SELAIN Toyota Vios, tidak salah mengatakan Honda City adalah pemain besar segmen B dalam kategori kenderaan non-nasional. Justeru tidak hairan sejak debut di India pada November tahun lalu, kemunculan sedan ini di pasaran tempatan sangat dinanti-nanti peminat automotif negara ini, terutama fanatik Honda. Malah, 1,800 tempahan sudah dibuat sepanjang pra pelancaran bulan lalu.
Mula diperkenalkan ke pasaran dunia pada 1996, City memberi kegembiraan kepada lebih 2.2 juta pelanggan di 55 negara. City juga menjadi penanda aras buat sedan lain dengan menawarkan keselesaan dan ruang kabin luas, serta teknologi termaju yang sentiasa menjangkau jangkaan pelanggan. Sebagai sedan Honda paling laris, lebih 145,000 unit City berada atas jalan raya Malaysia sejak diperkenalkan pada 2001.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Honda Malaysia, Yoichiro Ueno berkata, City serba baharu adalah model pertama dilancarkan Honda Malaysia tahun ini.
“City menawarkan sofistikasi melalui pakej keseluruhan yang memenuhi keperluan pelanggan dengan menggabungkan penampilan premium, pemanduan mengujakan, keselesaan dan ruang kabin luas bersama ciri keselamatan mendahului kelas.
"Komited menawarkan model mampu milik dan bernilai kepada pelanggan, Honda Malaysia buat pertama kali memperkenalkan empat varian City serba baharu, City S, City S+, City E dan City V,” katanya.
Menurut Ueno, penambahan barisan varian adalah respons kepada maklum balas diterima pelanggan dan kehendak pasaran.
“Rangkaian varian luas memberi peluang kepada pelanggan memiliki sedan global yang ada ciri mendahului kelas, berdasarkan kemahuan mereka,” katanya lagi.
EXCITING H DESIGN
City serba baharu dibina berasaskan konsep Exciting H Design, di mana ‘H’ bermaksud tumpuan terhadap manusia (Human Center) yang memberi fokus ke atas pemandu dan penumpang. Bahagian hadapan sedan menampilkan wajah Exciting H Design yang berbentuk ‘solid wing face’, manakala belakang nampak lebar bersama imej premium dan gabungan lampu belakang serta panel plat sepadan. City generasi terbaharu dikuasakan enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang pertingkat dengan kuasa maksimum 118hp pada 6,600rpm dan tork, 145Nm (4,600rpm).
Enjin City dipadankan Transmisi Variabel Berterusan (Continuous Variable Transmission-CVT) terkini yang dibangunkan di bawah ‘Earth Dreams Technology Honda dalam usaha menawarkan kombinasi prestasi dan penjimatan bahan api sempurna. Buat pertama kali, City dilengkapi tambahan mod ECON sebagai ciri standard semua varian bagi meningkatkan penjimatan bahan api dengan hanya menekan satu butang sahaja. Falsafah ‘Manusia Maksimum, Mesin Minimum’ (Man Maximum, Machine Minimum) digunakan sebagai asas utama pembangunan kereta ini.
Memberi penekanan terhadap keselesaan premium, City menawarkan ruang kabin luas, terutama bahagian belakang bagi memberikan keselesaan kepada pemandu dan semua penumpang. City turut menawarkan kapasiti but paling luas dalam kelas, iaitu 536L dan mampu memuatkan barang bersaiz besar seperti tiga bagasi besar atau empat bagasi sederhana, beg golf dan kereta sorong bayi, sekali gus memudahkan pemandu dan penumpang ke mana-mana sahaja bersama keluarga atau rakan-rakan.
Malah, sedan ini dilengkapi pelbagai ciri termaju seperti sistem Entri Pintar (Smart Entry - E & V), butang penghidup enjin (E & V), Kawalan Jelajah (Cruise Control) [V], Paparan Audio bersaiz 7 inci dengan fungsi MirrorLink (V), 8 unit pembesar suara (V), Meter Kombinasi Multi Maklumat, ventilator penyaman udara untuk penumpang belakang (E & V), dua jack USB (V), 3 soket kuasa (E & V), 8 tempat letak botol minuman dan kompartmen simpanan barang pintar, Kawalan Telefon Bebas Tangan (S+, E & V) dan Kawalan Pengecaman Suara (V) di stereng yang bersambung dengan sistem infotainmen kenderaan untuk kemudahan di hujung jari.
6 BEG UDARA
Ciri keselamatan terbaik turut menjadi sandaran City dengan menawarkan enam beg udara (V) yang nyata mendahului kelas (termasuk dual beg udara depan SRS, beg udara i-Side & beg udara tirai sisi), Bantuan Stabiliti Kenderaan Assist (VSA - E & V), Bantuan Mula Daki (HSA -E & V), Signal Henti Kecemasan (ESS - E & V] dan ISOFIX.
Lima warna pilihan ditawarkan, Modern Steel Metallic (kelabu), Alabaster Silver Metallic (perak), Taffeta White (putih), Crystal Black Pearl (hitam) dan Brilliant Sporty Blue Metallic (biru). Pembeli juga berpeluang menimati jaminan lima tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis hingga 10,000km. Lebih menarik, dua pakej aksesori kini boleh dipilih sebagai opsyen pembeli, iaitu Aksesori Tulen Honda (RM1,700) dan Pakej Modulo Honda (RM3,200) kepada mereka yang mahu mengubah suai kenderaan. Honda Malaysia yakin City serba baharu adalah sedan asas ideal di pasaran Malaysia dengan pakej harga menarik.
Berdasarkan populariti, Honda Malaysia meletakkan sasaran jualan 2,500 unit City serba baharu sebulan sepanjang tahun ini. Semua varian ini akan dipasang di kilang milik Honda Malaysia di Melaka. Ueno turut mengumumkan varian CKD hibrid ditambah pada masa akan datang.
SPESIFIKASI
ENJIN 1.5L empat silinder, 16-Valve, SOHC i-VTEC
KUASA MAKSIMUM 118hp@6,600rpm
TORK MAKSIMUM 145Nm@4,600rpm
KELAJUAN MAKSIMUM 190kmj
CIRI ABS, EBD, BA, Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Daki (HSA), 6 beg udara (V sahaja), badan ACE & G-CON, ISOFIX
HARGA RM75,800 (S) | RM78,800 (S+) | RM83,800 (E) | RM90,800 (V)
Leave a Reply