PANDULAJU dimaklumkan satu sumber enggan dikenali sebentar tadi mengenai bayangan rekabentuk Perodua sedan yang dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
BACA >>> Perodua Sedan Muncul Tahun Ini (2016)
Jika anda membaca artikel terdahulu (klik pautan di atas), kapasiti enjin Perodua Sedan baharu kelak ialah 1.0L dan 1.3L. Ya, sumber terbaru ini juga mengesahkan maklumat tersebut, tetapi turut mendedahkan bahawa Perodua juga akan memperkenalkan enjin 1.5L! Cuma, tidak dilancarkan serentak bersama debut awal dua varian sedan tersebut dan dijangka diumumkan pada awal tahun hadapan.
Mengenai rekabentuk sedan pertama Perodua itu, kami masih gagal mendapatkan sebarang foto yang bocor. Nampaknya, staf-staf Perodua masih kekal bertahan menjaga rahsia besar mereka itu.
Namun berdasarkan gambaran diberikan, rekabentuk Perodua Sedan itu diberitahu seakan rupa Honda City pada bahagian depan dan sisi, manakala bahagian belakang pula mirip kepada Toyota Vios baharu (generasi-3).
SISTEM MULA-HENTI
Menerusi model ini juga Perodua bakal memperkenalkan sistem mula-henti (start-stop) pada varian premium yang menyamai teknologi i-Stop digunakan Mazda pada model Mazda2. Ini bermakna Perodua Sedan ialah model segmen-B kedua di pasaran Malaysia yang menggunakan sistem berkenaan selepas Mazda2.
Bagi yang tidak tahu, sistem mula-henti berfungsi mematikan dan menghidupkan enjin pembakaran dalaman secara automatik bagi mengurangkan masa enjin melahu, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api dan pelepasan emisi. Ya, ia sistem sama yang digunakan kenderaan hibrid dan amat berguna ketika berdepan situasi kesesakan teruk.
Ciri keselamatan asas juga tidak dilupakan seperti beg udara dan sistem brek anti-kunci (ABS). Namun, sumber enggan mendedahkan apa-apa maklumat apabila ditanya sama ada Perodua akan melengkapkan sistem keselamatan ekstra seperti Bantuan Brek, Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) atau Bantuan Daki Bukit (hill start assist).
Paling penting, kontroversi indikator lampu depan yang pernah disuarakan oleh seorang warga Jerman tahun lalu sudah pun diatasi pada model sedan nanti. Jadi, tiada lagi alasan untuk tidak membuka lampu kereta anda ketika memandu malam.
HARGA KOMPETITIF?
Bagaimana pula harga? Katanya, mahal sedikit daripada Myvi dan murah sedikit berbanding Alza. Jadi, julat harga berada dalam lingkungan RM58,000 - RM65,000.
Katanya lagi, rekabentuk sedan berkenaan direka khas untuk pasaran Malaysia sahaja. Ya, dari Malaysia untuk Malaysia. Jadi beruntunglah anda jadi orang Malaysia! 🙂
thomas martin says
good car