JIKA ada wang berpuluh-puluh ribu ringgit, sanggupkah anda habiskan dengan membeli motosikal yang sudah dihentikan pengeluaran kira-kira sedekad lalu?
Di Indonesia, tular kisah seorang penjual motosikal yang menjual model RX King Edisi Terhad (2003) pada harga Rp150 juta (RM43,900)! Kenapa mahal sangat?
Sebenarnya, apa yang membuatkan model 2-lejang itu mencecah harga sebegitu tinggi adalah kerana status 'New Old Stock (NOS)' , iaitu model lama dalam kondisi baharu dengan meter perbatuan rendah. Paling penting, motosikal tersebut bukan produk restorasi atau bikin semula supaya nampak baharu.
BACA >>> #Videotomotif: Mari Kita Dengar Bunyi Ekzos Yamaha RX-Z TwinBoss
Penjual motosikal, Ahmad Arif menerusi akaun Instagram Arif King Priok berkongsi kisah RX King SE (2003) yang dijual kepada pembeli dari Sumatera, Sabar Napitupulu.
"Alhamdulillah RX King SE asli NOS bukan restorasi sold out Rp150,000,000. RX King bukan kaleng-kaleng. RX King ada tempat yang baik buat penghobi dari semua kalangan," katanya.
Ahmad memang sudah lama menjalankan perniagaan jual beli siri Yamaha RX di Jakarta Utara. RX King SE (2003) itu diperolehnya dari Tangerang selepas mendapat maklumat mengenai model itu daripada rakan sehobi. Menurutnya, model tersebut masih dalam balutan plastik dengan kesan debu kerana tidak ditutup sepenuhnya.
"Kondisi RX-King NOS ini memang istimewa, odometer hanya 5km! Jarak sebegitu biasanya untuk proses pindah motor saja," katanya.
Iklan jualan motosikal hitam dengan dekal emas itu dimuat naik di media sosial selama beberapa hari sebelum dia dihubungi Sabar yang berminat membeli streetbike itu untuk diimpan dalam bilik pameran.
BACA >>> Yamaha RZ350 (1984) Edisi Kenny Roberts Ini Akhirnya Dilelong RM30k!
Apa yang membuatkan RX King SE (2003) istimewa adalah status motosikal itu sebagai model ulang tahun RX King 20th Anniversary yang didatangkan dengan peg kaki krom. Cuma 5,000 unit RX King SE seluruh Indonesia.
Yamaha Indonesia mula menawarkan RX King pada 1983 sebelum ditamatkan pengeluaran pada 2008. Model tersebut dihasilkan sebagai pengganti produk CBU, Yamaha RX-K.
RX King SE (2003) dipacu enjin 132cc berkuasa 18.3hp, sama seperti model standard, cuma berbeza seragam dan warna. Di pasaran Indonesia, streetbike itu dijual pada harga sekitar Rp15 juta (RM4,390). Kini selepas 17 tahun, siapa sangka harga model naked itu mampu melonjak 10 kali ganda.
BACA >>> #RetroAuto: Raja Kapcai Dua Dekad - Yamaha 125 yang Revolusioner!
SPESIFIKASI YAMAHA RX KING SE
- Enjin: 2-lejang silinder tunggal
- Gerek x Lejang: 58.0 x 50 milimeter
- Sesaran: 132cc
- Nisbah Mampatan: 6.9:1
- Kotak Gear: Manual 5-kelajuan
- Karburator: MIKUNI VM26
- Saiz Tangki Minyak: 9.5 liter
- Sistem Pencucuhan: CDI
- Saiz Tayar: 2.75-18 (depan) dan 3.00-18 (belakang)
- Sistem Brek: Brek cakera dwi-piston (depan), dram (belakang)
SUMBER: Kompas | IwanBanaran | Gridoto | Facebook
otosae says
legendary motorcycle in Indonesia