BANYAK pengeluar automotif dunia mengambil langkah positif menghasilkan produk untuk kegunaan petugas barisan hadapan di negara masing-masing dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19. Lamborghini sebelum ini dilaporkan menghasilkan topeng muka, manakala pengeluar nasional, Proton baru saja memulakan projek pembuatan perisai muka.
Juga tidak ketinggalan, Aston Martin kini dalam proses menghasilkan sut kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) untuk petugas barisan hadapan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di Britain. Pengeluar kenderaan mewah itu akan menyediakan sut keselamatan seperti alat perlindungan pernafasan, visor pelindung dan gaun perlindungan.
Antara prosedur berisiko yang perlu ditempuhi petugas kesihatan ketika merawat pesakit Covid-19 adalah intubasi dan ekstubasi. Justeru perlindungan tambahan diperlukan.
BACA >>> Aston Martin Vanquish S Red Arrows Edition Angkat Kehebatan Pasukan Aerobatik Udara Britain
Aston Martin bekerjasama dengan rakan projek, Multimatic dan membantu Pusat Teknologi Pembuatan (MTC) bagi menghasilkan kelengkapan perlindungan pernafasan baharu. Pelindung intubasi itu berbentuk kotak daripada Perspex yang diletakkan pada bahagian badan pesakit bagi melindungi kakitangan perubatan ketika melakukan prosedur kesihatan.
Inovasi itu juga melibatkan cara penyusunan dan penjimatan ruang dalam wad unit rawatan rapi (ICU) yang sibuk. Ini juga membolehkan MTC membekalkan kelengkapan itu kepada NHS dengan segera.
Seperti itu, Aston Martin juga menggunakan teknologi pencetak 3D dan dalam masa terdekat bakal mengeluarkan 150 visor pelindung setiap minggu. Bahagian rekabentuk kini sedang bekerjasama dengan Hospital Warwick bagi membangunkan visor pelindung yang memenuhi garis panduan jangkitan ditetapkan NHS.
Kerja-kerja pemasangan dibuat kakitangan sukarela dengan mengikuti garis panduan penjarakan sosial ditetapkan Kerajaan. Penghantaran pertama menggunakan model paling praktikal, iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) DBX.
Bagi gaun perlindungan, Aston Martin menerima permintaan terus dari hospital tempatan. Contoh gaun sudah pun dihantar kepada NHS, dan Aston Martin berhasrat mengeluarkan produk itu minggu depan. Pengeluar Britain itu mempunyai kapasiti pengeluaran hingga 750 unit gaun setiap minggu menerusi fasiliti utama di Gaydon, Warwickshire.
Selain kepakaran pengeluaran, Aston Martin turut menawarkan khidmat baik pulih kecemasan untuk kenderaan secara percuma kepada kakitangan NHS, dan hanya perlubayar kos alat ganti pada harga diskaun.
BACA >>> Aston Martin Valkyrie - Kereta Hiper Enjin NA Cosworth V12 Berkuasa 1,160hp!
Leave a Reply