SELEPAS versi 1988-1989, Toyota Camry (2020) kini kembali dengan sistem pacuan semua roda (AWD) yang dipadukan bersama trenkuasa 4-silinder 2.5L berkuasa 202hp.
Dalam usaha menyaingi pesaing seperti Subaru Legacy dan model crossover popular lain di pasaran Amerika Syarikat (AS), Toyota rasmi melancarkan Camry (2020) dan Avalon (2021) versi AWD. Ini juga kali pertama Avalon dilengkapkan trenkuasa AWD, dan pertama untuk Camry sejak 1991.
Dibina berasaskan fleksibiliti platform Arkitektur Global Baharu Toyota (TNGA), trenkuasa AWD dipinjamkan daripada model kenderaan utiliti sukan (SUV) RAV4 menerusi teknologi Kawalan Dinamik Tork (DTC) AWD yang dibangunkan khas untuk spesifikasi AS.
BACA >>> Toyota Avalon (2020) - Sedan Perdana yang Lebih Besar daripada Camry
Camry AWD ditawarkan dalam varian LE, XLE, SE dan XSE, manakala Avalon AWD dalam varian XLE dan edisi terhad. Kebanyakan konfigurasi Camry adalah 4-silinder 2.5L berkuasa 203hp dan tork 249Nm, manakala hantaran kuasa ke roda disalurkan menerusi transmisi automatik 8-kelajuan.
Ini bukan kali pertama Camry dilengkapkan sistem AWD kerana pernah ditawarkan Camry All-Trac (1988-1989). Namun, berbeza versi 31 tahun lalu, versi 2020 ini memiliki teknologi, keselesaan dan ciri keselamatan dipertingkat. Sistem AWD baharu ini pula membolehkan 50 peratus hantaran tork disalurkan ke roda belakang apabila roda depan menggelincir. Bagaimanapun, versi V6 tiada ciri AWD.
Dipasangkan di Georgetown, Kentucky, Camry (2020) bakal berada di pengedar Toyota seluruh AS menjelang musim bunga tahun depan, manakala Avalon (2021) di pasaran menjelang musim luruh berikutnya.
BACA >>> Toyota Camry (2019) Raih Rating 5 Bintang dengan Skor Tinggi dalam Asean NCAP
Leave a Reply