JIKA tayar menghubungkan permukaan jalan dan kereta, stereng pula menyatukan pemandu dan kereta yang mana gerak tangan akan menentukan ke mana arah sesebuah kereta itu hendak dituju.
Walaupun menjadi antara komponen penting kenderaan, tetapi banyak juga pengeluar mengabaikan aspek estetika stereng dengan memilih rekabentuk hambar. Tidak kurang juga pengeluar yang sanggup mengambil risiko menghasilkan rekabentuk stereng unik dan pelik dengan harapan sentiasa diingati, tetapi lain pula hasil diharapkan.
Jom kami senarai 12 stereng kereta paling buruk pernah dihasilkan.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu Sistem Stereng Empat Roda?
BACA >>> #ApaNakBuat: Kenapa Stereng Kereta Saya Gegar?
1. SUBARU XT
Sebelum ada Subaru XV, pengeluar Jepun itu pernah menawarkan model XT sebagai model sport dua pintu. Subaru XT dikeluarkan pada1985 hingga 1991. Rekabentuk luaran kereta ini cukup menarik tetapi bentuk stereng dianggap komponen paling mengarut. Walaupun rekabentuk stereng pelik, tetapi masih dianggap cool pada zaman itu.
2. FORD FAIRMONT GHIA XE
Fairmont Ghia ialah salah satu model kereta otot (muscle car) Ford di Australia yang dipacu enjin V8, dan juga varian paling mewah dalam siri Ford Falcon. Fairmont Ghia XE dikenali dengan rekabentuk stereng unik. Mungkin cuba mengikut gaya Subaru XT dengan tambahan jejari stereng. Atau Ford benar-benar cuba mencipta kelainan.
3. CITROEN DS
Citroen kali pertama memperkenalkan DS pada 1955. Pada masa itu, itulah salah satu kereta paling cantik, paling canggih dan berteknologi tinggi dunia. Rekabentuk luaran dan dalaman kereta DS dikatakan sempurna pada zamannya. Antara komponen yang paling menarik perhatian adalah rekaan stereng.
4. CITROEN KARIN
Jika Citroen DS berjaya memasuki barisan pengeluaran, Citroen Karin pula kekal sebagai model konsep. Kereta ini dipercayai kenderaan teknologi masa depan Citroen. Mujurlah belum keluar versi pengeluaran.
5. SPYKER C8
Belanda kurang popular dalam industri pengeluaran kenderaan massa melainkan anda peminat jenama supercar Spyker. Khabarnya kereta Spyker ini dicipta dengan mengambil ilham daripada sektor penerbangan.
Setiap kereta Spyker ada kelas tersendiri yang menampilkan rekabentuk luaran moden, tetapi menawarkan pengalaman kabin vintaj. Papan pemuka Spyker 8 dibuat daripada aluminium dengan kluster meter seperti dalam kabin pesawat ringan. Stereng pula nampak seperti propeler (kipas) kapal terbang kecil.
6. MASERATI BOOMERANG
Maserati Boomerang ialah model konsep yang mempunyai rekaan stereng dan papan pemuka pelik. Kereta ini ditayangkan di Pameran Motor Turin pada 1971 dan pernah dilelong rumah lelongan Bonhams pada harga AS$3.7 juta (RM15.8 juta).
7. ASTON MARTIN LAGONDA
Ini salah satu kereta melangkaui zaman dan digelar sebagai kereta masa depan. Aston Martin Lagonda muncul pada awal 1980-an dengan bentuk stereng seperti terapung dan dibalut material kulit. Papan pemuka kereta ini sarat dengan butang leper dan paparan digital atau simbol seperti komputer lama.
BACA >>> Aston Martin Bulldog - Konsep Supercar Terpantas 70-an Akan Dibaik Pulih
8. LANCIA BETA TREVI
Ramai peminat kereta yang pernah mengenali jenama Lancia pasti tahu kisah malang Beta. Masalah karat pada produk memaksa pengeluar Itali itu membeli semula kereta daripada pelanggan di Britain. Beta Trevi dikritik kerana mempunyai papan pemuka seperti keju Swiss dan rekaan stereng pelik.
9. ITALDESIGN AZTEC
Kereta dengan kokpit dua kerusi ini pernah dijual rumah lelongan Bringatrailer, iaitu salah satu 50 unit pernah dikeluarkan. ItalDesign Aztec dijana enjin Audi 5-silinder sebaris 2.2L dengan transmisi manual 5-kelajuan. Sistem pacuan semua roda (AWD)cpula diambil daripada Lancia.
Antara ciri pelik Aztec ialah sistem stereng roda tidak simetri dan komputer rali (rally computer) di bahagian penumpang depan.
10. OLDSMOBILE INCAS
Jika ruang kabin Aztec dilihat pelik, kereta Oldsmobile Incas ini pula berada pada satu tahap yang di luar akal fikiran. Kebetulan pula kereta konsep keluaran 1986 ini juga direka ItalDesign. Lihatlah rekaan stereng kereta ini yang nampak seperti pesawat angkasa lepas dalam filem fiksyen sains.
11. MAZDA MX-03
Bukan hanya Oldsmobile Incas ada kokpit gaya pesawat, Mazda MX-03 juga pernah mengetengahkan rekaan stereng ala pesawat. Model ini dikeluarkan pada 1980-an dan bukan MX-3 era 1990-an.
12. FORD 'WRIST TWIST' SYSTEM
Sistem stereng 'Wrist Twist' dicipta bekas jurutera peluru berpandu untuk Ford dan Mercury yang disifatkan sebagai konsol kawalan masa depan untuk kereta pada zaman tersebut.
Malangnya, ujian dilakukan membawa kepada hasil tidak diingini. Sistem stereng tersebut dikatakan sukar dikawal dan terlalu sensitif terhadap sebarang tindak balas pergerakan. Di bawah ini ada video promosi mengenai sistem stereng 'Wrist Twist' yang akhirnya gagal ditawarkan kepada pelanggan.
BACA >>> Lotus Evora Sport 410 Edisi Khas Filem James Bond - Cuma 1 Unit Dijual!
SUMBER: Hotcar | Motor1 | Wikipedia | LynolsOffice
Leave a Reply