PENGELUAR jaket motosikal, Spidi mendedahkan jaket teknikal pertama yang direka untuk membantu penunggang bernafas dengan tenang dan selesa serta mengelak pencemaran udara ketika menunggang dalam kawasan bandar.
Jaket Mission Beta Concept mempunyai sensor pada bahagian leher, iaitu dalam butang paling dekat dengan muka penunggang. Ia turut dilengkapi topeng antipencemaran udara dan sesuai digunakan untuk semua jenis helmet.
BACA >>> #RetroAuto: Sejarah Trend Jaket Kulit yang Jadi Fesyen Cool Penunggang Motosikal
Sensor jaket ini mempunyai tiga peringkat respon terhadap amaran pencemaran udara secara masa nyata (real-time), iaitu rendah (low), sederhana (mid) dan tinggi (high). Jika sensor mengesan udara berkualiti rendah, penunggang atau pembonceng tidak perlu bimbang untuk menyarungkan topeng pelindung.
Jika pencemaran tahap sederhana atau tinggi dikesan pula, amaran akan dipaparkan berserta notifikasi kepada penunggang dan pembonceng supaya bersiap sedia memakai topeng pelindung.
Amaran disampaikan menerusi skrin OLED pada lengan kiri jaket dan juga amaran getaran. Skrin turut memaparkan maklumat lain seperti tarikh, masa, suhu dan kelembapan dalam jaket.
BACA >>> Inilah 10 Sebab Kenapa Mat Motor Malaysia Pakai Jaket Terbalik
Sensor jaket akan aktif sekiranya mengesan sebarang pergerakan, dan terpadam sendiri apabila tiada gerakan. Ini bermakna penunggang tidak perlu menekan apa-apa butang untuk mengaktifkan sensor. Teknologi jaket ini juga tidak memerlukan penunggang menghubungkan jaket dengan telefon pintar.
Ada kajian saintifik mendakwa penunggang dan pembonceng motosikal terdedah kepada pencemaran udara bandar setinggi 100 kali ganda berbanding pemandu kereta. Spidi masih tidak mengesahkan akan mengeluarkan jaket pelindung inovatif itu ke pasaran antarabangsa.
BACA >>> Held Perkenal Jaket Motosikal dengan Sistem Lampu LED
GALERI
SUMBER : RideApart |Motorcycle.com
Leave a Reply