PERGERAKAN rentas negeri selepas 10 Mei ini memerlukan kebenaran daripada polis, dan hanya kes kecemasan saja akan dibenarkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, individu yang memerlukan kebenaran pergerakan itu boleh memohon di balai polis berhampiran. Antara hal kecemasan dibenarkan adalah seperti kematian, manakala sekatan jalan raya bagi rentas negeri masih dikekalkan.
Mengenai Gerak Malaysia yang bermula semalam, Ismail Sabri berkata, laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan pergerakan pulang berjalan lancar yang mana ramai pengguna memulakan perjalanan pada awal pagi. Situasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) juga terkawal dengan kadar pematuhan orang ramai kepada peraturan semasa pergerakan rentas sempadan adalah memuaskan.
Menurutnya, bagi rentas negeri semalam (Khamis), PDRM memberi kebenaran kepada 26,181 pemohon Gerak Malaysia dan 6,304 pemohon borang manual kepada mereka yang terkandas di Kuala Lumpur dan mahu pulang ke kediaman mereka di negeri lain.
Bagi pergerakan rentas negeri hari ini pula, PDRM membenarkan 70,538 pemohon di Perak, Johor dan Kelantan, untuk pulang ke kediaman masing-masing.
Esok pula (Sabtu), sebanyak 54,151 kebenaran dikeluarkan kepada mereka di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang, manakala mereka di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu sebanyak 77,836 kebenaran dikeluarkan untuk pergerakan rentas negeri pada 10 Mei (Ahad),” katanya.
TIDAK BOLEH MELENCONG
Mereka yang melakukan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan melencong atau singgah ke destinasi lain, dan perlu meneruskan perjalanan balik. Ini berdasarkan permohonan kepada polis yang sudah ditulis destinasi dituju.
Sebagai contoh, kalau perjalanan ke Johor dan kemudian balik semula ke Kuala Lumpur, tidak dibenarkan melencong ke Melaka dan sebagainya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PDRM membuat 41,541 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh negara.
BACA >>> Gerak Malaysia: 11 Info Lebuhraya PLUS yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> PM: Tak Boleh Rentas Negeri Balik Raya Tahun Ini!
Leave a Reply