KAWALAN Jelajah atau Cruise Control ialah sistem automatik yang berfungsi mengawal halaju kereta, juga dipanggil autocruise atau speed control.
Sistem ini mengambil alih kawalan halaju kereta mengikut halaju ditetapkan pemandu. Dek pemanduan jauh yang memenatkan, maka sistem ini sudah menjadi kewajipan di negara-negara yang mempunyai rangkaian lebuh raya yang panjang. Bagi pemandu Malaysia pula, sistem ini amat membantu untuk mengelak saman di kawasan perangkap halaju dan ketika menggunakan lebuh raya luar waktu puncak atau musim perayaan.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu Teknologi Keselamatan Jelajah (Cruise Safety)?
* Kawalan Jelajah dalam artikel selepas akan disebut sebagai Cruise Control untuk memudah pemahaman. Harap maklum.
SEJARAH 'CRUISE CONTROL'
Mengikut sejarah, Cruise Control mula diperkenalkan kepada dunia sejak awal abad ke-19. Konsep masih sama, iaitu mengekalkan halaju kereta dalam apa juga kondisi jalan raya. Teknologi Cruise Control bermula seawal 1948, dicetuskan jurutera Ralph Teetor (foto atas) yang bosan dengan cara rakannya memandu yang kerap sekejap laju dan sekejap perlahan. Memang boleh muntah kalau anda jenis penumpang yang cepat pening dan mabuk highway.
Permulaan had laju 56kmj di Amerika Syarikat (AS) ketika itu turut menjadi punca tercetus idea tentang ciri Cruise Control. Keperluan kepada penjimatan minyak dan memanjangkan jangka hayat tayar adalah aspek penting kepada perkembangan teknologi berkenaan.
Ini kerana pemanduan konsisten adalah cara pemanduan paling menjimatkan (kita bincangkan dalam artikel lain nanti), sekali gus membuatkan banyak pengeluar automobil menawarkan teknologi tersebut. Teetor mencipta manual kawalan halaju dan memperkenalkan teknologi 'kunci halaju' (speed lock) untuk mengekalkan kelajuan kereta hingga pemandu menekan brek padel atau mematikan sistem.
Maknanya, halaju akan kekal selagi pemandu tidak membrek atau membatalkan fungsi Cruise Control, lebih kurang sama saja seperti sistem yang kita guna hari ini.
CARA GUNA
Butang Cruise Control setiap kereta berbeza mengikut rekabentuk sesebuah pengeluar. Berdasarkan gambar di atas, ada butang Cruise, RES, +, CANCEL, - dan SET. Kebiasaannya jurujual akan menjelaskan cara menggunakan punat itu ketika memandu uji.
Berikut fungsi asas butang Cruise Control:
- Cruise - Aktifkan sistem
- RES - Set semula kelajuan
- + - Tambah kelajuan
- CANCEL - Batalkan sistem
- - - Kurangkan kelajuan
- SET - Mula atau kekalkan kelajuan
Mudahkan nak gunakan Cruise Control? Cuma tekan punat, kereta anda akan bergerak tanpa perlu tekan pedal minyak. Bagaimanapun, penggunaan ciri ini hanya boleh disetkan pada halaju lebih 40kmj mengikut ketetapan pengeluar kereta. Kalau di Leburaya PLUS, tetapkan saja pada 110kmj, pasti tiada saman ekor!
OPERASI 'CRUISE CONTROL'
Sistem Cruise Control mengawal halaju kereta sama seperti pemandu, iaitu mengawal kedudukan terotel (rujuk artikel badan pendikit (throttle body)). Gambar di atas menunjukkan ada dua kabel yang berada pada pivot badan pendikit, satu kabel pedal minyak dan satu lagi kabel Cruise Control.
Sebenarnya ada satu komponen tambahan diperlukan dalam bahagian enjin, iaitu aktuator Cruise Control. Kabel ini bersambung pada aktuator yang mendapat signal daripada butang Cruise Control, dan mengawal bukaan injap terotel.
Berdasarkan gambar di atas, jika dua kabel diletakkan pada pivot sama, jangan terkejut kalau pedal minyak bergerak sendiri. Ini memang aturannya jika menggunakan badan pendikit mekanikal (MTB). Rugi kalau guna dua pivot untuk satu sistem yang sama.
Kebiasaannya, pengeluar kereta menggunakan aktuator berasaskan vakum kuasa bagi mengawal kedudukan injap terotel. Sistem aktuator ini hampir sama dengan buster brek, iaitu menggunakan injap dengan kawalan elektronik bagi mengawal vakum dalam ruang aktuator.
Aktuator digunakan jika menggunakan komponen MTB. Sekarang, tugas aktuator digalas modul kawalan elektronik (ECM) yang dibantu badan pendikit elektronik (ETB).
BACA >>> Throttle Body [SIRI 1]: Kenali Fungsi dan Cara Kerja
BACA >>> Throttle Body [SIRI 2]: Mekanikal (MTB) vs Elektronik (ETB)
KAWALAN JELAJAH
Gambar di atas menunjukkan keseluruhan operasi sistem Cruise Control. Tidak perlu pening, apa yang penting dan perlu anda tahu, di mana ada input, di situ ada output.
Di sebalik panel meter di depan pemandu, terletak satu komputer kecil yang mengawal keseluruhan operasi Cruise Control. Teori sistem Cruise Control adalah mengawal bukaan injap pada badan pendikit untuk mengawal halajau. Jadi komputer perlukan sensor untuk memberitahu halaju dan kedudukan terotel. Komputer juga perlu memantau kawalan ke atas kelajuan.
Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada kawalan tepat terhadap sistem Cruise Control. Kawalan ini berdasarkan sensor yang mendatangkan input isyarat kelajuan kenderaan. Isyarat itu pula menentukan kawalan yang diperlukan pada kedudukan terotel.
Kebanyakan sistem Cruise Control menggunakan sistem kawalan proporsional-integral-derivatif. Nama kawalan memang pelik, tetapi jangan takut kerana anda cuma perlu faham konsep asas, iaitu kelajuan integral berpandukan jarak, manakala kelajuan derivatif berpandukan pecutan. Ketiga-tiga faktor tersebut diambil kira kawalan komputer bagi menetapkan kedudukan terotel berpandukan tetapan kelajuan pemandu.
Supaya mudah cerita, kawalan proporsional ini bergantung kepada halaju semasa Cruise Control mengikut kondisi jalan.
Misalnya, ada laluan lebuh raya berbukit-bukit, tetapi kita pula sudah menetapkan halaju pada 110kmj. Jadi, injap akan dibuka mengikut kesesuaian halaju, tetapi pada masa sama halaju itu menurun kerana kawalan proporsional. Kawalan integral akan menambah bukaan injap mengikut jarak diperlukan selepas menghitung keperluan jarak berdasarkan tetapan halaju.
Bukit juga boleh menyebabkan peningkatan pecutan dan di sini kawalan derivatif akan mengelakkan situasi pecutan tiba-tiba dan menimbulkan ketidakselesaan memandu. Ketiga-tiga kawalan tersebut saling bekerjasama bagi memastikan ciri Cruise Control beroperasi lancar.
KELEBIHAN DAN KEKURANGAN
Kelebihan Cruise Control adalah membantu melancarkan pemanduan jarak jauh, elak disaman dan meningkatkan kecekapan bahan api, sekali gus menjimatkan kos minyak. Kekurangan kawalan jelajah pula adalah berlaku penyalahgunaan di kawasan jalan berselekoh, ketika hujan dan jalan tidak selamat.
Tahukah anda apa kekurangannya pula? Jawapannya, ia membawa kepada kemalangan dan nahas jalan raya jika disalahgunakan. Ada juga kes pemandu yang terlelap ketika menggunakan Cruise Control kerana gagal fokus kepada pemanduan.
Pesanan kami, gunalah kelebihan teknologi itu sebaik mungkin. Jadilah pemandu yang sentiasa fokus (nak kena pastikan kawasan perangkap halaju jugakan?).
Hari ini, teknologi Cruise Control semakin berkembang dan kini sudah ada ciri Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control, ACC) yang mengawal keseluruhan sistem kawalan kereta dan lebih responsif menerusi pengenalan sistem kawalan brek automatik dan dibantu sensor, kamera dan penggera. Malah mampu menjarakkan kenderaan pemandu dengan kenderaan depan.
Sekiranya kereta anda ada sistem Cruise Control, sila gunakan dan jangan risau. Ini kerana teknologi itu sudah lama dibangunkan dan benar-benar teruji serta pasti memudahkan anda memandu jauh. Tetapi kalau jalan sesak, sistem ini hanya jadi pameran saja. 😅
SUMBER: HowStuffWorks|LiveAbout | Wikipedia
Hamsah Jaffar says
SAYA GUNA KENDERAAN HARRIER TAHUN 2005.SOALAAN SAYA BOLIH KAH AUTO CRUISE DIPASANG PADA KENDERAAN HARRIER SAYA.
Talib says
Model harrier tahun 2005, keluaran untuk Amerika Utara sepatutnya sudah ada sistem 'Dynamic Laser Cruise Control' dimana sistem ini lebih maju daripada auto cruise biasa, sekiranya untuk model Japan, ada pilihan untuk menambah teknologi radar assist untuk kemalangan hadapan sahaja ' radar assist Pre collision system' cuma untuk indication bahagian hadapan. Sekiranya kenderaan tiada, kami tidak sarankan untuk modifikasi dijalankan, kena jumpa pakar tetapi kos tinggi dan part tambahan diperlukan termasuk perlu menukar Throttle body untuk kawalan auto cruise dan ECU unit juga perlu diubah, cuma keberkesanan untuk dapatkan penjimatan minyak tidak dapat dipastikan.
Nizam says
Perodua model sampai sekarang tak ada cruise control. Latest model cuma ada ACC tapi function tak sama dgn cruise control. Pelik kan?