KEHADIRAN Volvo XC90 adalah momen paling kemuncak dalam sejarah pengeluar automotif dari Sweden itu. Kenapa XC90 boleh dikatakan penyelamat Volvo? Ini kerana kira-kira tujuh tahun lalu, pengeluar itu bergelut situasi tidak menentu ketika mahu membangunkan produk tersebut.
Dalam situasi mendesak dan ditambah kemelut ekonomi dunia serta kemerosotan jualan, Ford sebagai syarikat induk memutuskan untuk melepaskan Volvo, tidak lama selepas menjual Jaguar Land Rover kepada Tata Motors.
Selepas segala penyelesaian diperincikan, Volvo pada 2010 secara rasmi menjadi milik pengeluar automotif China, Zhejiang Geely Holding Group yang juga kini menjadi rakan strategik Proton.
Volvo kemudian hidup kembali dan Geely memberi kebebasan kepada pengeluar Eropah itu untuk merencanakan sendiri hala tuju. Hasilnya adalah penyelesaian kemas dan kritis yang mana kemunculan XC90 bukan sekadar sebagai pengganti model perdana Volvo, tetapi juga diperkayakan teknologi baharu dan kemudian menjadi asas kepada barisan model akan datang.
Pelaburan dilakukan nyata membuahkan hasil apabila 2019 menjadi detik gemilang buat Volvo Cars dengan jualan global mencatatkan prestasi terbaik, meningkat 7.3 peratus dengan jualan 340,826 unit sepanjang penggal pertama tahun ini.
Sebenarnya, tiada isu pun sekiranya pemilikan sesebuah jenama automotif itu berubah tangan. Pengguna masih tetap mengaitkan ia dengan asal-usul jenama tersebut. Sama seperti Proton, walaupun pengurusan dan pembuatan dikongsi bersama Geely, umum masih memandangnya sebagai produk Malaysia. Jika mendatangkan kebaikan, apa salahnya asalkan jenama itu tidak lenyap terus dalam peta automotif dunia.
BACA >>> Volvo Cars Malaysia Catat Jualan 1,384 Unit Sepanjang 2018, Meningkat 35 Peratus
VOLVO XC90 VERSI FACELIFT
Sejak diperkenalkan pada 2014, rekabentuk Volvo XC90 (2019) sebenarnya masih relevan. Namun apabila sudah lama di pasaran, memang sudah tiba masa untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) itu melakukan sesuatu supaya lebih segar dan berdaya saing.
XC90 versi dipertingkat (facelift) diperkenalkan kepada dunia awal tahun ini, sebelum menjengah pasaran Malaysia sekitar Oktober lalu. Ia ditawarkan dalam pilihan rim baharu, warna luaran tambahan dan sedikit perubahan pada gril radiator, termasuk bawah bampar depan pada lip dan kemasan krom, manakala ruang kabin kekal dengan konfigurasi standard 7-kerusi.
Aspek mekanikal juga tidak berubah, varian XC90 Inscription dijana enjin 1,969cc T8 Twin Plug-In Hybrid berkuasa 407hp dan tork 640Nm dengan transmisi automatik 8-kelajuan dengan Geartronic. Bagaimanapun, edisi facelift ini dilengkapi bateri litium-ion lebih besar 11.6 kWh (tambahan 10.4kWh) yang menawarkan pemanduan elektrik penuh sejauh 50km (ekstra 15 peratus).
Selain itu, tersedia kawalan klimat empat zon dan ventilator penyaman udara turut ada di tempat duduk barisan ketiga. Ada juga sistem maklumat tanda jalan, dan laci pemuka (glove box) sebagai standard.
Seperti model terdahulu, T8 dilengkapi suspensi udara, paparan dongak (HUD), navigasi, tombol gear kristal Orrefors, kunci kulit Nappa untuk Inscription, kemasan luar krom Inscription, rim 20 inci dengan tayar 275/45, dan Lampu Lentur Aktif (ABL) LED dengan Lampu Suluh Tinggi Aktif (AHB) dengan pencuci lampu utama.
Selain kemasan kayu Linear Walnut pada papan pemuka, konsol gear dan panel pintu, ia turut diadunkan dengan kemasan kulit pada papan pemuka dan panel pintu, berserta karpet khas Inscription dan pakej penataan cahaya kabin peringkat tinggi. Kerusi mendapat kemasan kulit Nappa dengan ciri boleh laras elektrik.
Ciri lain T8 ialah Bantuan Parkir Pilot, kamera pandang 360º, ventilator penyaman udara di tempat duduk baris kedua (di pilar-B) dan bumbung panorama. Bagi varian T8 Inscription Plus (paling premium), pemilik diberikan sistem audio Bowers & Wilkins (B&W) dengan 19 pembesar suara dan output 1400Watt, sebaliknya dua varian lain cuma ada 10 pembesar suara 330Watt.
Harga XC90 (2019) facelift ini ialah:
- Volvo XC90 T5 - RM373,888
- Volvo XC90 T8 Inscription - RM399,888
- Volvo XC90 T8 Inscription Plus - RM409,888
BACA >>> Volvo Tambah Varian XC90 Mild-Hybrid B, Lebih Jimat Minyak Hingga 15 Peratus
PANDU UJI XC90 T8 INSCRIPTION PLUS
Beberapa minggu lalu saya diberikan kesempatan memandu uji XC90 T8 Inscription Plus. Seperti mana kita tahu, mod SUV itu ialah model hibrid plug-in (PHEV). Soalannya, kenapa pengeluar menghasilkan teknologi yang membolehkan sesebuah kereta menggunakan petrol dan motor elektrik pada masa sama?
Jawapannya, mahu mengurangkan pelepasan emisi dan menjimatkan minyak. Maka, terciptalah model PHEV seperti XC90 T8 Inscription Plus ini yang semestinya lebih mesra alam. Dengan kapasiti bateri lebih besar, SUV ini mampu dipandu menggunakan sumber kuasa elektrik penuh sejauh 50km, berbanding 43km sebelumnya.
Angka itu sudah cukup besar untuk pemanduan harian ulang-alik dari rumah ke pejabat, dan juga ideal buat warga kota. Cuma proses mengecas di rumah perlu mengambil masa lama, dan kuasa bateri pula boleh merosot cepat, sekali gus menjadikan ia tidak begitu praktikal. Saya percaya ramai pengguna kereta PHEV tidak mengecas bateri melainkan ada masa ke lokasi mengecas.
Tetapi tidak perlu bimbang kerana proses pengecasan turut berlaku ketika memandu menerusi sistem grek regeneratif dan punat Charge pada skrin sentuh di konsol tengah. Namun, alternatif itu tidak menunjukkan peningkatan indikator pada bateri. Malah, pemanduan seharian cuma satu bar saja yang menokok naik.
Ciri mod Save membantu pemilik menjimatkan bateri. Walaupun ketika saya mengambil XC90, indikator bateri tidak penuh, tetapi tidak perlu bimbang kerana enjin akan mengambil alih pemanduan. Cuma seingat saya, jika bateri kosong, enjin tidak dapat dihidupkan.
Operasi menghidupkan kereta menggunakan sistem elektrik, membuatkan enjin sangat senyap setiap kali tombol penghidup dipulas ke arah start. Sampai kawan sebelah pun tanya, enjin dah hidup ke belum?
Saya beritahu, anjakkan saja gear kepada D, tekan pedal minyak dan gerak! Relaks saja. Malah proses peralihan kuasa dari bateri ke enjin atau sebaliknya, ia berlaku lancar tanpa gegaran atau sentakan. Saya sendiri tidak sedar bilakah masa enjin mengambil alih operasi apabila kuasa bateri tidak cukup untuk menggerakkan motor elektrik. Pemandu memang lembut dan lancar, cukup smooth!
Perjalanan ke Slim River, Perak menerusi laluan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) lebih banyak menggunakan enjin, dan pada masa sama motor elektrik turut membantu menjana kuasa apabila diperlukan. Walaupun model PHEV, itu bukanlah bermakna prestasi SUV ini boleh dilekehkan.
Kombinasi enjin 2.0L supercas dan pengecas turbo dengan motor elektrik jelas menawarkan prestasi mengagumkan. Kuasa dihasilkan lebih daripada mencukupi untuk pemanduan seharian. Sekali-sekala terlepas juga adrenalin. Macam kata kawan sebelah; "Tekan sikit terus pergi!" Itu baru guna mod Pure.
Jadi tidak perlulah ditanya apa yang jadi kalau mod Power diaktifkan. Semestinya prestasi enjin bertukar galak dan responsif. Sebagai makluman, XC90 didatangkan dengan tujuh mod pemanduan: AWD, Save, Pure, Hybrid, Power, Off Road dan Individual. Apabila mod dipilih, sistem komputer kereya akan melaraskan suspensi udara dan prestasi enjin mengikut tetapan yang sudah disetkan.
Malah, apabila kereta berhenti, suspensi akan direndahkan supaya penumpang mudah keluar-masuk. Operasi memuatkan barang dalam but juga mudah dan praktikal menerusi pengencalan butang boleh laras tinggi.
Kembali semula kepada pemanduan, XC90 adalah pelayar sejati di lebuh raya. Janaan kuasa tidak mengambil masa lama, cuma saya lebih gemar guna mod Hybrid untuk jimat minyak. Sebagai SUV, gejala olengan sukar dielak, tetapi situasi ini mampu diminimumkan dan pemanduan kekal stabil walaupun melayan selekoh dengan kelajuan lebih 90kmj.
Memecut 150kmj juga tiada masalah, cuma lebih senang memandu ikut had laju lebuh raya. Belokan XC90 cukup kemas dan tepat dengan nisbah berat stereng munasabah mengikut kelajuan. Bahagian roda bertugas baik walaupun ketika melepasi permukaan jalan beralun dan berlubang. Semua impak diserap baik tanpa menggegarkan ruang kabin.
Tetapan brek Volvo juga harus dipuji dengan talaan brek yang baik. Respon brek pendek meyakinkan saya untuk menganggarkan jarak dengan kenderaan depan.
Salah satu kepakaran Volvo yang pada saya tiada pada jenama lain - kontur kerusi. Kerusi empuk diberikan menyokong tubuh dan peha saya dengan sempurna dan sesedap rasa, sekali gus mengurangkan keletihan memandu jauh.
BACA >>> Volvo XC90 Armoured - SUV Edisi Khas yang Tahan Letupan Balistik
BERBALOIKAH TAMBAH RM10K UNTUK SISTEM BUNYI?
Apa yang unik dan spesial tentang XC90 T8 Inscription Plus? Jawapannya, sistem audio Bowers & Wilkins (B&W). Persoalannya, berbaloikah melabur tambahan RM10,000 hanya untuk mendapatkan sistem audio jenama Britain itu? Sedangkan anda boleh memiliki XC90 T8 Inscription pada harga RM399,888?
Terpulang kepada selera masing-masing. Sistem audio B&W ini memang direka khas untuk kabin Volvo. Twiter atas papan pemuka tertera logo B&W dengan kemasan aluminum yang menyerlahkan elemen mewah. Cuma twiter yang menonjol, manakala unit audio lain tersembunyi di sebalik gril pembesar suara aluminium dan hitam.
Malah, subwufer juga jenis terbina dalam. Semestinya sistem bunyi dihasilkan berkali ganda lebih baik berbanding radio FM atau unit aftermarket yang anda beli di kedai aksesori biasa-biasa. Unit audio lain (twiter nautilus, kevlar dan wufer) ditempatkan di beberapa bahagian yang melalui banyak jam ujian kejuruteraan bunyi.
Ledakan bunyi berkuasa 1400watt, amplifier Class D memberikan efek audio yang cukup bertenaga. Ketika memasangkan lagu Dewa 19 pada volum pertengahan, bunyinya dilontarkan cukup lunak, bersih dan tajam.
"Wow, sedap gila sound system sampai boleh dengar semua bunyi instrumen," kata kawan sebelah.
Bahkan nada dram dalam lagu Mistikus Cinta alunan Dewa 19 boleh didengar dengan solid dan tegas. Dalam tetapan audio anda boleh memilih tiga mod muzikal yang diinginkan. Namun saya hanya menala pembesar suara mengikut kehendak sendiri. Mungkin ada orang muzik adalah segalanya apabila berada dalam kereta. Bukan saja menghilangkan bosan ketika dalam kesesakan lalu lintas tetapi juga peneman ketika pemanduan jauh.
Jika BMW memilih Harman Kardon, sistem B&W tidak kurang kalahnya. Ia berfungsi dengan baik dalam mengasingkan antara jenis bunyi yang berbeza. Ia mempunyai kejelasan yang baik dan mendedahkan perbezaan di antara pelbagai instrumen yang bermain pada masa yang sama.
Saya boleh dengar dengan jelas alatan muzik yang dimainkan dalam lagu. Vokal dan bunyi nada tinggi tidak berlebihan dan diliputi oleh bass walaupun pada volum tinggi dan penghantaran bass adalah ketat dan dikawal. Unit 19 pembesar suara bekerjasama untuk memberi kesan audio terbaik dan membenamkan anda dalam muzik pilihan.
Walaupun anda boleh dengar apabila bunyi beralih ke kanan atau kiri tetapi tidak dapat mengecam unit pembesar suara yang menjadi sumber sebahagian besar alunan muzik dan itu satu perkara yang baik. Sistem ini juga mendedahkan bunyi alatan muzik yang anda tidak pernah perhatikan sebelumnya dalam lagu yang berpuluh kali anda dengar. Kejelasannya terbaik.
Di atas kertas kelihatan agak mahal dengan nilai RM10k. Untuk mereka peminat tegar sistem audio dan gemarkan muzik tentunya apabila anda membeli kereta mewah maka wang bukan isu. Jadi pelaburan ini menurut saya bukan satu kerugian.
BACA>>>Continental Hasilkan Audio Kereta Tanpa Pembesar Suara Guna Getaran Permukaan Kabin
JIMAT KE?
Bagaimanakah dengan penjimatan bahan api? Dengan pemanduan 70 peratus dalam bandar dan selebihnya di lebuh raya, rekod pemanduan saya tidaklah begitu memberangsangkan. Purata penggunaan bahan api dengan pemanduan 461km bersama pilihan mod Pure dan Hybrid, termasuk sekali-sekala memecut di lebuh raya, adalah 8.8 liter per 100km.
Bukan satu angka bagus, tetapi masih boleh diterima dengan pemanduan normal. Ketika kereta dihantar pulang, baki minyak tinggal separuh yang mampu dipandu 300km lagi. Oh, saya tidak pernah pun mengisi minyak sejak hari pertama mengambil XC90.
CIRI KESELAMATAN
Dari segi teknologi keselamatan aktif, XC90 kini dilengkapi stereng automatik dalam pakej City Safety dan Blind Spot Information System. Teknologi City Safety dengan Autobrake mampu mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan bersaiz besar. Tidak ketinggalan teknologi Oncoming Lane Mitigation dan teknologi Cross Traffic Alert dengan brek automatik.
Salah satu ciri yang paling menarik ialah semi-autonomi Pilot Assist. Sistem berkenaan mudah dioperasi dengan menekan butang pada stereng di sebelah kiri untuk mengaktifkannya. Pilot Assist cukup sesuai digunakan ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.
Sistem ini boleh diaktifkan pada kelajuan di bawah 50 kilometer sejam. Dengan mengikut jarak yang ditetapkan dan kelajuan kenderaan di hadapan. Sistem sendiri akan mengawal brek dan stereng secara elektronik. Sekiranya anda melepaskan tangan dari stereng beberapa saat, sistem akan mengeluarkan notifikasi pada meter ‘stereng apply’ atau sistem akan terbatal sendiri.
BACA >>> BMW X5 dan X2 dengan ciri xDrive, M Performance Jengah Pasaran Malaysia Tahun Ini
KESIMPULAN
Seperti mana kita tahu, rekabentuk bagus memang sudah jadi gaya hidup orang Sweden. Volvo mengenal pasti apa yang dimahukan pengguna dengan memberikan solusi supaya kehidupan jadi lebih mudah. Di tangan pereka Sweden, mereka cuba menyelesaikan sesuatu permasalahan kompleks dengan cara elegan.
Memiliki XC90 T5 cukup berbaloi walaupun tidak didatangkan dengan beberapa ciri khas mewah lain. Namun, keselesaan ditawarkan kekal sama seperti varian T8. Memilih varian T5, 2.0L pengecas turbo (254hp, 350Nm) yang turut dilengkapi ciri Volvo IntelliSafe, sama seperti XC90 T8, pun sudah cukup berbaloi dan dapat jimat banyak!
GALERI
Leave a Reply