TRAK pikap asalnya dibangunkan sebagai kenderaan mengangkut barang dan melakukan tugas-tugas berat pertanian, pembinaan dan sebagainya.
Namun seiring perkembangan masa, segmen trak pikap mula berevolusi dan semakin ramai pemandu menjadikan kenderaan pacuan empat roda itu sebagai kenderaan harian dan gaya hidup.
Saya bukan peminat trak pikap dan kalau ada yang minta pendapat pasal pengendalian dan fiil memandu, saya pilih untuk tidak ulas lebih-lebih. Ramai mendakwa trak pikap hari ini semakin selesa dan mudah dipandu. Rekabentuk pun semakin trendy, posisi memandu pula tinggi yang memberikan visual pandangan luas dan hal-hal parkir bukan lagi masalah sebab boleh panjat saja bahu jalan. Itu belum bersembang lagi pasal hal meredah banjir, boleh panjat bukit dan jimat minyak.
Namun jika model itu Ford Ranger, ya, mungkin selesa untuk memandu dalam bandar. Kawalan stereng ringan, susun atur kabin ergonomik dan lapang memang sesuai dijadikan trak pikap urban. Malah model itu memang dibeli ramai peminat pikap untuk dijadikan kereta life style.
Begitu juga Mitsubishi Triton baharu yang juga memenuhi cita rasa pengguna masa kini dan bukan lagi dilihat sebagai kereta kontraktor semata-mata. Namun, andaian itu akan goyah apabila anda melihat dan memandu Nissan NP300 Navara.
BACA >>> Nissan Navara (2019) Eropah Kini Cuma Ada Enjin 2.3L Twin Turbo, Tetapi Berkuasa!
IBARAT ZAITON SAMEON DAN NEELOFA
Teringat sembang kosong dengan rakan automotif pasal pilihan trak pikap. Soalannya mudah;
"Kalau kita nak beli trak pikap untuk kegunaan biasa dan bukan kerja berat, mana lagi OK? Ranger, Navara, atau Triton?"
Jawapannya;
"Kau pun, Ranger dengan Navara sama macam kau tengok Neelofa dan Zaiton Sameon. Jauh beza... handling dan keselesaan pun tak sama, hal maintenance tolak tepi sebab kegunaan biasa dan jarang pakai. So tak ada isu pun."
Saya gelak besar, kejam sungguh perumpamaan itu. Memang berterus-terang sangat. Maklumlah zaman sekarang ramai yang 'hati tisu'. Takut pula nanti dikecam dan diserang penyokong tegar. Namun ada benar perbandingan tersebut.
Kalau diletakkan tiga model yang disebut di atas, pasti tanggapan pertama yang terdetik apabila melihat Navara ialah penampilan yang bosan, nampak tua dan tidak moden. Setiap orang ada pandangan berbeza tetapi Nissan perlu lakukan perubahan pada rupa luaran Navara supaya dapat duduk sama tinggi dengan pesaing lain.
Sudah lumrah manusia, memang rupa luaran yang akan dilihat terlebih dulu. Lebih-lebih lagi jika dia pembeli pertama. Rekabentuk luaranlah yang akan dipandang sebelum mata mahu membaca hal-hal spesifikasi dan kaki melangkah ke bilik pameran.
Model trak pikap yang saya pandu uji ini ialah Nissan Navara VL Plus Black Series Edition. Cuma perubahan kosmetik dan tiada spesifikasi lain yang berubah.
BACA >>> #PanduUji: Si Ranggi Kota Ford Ranger XLT Plus yang Bukan Klise
ENJIN 2.5L TURBO, HANTARAN KUASA LEWAT
Navara ini masih menggunakan enjin 2.5L Turbodiesel dengan geometri boleh ubah (188hp/450Nm) dengan transmisi automatik 7-kelajuan dan mod manual. Kemasan semburan cat hitam boleh dilihat pada bar sport, perumah cermin sisi, gril depan, bawah bampar depan, perumah lampu kabus, fender sisi dan eyelid lampu depan.
Bahagian kabin didatangkan dengan kerusi kemasan kulit hitam. Seperti trak pikap lain, trak pikap ini kekal menggunakan frem ladder yang sesuai untuk tugas berat dan menempuh situasi rupa bumi lasak. Bezanya, ia dipadankan dengan keluli tegangan tinggi diperkuat berbentuk empat segi untuk frem utama.
Ini menyumbang kepada casis lebih rigid. Ketika bergerak, trak pikap ini senyap. Jurang kuasa berbanding pesaing juga tidaklah terlalu ketara untuk mengatakan Navara memiliki nisbah kuasa ke berat paling hebat. Pindahan berat antara depan ke belakang dan sebaliknya adalah lembut dan lancar.
BACA >>> 9 Fakta Menarik Mengenai Nissan Navara NP300
Ketika memandu, Navara memerlukan sedikit masa memecut laju kerana hantaran kuasa sedikit lambat pada rev rendah. Ini ditambah pula kotak gear automatik yang seakan teragak-agak untuk kickdown sedangkan anjakan transmisi memang sedia lancar dan pantas.
Navara juga cenderung mengekalkan nisbah gear lebih tinggi untuk mendapatkan kecekapan bahan api lebih baik. Ia juga memberikan deruman enjin kuat ketika memecut walaupun ada tujuh nisbah gear yang sepatutnya melegakan sedikit ngauman trenkuasa.
Navara cukup senyap dan baik ketika melahu dan dipandu dalam rev rendah. Bunyi angin dan tayar sangat minimal walaupun pada halaju tinggi. Tetapi masih tidak boleh menandingi Ranger. Seperti mana varian dua kabin, Navara didatangkan dengan gandar multi-link di belakang dengan spring yang menjanjikan tahap perjalanan dan pengendalian ala kenderaan utiliti sukan (SUV).
Namun, had muatan masih dinilai pada sekitar satu tan mengikut model, manakala kapasiti menunda hingga 3.5 tan. Spring gegelung membolehkan kenderaan ini menyerap permukaan beralun dengan baik. Pada halaju rendah memang aman damai, first class! Tetapi apabila mula memecut, saya mula rasa ia sedikit lembut dan membuai. Tambahan lagi kargo tanpa muatan.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Toyota Hilux Digelar ‘Raja Trak Pikap’?
RESPONS STERENG LAMBAT
Navara masih tidak cukup kawalan atas pergerakan badan, dan begitu juga pengendalian. Banyak kegayatan berlaku ketika mengambil selekoh, tetapi masih boleh merasakan potensi casis seperti cengkaman, kawalan badan baik dan lebih stabil daripada Navara lama. Tetapi belum cukup terbaik.
Suspensi lembut menjadikan trak pikap ini bergoyang, tetapi masalah utama ialah stereng. Rak stereng perlahan memerlukan lebih pusingan untuk membuat sebarang perubahan ketara mengikut arah. Simptom yang samar-samar, tidak tepat membuatkan Navara kurang lincah.
Malah tetapan stereng berat membuatkan saya rasa letih ketika mahu memarkir kenderaan dan memandu perlahan. Hasilnya pemanduan harian agak memenatkan. Saya juga perasan berlaku sedikit gegaran ketika memandu laju hingga dapat dirasai pada keseluruhan badan trak pikap ini.
Berada di belakang seperti duduk atas kerusi urut. Setiap goyangan, goncangan dan gegaran boleh tahan kuat. Biasalah orang tua, alignment dah banyak lari! 😅 Namun, pilar A nipis menawarkan pemandangan luar yang bagus dan disokong paparan kamera undur.
Ciri monitor pandang keliling pintar (i-AVM) cukup berguna ketika hendak memarkir atau memasuki jalan sempit. Ciri ini boleh diaktifkan dengan menekan punat 'Display' dan input video akan ditayangkan pada skrin paparan. Dalam pemanduan off-road, tork enjin YD25 ditala untuk agihan kuasa lebih baik yang membolehkan laluan bercerun ditangani mudah.
BACA >>> Nissan Titan (2020) Facelift Lancar di Texas, Bakal Saingi Ford F-150, Toyota Tundra
Fungsi pacuan dua roda (2WD), termasuk pacuan empat roda (4WD) - High (4H) dan Low (4LO) dapat dibuat semudah memutarkan suis rotari walaupun ketika memandu. Kusyen pemandu dan penumpang depan lembut memberikan sokongan postur badan yang baik.
Namun kusyen belakang, walaupun perehat kepala disediakan, sedikit tegak dan sempit. Macam kurang selesa untuk perjalanan jauh. Mujurlah ruang kaki dan lutut masih luas supaya tidak lenguh duduk. Sudah tiba masanya Nissan buat perubahan supaya Navara dapat terus tampil relevan dan signifikan buat peminat trak pikap semalaysia.
BACA >>> Lepas Pandu Uji Lebih 250km, Ini Pandangan Abang Tentang Mitsubishi Triton (2019)
Leave a Reply