagaimanakah Deruman Ekzos Motosikal Boleh Berbeza Bunyi?
1. BUNYI ENJIN KERETA SEMAKIN KUAT
Ini simptom yang biasa terjadi apabila sistem ekzos bocor. Bunyi enjin tiba-tiba jadi semakin kuat atau bising. Kereta moden hari ini sepatutnya tiada bunyi bising ketara kerana indeks pelepasan bunyi perlu dijaga. Situasi tersebut berlaku sekiranya ekzos tiba-tiba bocor di bahagian paip ekzos atau penyambung.
Jika sudah diperiksa tetapi tiada kebocoran, mungkin bocor di bahagian penyambung. Ini boleh berlaku sekiranya gasket, yang menjadi penebat bahagian penyambung, mengalami kerosakan.
Gasket boleh rosak disebabkan perubahan suhu panas dan sejuk. Berdasarkan jangka hayat komponen kereta, gasket mampu bertahan selama 5 tahun atau mungkin hingga 20 tahun. Tiada spesifik tempoh hayat kerana bergantung kepada pengeluar kenderaan.
2. BUNYI LAIN MACAM KETIKA MEMECUT
Simptom kedua adalah kebocoran kecil bahagian paip ekzos. Bunyi kereta ketika memecut akan kedengaran berbeza seperti siulan atau angin terkeluar. Bunyi itu pula hanya kedengaran ketika memecut kerana saiz kebocoran paip adalah kecil.
Namun jika dibiarkan, saiz itu akan membesar dan muncullah bunyi ekzos lebih kuat. Mengenai bunyi kuat itu pula, pemandu tiada pengalaman pula boleh perasan perbezaannya. Kata orang, bunyi macam motobot!
Perbezaan bunyi pada awal simptom mungkin sukar dikesan kerana kereta memang mengeluarkan banyak bunyi-bunyian. Berdasarkan bunyi biasa, sekiranya anda terdengar bunyi berbeza, segeralah bawa kereta anda untuk diperiksa di bengkel. Namun tidak semua isu bunyi itu mendatangkan masalah kerana memang sesetengah komponen kereta mengeluarkan bunyi ketika bekerja.
3. RASA GEGARAN PADA PEDAL MINYAK
Gegaran pedal minyak boleh berlaku walaupun ada kebocoran kecil. Jadi kita gabungkan simptom kedua dan ketiga ini, kemungkinan besar berlaku kebocoran. Gegaran itu pula berkadar langsung dengan saiz kebocoran paip ekzos. Semakin besar saiz bocor, maka semakin teruk pedal minyak bergegar.
Jika dibiarkan, gegaran akan merebak sampai ke bahagian stereng dan lantai kereta. Kadangkala gegaran dan bunyi yang terhasil boleh buat kita rasa kereta macam nak roboh. Semuanya berpunca akibat paip ekzos bocor.
4. TERHIDU BAU KURANG MENYENANGKAN
Berbeza gas CO yang tiada bau, sebaliknya gas karbon dioksida (CO2) mengeluarkan bau tidak menyenangkan, termasuk juga gas-gas lain yang dilepaskan enjin kereta.
Gas-gas tersebut juga mendatangkan bahaya sekiranya terhidu secara berterusan sepanjang pemanduan. Jika kebocoran berlaku di bahagian manifold, gas-gas yang terlepas itu akan menghasilkan bau yang kuat. Pastikan juga mendengar maklum balas penumpang kerana mereka mungkin terhidu bau kurang menyenangkan.
Gas-gas berkenaan mungkin menyelinap masuk menerusi kabin belakang dan tidak dapat dibau pemandu dan penumpang depan. Jadi, sentiasa prihatin kepada bunyi, gegaran dan bau.
5. KERETA KUAT MAKAN MINYAK
Proses pembakaran lengkap memerlukan nisbah kandungan bahan api dan udara bersesuaian untuk memberikan tahap kecekapan bahan api bersesuaian mengikut apa diuarkan pengeluar mengenai sesebuah kenderaan.
Namun, kebocoran sistem paip ekzos menyebabkan enjin sukar beroperasi, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api untuk memberikan tenaga diperlukan kenderaan. Simptom ini mungkin tidak terlalu ketara berbanding simptom lain. Bagaimanapun, jika kebocoran kecil berlaku, simptom kereta kuat makan minyak dapat membantu pemandu mengenal pasti masalah berkenaan.
BACA >>> FAQ: Ramai Je Pemandu Tidur dalam Kereta Tak Ada Apa-Apa Pun? Kenapa Nak Larang?
Leave a Reply