KALAU Kawasaki ZX-14R bakal ditamatkan pengeluaran tahun depan kerana tidak dapat memenuhi syarat emisi Euro5, Suzuki Hayabusa pula dipencenkan lebih awal. Bukan setakat Euro5, malah model itu juga tidak lepas piawaian Euro4.
Dalam dunia permotoran, Hayabusa terkenal sebagai superbike dengan rekabentuk badan unik dan pelik, dan menikmati zaman kegemilangan selama dua dekad sebelum ditamatkan pengeluarannya menerusi model paling akhir - edisi 2019.
BACA >>> Kawasaki Ucap Sayonara ZX-14R!
HAYABUSA BAHARU AKAN MUNCUL?
Pada awal 2018, tersebar gambarajah paten Hayabusa (foto atas) yang menunjukkan Suzuki kononnya sedang merancang menghidupkan model ikonik itu. Gambarajah itu ialah paten transmisi semi-auto. Malangnya, tiada perkembangan lanjut selepas itu.
Perang kelajuan sesama pengeluar motosikal utama Jepun seperti Kawasaki, Suzuki dan Honda semakin menjadi-jadi sekitar dekad 1990-an. Masing-masing mahu jadi yang terpantas. Malah penunggang motosikal daripada tiga jenama itu dikatakan cuba membuktikan kehebatan jentera masing-masing di jalanan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan ketidakselesaan dalam kalangan pihak berkuasa di negara-negara Eropah.
Kesannya, Kerajaan Eropah bercadang mengharamkan import model motosikal berkelajuan tinggi pada dekad tersebut. Keputusan itu nyata mengejutkan kerana pengeluar motosikal, terutama dari Jepun sudah tentu tidak mahu situasi sekatan jualan itu berlaku.
Di sinilah terbentuk pakatan sulit tidak rasmi sesama pengeluar motosikal berkuasa tinggi yang sepakat mengehadkan kuasa maksimum untuk mengelakkan terkena larangan import. Perjanjian tersebut bolehlah dipanggil sebagai 'gentlemen's agreement' kerana tidak melibatkan sebarang upacara potong riben atau sesi tandatangan dilakukan.
Ketika itu, Honda muncul mengumumkan tidak akan menghasilkan motosikal melebihi had kelajuan 300kmj. Suzuki dan Kawasaki pula berdiam diri dan tidak menyebut apa-apa mengenai keputusan mengehadkan halaju maksimum motosikal.
Sebenarnya, sebelum 'perjanjian' berkenaan dibuat, Hayabusa (1999) berjaya dinobatkan sebagai motosikal terpantas dunia dengan kelajuan maksimum 312kmj! Memang sesuai dengan nama superbike itu sendiri - Hayabusa yang bermaksud burung peregrine falcon, iaitu burung paling pantas di dunia.
Kebetulan pula peregrine falcon dikenali sebagai burung pemangsa yang memakan burung Blackbird. Ia bolehlah diibaratkan Hayabusa berjaya 'memakan' Honda CBR1100XX Super Blackbird untuk merampas gelaran jentera dua roda terpantas di planet Bumi.
Namun model superbike hiper tersebut terpaksa juga dihentikan pengeluaran bukan kerana larangan import, ataupun gagal menghasilkan model dengan halaju kurang 300kmj, tetapi disebabkan peraturan emisi baharu Eropah. Bermula 2005, setiap pengeluar dikehendaki menghasilkan motosikal yang patuh Euro4. Ini bukan saja mempengaruhi kelajuan maksimum, tetapi juga kuasa kuda dan deruman bunyi jentera masing-masing.
Jadi, tidak hairanlah ketiga-ketiga pengeluar memilih untuk menamatkan hayat model ikonik masing-masing dan mula menumpukan kepada pembangunkan trenkuasa dengan bantuan sistem induksi. Kawasaki antara pengeluar pertama yang berjaya menghasilkan superbike dengan sistem supercas dan menepati syarat Euro5. Honda dan Suzuki pula masih berahsia.
Hayabusa? Jangan terus anggap Hayabusa sudah tiada lagi kerana tidak mustahil model itu boleh tiba-tiba menjelma semula seperti Katana?
BACA >>> Suzuki Malaysia Umum Harga Katana dalam Komen Facebook Sahaja, RM84,500
Leave a Reply