WALAUPUN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuma menyebut 15-28 April sebagai tempoh lanjutan Perintah Kawalan Berkurung (PKP) Fasa Ketiga, tetapi ucapan beliau sebenarnya turut memberikan bayangan tentang kemungkinan PKP dilanjutkan lebih lama.
Jangkaan itu dapat dikesan menerusi kenyataan beliau semalam selepas membuka ucapan dengan mengucapkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara dan makluman tarikh lanjutan baharu, atau PKP Fasa Ketiga.
Ada tiga kata kunci utama disebutkan Persana Menteri dan kami petik semula ucapan tersebut di bawah ini;
1. BERSEDIA BERLARUTAN BEBERAPA BULAN
Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia berhadapan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi 100 peratus."
Berdasarkan kenyataan di atas, Perdana Menteri secara berkias menggesa kita semua bersedia dengan sebarang kemungkinan PKP diteruskan selama beberapa bulan. Sebagai makluman, tempoh PKP Fasa Kedua yang sedang kita lalui sekarang belum pun masuk sebulan. Mungkinkah maksud 'beberapa bulan' itu adalah dua atau tiga bulan, ataupun lebih lama?
2. TIADA BAZAR, TERAWIH DAN BALIK KAMPUNG
Kiasan kedua tentang kebarangkalian lanjutan PKP selepas April ini pula dapat dikesan menerusi kenyataan susulan berikut;
Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawihlah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.
"Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi."
Sebagai makluman lagi, kita dijangka menyambut Ramadan bermula 23 April hingga 23 Mei nanti. Dalam kenyataan di atas, Muhyiddin sudah siap menyebut beberapa aktiviti sepanjang bulan puasa yang tidak dapat dilakukan seperti pergi ke bazar dan berterawih, termasuk pulang ke kampung.
Kenyataan tersebut disokong pula dengan pelbagai pengumuman rasmi dibuat beberapa Kerajaan Negeri bahawa bazar Ramadan tidak akan dibuka sepanjang Ramadan. Dan ayat 'tidak boleh balik ke kampung' mendedahkan yang kita tidak akan ke mana-mana sepanjang April hingga penghujung Mei nanti.
Perdana Menteri turut menyebut permintaannya kepada Kementerian Pendidikan tentang pembelajaran di rumah kerana sekolah tidak akan dibuka dalam masa terdekat.
BACA >>> Selangor Buka e-Bazar Ramadan dengan Kerjasama Grab
3. BENARKAN OPERASI PERUSAHAAN, TAPI BERSYARAT
Bagaimanapun, Muhyiddin menyatakan kesediaan Kerajaan membenarkan beberapa perusahaan, perkilangan dan perniagaan dibuka secara berperingkat dengan garis panduan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat, bermula PKP Fasa Ketiga ini. Sekiranya ada mana-mana premis dikesan melanggar peraturan, Kerajaan tidak teragak-agak menarik balik kebenaran diberikan.
Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.
"Untuk itu, Kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat.
Sebuah jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan bersama Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Menteri Kanan (Pertahanan) diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka berperingkat.
Keputusan terbaharu ini adalah antara usaha Kerajaan untuk meredakan krisis ekonomi rakyat yang tergendala akibat PKP. Walaupun dilihat mengundang bahaya, tetapi Kerajaan pasti sudah menilai potensi risiko tersebut. Sebagai contoh, perniagaan seperti pusat servis, kedai gunting rambut (bukan salun) dan kedai dobi (bukan layan diri) kurang terdedah kepada perhimpunan ramai selain mampu mematuhi saranan penjarakan sosial.
Ini juga menandakan Kerajaan cuba melonggarkan sekatan ke atas sektor dan golongan rakyat tertentu untuk terus bertahan, terutama dalam menanggung beban kewangan.
BACA >>> MITI: Pusat Servis, Kedai Gunting Rambut dan Dobi Boleh Buka Sepanjang PKP
PKP HAMPIR PASTI SAMPAI AIDILFITRI
Jadi, apakah yang dapat kita simpulkan daripada ucapan Perdana Menteri itu?
Berdasarkan analisis kami, PKP dijangka dilanjutkan hingga Fasa Keenam, iaitu sekurang-kurangnya dua minggu selepas Aidilfitri (24 Mei) atau lebih tepat hingga 9 Jun 2020. Alasan paling utama, Kerajaan akan cuba mengelakkan sebarang risiko penularan akibat pergerakan manusia besar-besaran yang biasanya berlaku pada musim perayaan.
Berikut fasa ramalan kami mengikut trend lanjutan PKP setiap dua minggu:
- Fasa Pertama - 18-30 Mac - SELESAI
- Fasa Kedua - 01-14 April - FASA SEKARANG
- Fasa Ketiga - 15-28 April [Ramadan 23 April] - FASA AKAN DATANG
- Fasa Keempat - 29 April-12 Mei [Ramadan]
- Fasa Kelima - 13 Mei - 26 Mei [Aidilfitri 24 Mei]
- Fasa Keenam - 27 Mei - 9 JUN 2020
Melihat jadual fasa PKP di atas, Aidilfitri akan jatuh pada 24 Mei dalam PKP Fasa Kelima. Cuma berbaki dua hari sebelum ia ditamatkan. Dalam suasana biasa, dua hari selepas Raya, umat Islam di Malaysia sebenarnya masih dalam mood beraya dan ziarah.
Jadi, bagi mengelakkan sebarang pergerakan dan perhimpunan ramai, kami jangka Kerajaan akan melanjutkan tempoh PKP hingga 9 Jun, iaitu 17 hari selepas Aidilfitri. Selepas itu, mood beraya mula mengendur dan kembali seperti sediakala.
Apapun, segalanya tetap bergantung kepada graf dan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Namun, sekurang-kurangnya kami berani meramalkan PKP hampir pasti dilanjutkan hingga Fasa Keenam, iaitu 9 JUN 2020. Semoga kita semua dapat terus kuatkan mental dan fizikal untuk menempuh masa-masa sukar ini dalam masa dua bulan lagi.
Leave a Reply