KERETA bergerak mengikut arah stereng atau kemudi (steer) yang dikawal pemandu. Sistem stereng pula secara tradisi mengemudi dua roda depan bagi menentukan arah pergerakan kereta, ke kiri atau kanan.
Apabila stereng dipusingkan ke kanan, dua roda depan akan berpusing ke kanan mengikut arah pusingan jam. Pusingan itu hanya boleh divisualkan dari pandangan atas kereta. Apabila hendak ke kiri pula, stereng dipusingkan ke kiri dan roda akan berpusing mengikut arah lawan jam. Itulah serba sedikit pengenalan asas kepada sistem stereng kenderaan.
BACA >>> Lazareth LM 410 - Motosikal Empat Roda dengan Enjin R1!
Sistem stereng empat roda (four wheel steering system) merujuk kepada kawalan arah semua roda ketika memandu. Ini bermakna roda belakang juga digerakkan apabila menukar arah kereta. Sistem ini digunakan bagi meningkatkan keupayaan sesebuah kenderaan untuk bergerak dan menukar arah.
Simpang kecil biasanya menyukarkan kenderaan besar (seperti lori dan bas) membelok. Kadangkala kenderaan dari arah bertentangan terpaksa berhenti sekejap di tepi atau selekoh jalan untuk memberikan laluan. Kereta jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) pun kadangkala susah hendak masuk simpang kawasan tertentu seperti di jalan kampung.
Ini situasi biasa dialami kenderaan tertentu apabila melalui jalan raya luar bandar dan kawasan perumahan. Kalau di kawasan perumahan, walaupun jalan lebar, tetapi ada pula banyak kereta diparkir di tepi jalan.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Fungsi Setiap Punat Pada Stereng F1?
KONSEP SISTEM
Susun atur keseluruhan sistem stereng empat roda menekankan kepada kawalan keseluruhan roda. Apabila dalam halaju rendah, roda belakang akan diputarkan berlawanan arah daripada roda depan bagi meningkatkan pergerakan membelok dengan jarak pusingan lebih pendek.
Sebaliknya dalam halaju tinggi, roda belakang diputarkan mengikut arah sama dengan roda depan bagi memudahkan kereta menukar lorong secara tiba-tiba dengan lebih stabil.
Konsep ini boleh digunakan apabila memarkir kereta. Pemandu akan lebih mudah memarkir secara sisi (parallel) kerana cuma memerlukan radius kecil dan semua roda bergerak ke arah sama. Jadi, segala formula asas tentang teknik mudah hendak masuk parkir (seperti perlu memusing stereng arah lawan jam), sudah tidak relevan lagi.
Justeru pengeluar yang mahu menggunakan sistem stereng empat roda perlu memastikan sistem stereng kenderaan mampu berfungsi seperti berikut:
- Mengemudi roda depan di selekoh tajam dengan mudah dan lembut.
- Rasa ringan ketika memandu dalam halaju rendah, dan berat dalam halaju tinggi.
- Stereng mudah kembali ke posisi asal ketika dan selepas membelok.
- Kurang impak gegaran disebabkan perbezaan rupa bumi.
Senarai di atas adalah bagi memastikan sistem stereng empat roda mampu beroperasi efektif untuk keselesaan pemandu. Asasnya, sukar untuk menerapkan konsep sistem tersebut untuk semua kereta kerana tiada keperluan untuk kereta kompak yang sudah sedia mempunyai radius putaran kecil. Namun, bagi kereta jenis sedan dan lebih besar, sistem ini pasti sangat membantu.
BACA >>> Tentang Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) yang Lebih Maju dan Cekap
MOD KAWALAN STERENG
Mod kawalan stereng empat roda memerlukan butang kawalan yang ada ada pada roda stereng atau kawasan capaian tangan pemandu. Ini bermakna, sistem ini memerlukan pengawalan unit kawalan elektronik (ECU) bagi menukar setiap pilihan mod.
1. KAWALAN STERENG DUA RODA (TWO WHEEL STEER)
Ini mod asal, kawalan stereng hanya untuk roda depan. Kawalan roda belakang akan dikunci apabila kereta dalam mod ini. Kebiasaannya, penjual akan menggunakan mod ini sebagai tetapan standard dan membuat huraian kepada pemandu ketika menyerahkan kereta.
Jika beli kereta yang ada kawalan stereng empat roda, anda dijelaskan dengan terperinci tentang penggunaan butang mod kawalan. Biar lambat bawa kereta, asalkan faham keseluruhan sistem kereta baharu anda itu.
2. KAWALAN STERENG EMPAT RODA - HALAJU RENDAH (FOUR WHEEL STEER)
Mod ini amat berguna di kawasan jalan bandar yang sesak atau luar bandar. Roda belakang berpusing pada arah berbeza daripada roda depan. Keadaaan ini mengurangkan radius putaran roda hingga 25 peratus. Jadi sistem ini memudahkan pemandu membuat pusingan-U atau masuk simpan kecil. Mod ini juga selalu digunakan pada halaju kurang 40kmj.
3. KAWALAN STERENG KETAM (CRAB STEER) - HALAJU TINGGI
Sudah namanya 'ketam', memang jalan senget. Semua roda di bawah mod ini berada pada arah posisi sama. Pada halaju tinggi, sistem kawalan stereng dalam mod ini boleh digunakan. Kereta boleh menukar lorong lebih mudah pada arah menyenget.
Masa perubahan lorong akan berkurangan kerana keseluruhan badan akan bergerak sama dengan gerakan stereng roda. Ini menambah kestabilan ketika menukar lorong. Posisi ini turut membantu kereta mengelak kereta depan yang berhenti mengejut.
4. KAWALAN BELOK SIFAR (ZERO TURN)
Roda depan dan belakang berada dalam keadaan selaras yang menyebabkan situasi tanpa pusingan. Perhatikan gambarajah di atas, Jeep Hurricane dengan keempat-empat roda berada pada sudut berbeza. Sudut ini menjadikan kereta tidak boleh berpusing.
RUMUSAN PENGGUNAAN
Berdasarkan huraian mod kawalan stereng empat roda di atas, dapatlah kita rumuskan penggunaan sistem ini mampu meningkatkan keupayaan pengendalian sesebuah kenderaan di kawasan seperti:
- Kawasan Parkir: Kereta lebih mudah diparkir sisi.
- Persimpangan Jalan: Lebih mudah masuk simpang kecil dan tajam dengan jarak pusingan lebih kecil.
- Permukaan Jalan Licin: Kawalan roda belakang dapat mengelakkan bahagian belakang membuang. Ini memudahkan kereta dikendalikan.
- Laluan Lurus Panjang Halaju Tinggi: Pemandu kadangkala terpaksa membetulkan posisi stereng untuk menetapkan kedudukan kereta ketika memandu. Kawalan darjah posisi keempat-empat roda akan mengekalkan kedudukan keseluruhan kereta pada lorong pemanduan dikehendaki.
- Jalan Kecil: Jalan kecil biasanya menyebabkan roda terkeluar ketika mengambil selekoh. Sistem ini akan mengecilkan jarak putaran kereta ketika membelok, sekali gus memudahkan pemandu mengelakkan kereta terbabas keluar dari jalan kecil.
Setakat ini, tiada lagi kereta di Malaysia menggunakan sistem stereng empat roda. Bagaimanapun, berdasarkan kondisi jalan raya Malaysia, tidak mustahil pada masa akan datangm sistem tersebut akan diperkenalkan.
Di luar negara, sistem sebegini juga belum komersil dan hanya terdapat pada model kereta tertentu yang berharga mahal. Kos penyelenggaraan juga tinggi. Mungkinkah kita perlu tunggu sedekad lagi untuk sistem ini jadi lebih praktikal dan mampu milik?
BACA >>> Kereta Tesla Kini Ada Mod Anjing dengan Kawalan Penyaman Udara Aktif Automatik
Mohd Saifuddin Hafiz says
rasanya honda dah lama ada system ni...kalu tak silap Honda Prelude lama yang leper tu 4WS.