SIAPA tidak kenal Honda Civic? Melakukan debut pada 1973, tahun ini genap 43 tahun Civic mewarnai dunia automotif. Di Malaysia, Civic sememangnya dekat dengan peminat-peminat kereta tempatan dan bukan sedikit yang memiliki model itu sejak generasi pertama hingga kini. Di bawah ini ialah infografik mengenai generasi Civic zaman-berzaman. Apakah anda salah seorang yang memiliki model legenda tersebut?
GENERASI-1
Honda Civic melakukan debut pada 1972. Sebelum tahun itu, Honda lebih dikenali sebagai pengeluar motosikal. Model ini ialah kereta pertama menggunakan enjin CVCC yang tidak memerlukan pengubah pemangkin untuk melepasi standard emisi pada masa itu. Ia juga kereta nombor satu dalam senarai perbatuan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) sepanjang tahun pengeluarannya.
GENERASI-2
Generasi kedua muncul dengan gaya yang sama dan kemudian ditawarkan dengan suspensi koil belakang independen. Honda Civic ini juga menawarkan 13 peratus keluasan ruang dalaman, termasuk memperkenalkan sistem pencucuh elektronik (1981).
GENERASI-3
Diperkenalkan pada 1983, model 1984 memenangi Anugerah Kereta Terbaik Jepun 1984. Dilengkapi suspensi depan dan belakang baharu. Suntikan terus juga diperkenalkan pada model ini dan CRX-HF ialah model pertama menembusi had kombinasi ekonomi bahan api 50mpg.
GENERASI-4
Generasi ini tampil dengan rekabentuk semula yang signifikan ke pasaran global. Generasi keempat didatangkan dengan suspensi double wishbone (siku berganda) depan yang disukai ramai tuner dan peminat kereta kerana mempunyai kamber (camber) boleh laras.
GENERASI-5
Honda Civic 1991 memenangi Kereta Terbaik Tahunan Jepun kali kedua. Generasi ini menggunakan material ringan untuk kecekapan bahan api, manakala suspensi ditala lembat untuk lebih keselesaan pemanduan.
GENERASI-6
Menjelang 1998, Civic tersenarai sebagai kereta kompak paling laris. Garis badan baharu memberikan rupa bersegi dan kembalinya semula Si pada 1990 bermakna Civic tahun itu lebih berkuasa berbanding sebelumnya. Civic turut merangkul anugerah Kereta Terbaik Tahunan Jepun buat kali ketiga.
GENERASI-7
Rekabentuk luaran Honda Civic generasi-7 tidak banyak berubah, tetapi rekaan dalaman direka semula dengan menawarkan lebih ruang. Civic ini juga sudah tidak menggunakan lagi suspensi double wishbone depan dan digantikan dengan topang McPherson bagi mendapatkan lebih ruang enjin (dan mungkin juga menjimatkan kos). Ramai peminat Civic melaungkan protes terhadap perubahan berkenaan.
GENERASI-8
Generasi ini terkenal dengan enjin K20 yang datang daripada Civic SI. Ia juga dikenali dengan rupa paras atletik dan sporty berserta ciri-ciri keselamatan terkini.
GENERASI-9
Cuma membabitkan perubahan minor pada rupa luaran dan dalaman, tetapi ramai peminat Civic mengharapkan transformasi drastik dari segi prestasi enjin. Hasilnya Honda bakal memperkenal Civic generasi ke-10 dengan enjin serba baharu tahun ini (2016).
GENERASI-10
Civic generasi ke-10 diperkenalkan pada Oktober 2015 yang dibangunkan berasaskan platform kompak global Honda. Kali ini, Civic tampil lebih ringan, jarak roda lebih panjang dengan brek cakera belakang sebagai standard. Sistem stereng lebih rigid dan nisbah gear dipelbagai. Rupa luaran menampilkan ciri moden seperti lampu siang LED dan lambung belakang LED bentuk 'D'. Sesetengah peminat kereta tempatan menggelarkan model ini sebagai 'Civic Ketam'.
BACA >>> Spesifikasi Honda Civic 2016, Tampil dengan Transmisi CVT dan Pilihan Turbo
BACA >>> (GALERI) Honda Civic 2016 – Ditawarkan 2 Pilihan Enjin 1.8L & 1.5L Turbo
SUMBER: HondaPartsOnline.net
Leave a Reply