SELEPAS menarik perhatian ramai pengunjung di Pameran Motor Tokyo (TMS) 2019, Toyota akhirnya melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Raize di Jepun yang diposisikan dalam segmen SUV kompak dengan panjang kurang 4 meter.
Raize disasarkan kepada mereka yang mahukan SUV praktikal dengan pelbagai isian barang, bersaiz kompak dan mudah dipandu. SUV ini dibangunkan dengan konsep aktif, pelbagai guna dan kompak.
SUV seperti Raize begitu sinonim dengan rakyat Malaysia, terutama kalangan pemilik Perodua Kembara yang sesuai digunakan untuk pemanduan harian dan aktiviti luar hujung minggu.
BACA >>> #TMS2019: Model Daihatsu Tanpa Nama Ini Bakal Jadi SUV Baharu Perodua?
Apa agaknya yang menarik tentang Raize?
1. SUV ini dibangunkan Daihatsu Motor Co Ltd (Daihatsu), dan juga model kompak pertama menggunakan platform baharu Arkitektur Global Baharu Daihatsu (Daihatsu New Global Architecture, DNGA) yang turut melibatkan pembinaan unit trenkuasa baharu.
2. Raize lebih kecil daripada Honda HR-V atau Geely Binyue (Proton X50) dengan dimensi panjang 3,995mm, lebar 1,695mm dan tinggi 1,620mm. Panjang dan lebar Raize lebih sedikit berbanding Daihatsu Terios atau Perodua Kembara.
3. Luaran Raize membawa imej lasak, dan boleh dikatakan adik kepada RAV4. Ia berbeza dengan SUV trendy lain dengan konsep funky dan urban. Ia juga berbeza dengan satu lagi model SUV Toyota, iaitu C-HR.
4. Raize juga membawa konsep jip dengan fungsi utilitarian dan rekabentuk bersegi serta ditambah pula dalam pacuan empat roda (4WD) yang jarang dilengkapi pada SUV di pasaran hari ini.
BACA >>> 6 Sebab Kenapa Toyota C-HR Sangat Berbaloi Dimiliki
5. Asal nama Raize adalah gabungan perkataan rise dan raise.
6. Trenkuasa dipacukan enjin 3-silinder 1.0L 1KR-VET Turbo berkuasa 96hp @ 6,000rpm dan tork 140Nm @ 2,400-4,000rpm dengan transmisi D-CVT yang mempunyai fungsi gear pisah @ split gear (pertama dalam kenderaan Toyota) untuk keseronokan pemanduan dan kecekapan bahan api.
7. Penggunaan bahan api ialah 18.6km per liter mengikut kitaran ujian kenderaan ringan harmoni sedunia (WLTC) untuk pacuan dua roda (2WD) dan 17.4km per liter (4WD).
8. Model 4WD dilengkapi Kawalan Tork Dinamik (DTC) 4WD yang berfungsi mengagihkan daya tujahan enjin secara optimum ke tayar belakang mengikut situasi kenderaan dan ketika mula memandu atau bergerak atas permukaan licin.
BACA >>> #PanduUji: Perodua Aruz atau Honda BR-V? Ini Jawapan Kami!!!
9. Saiz ruang kargo 369 liter, manakala kerusi belakang boleh dilipat untuk mengisi lebih banyak barang.
10. Dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pemanduan seperti:
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Penjejakan Semua Halaju (AST).
- Bantuan Parkir Panorama Pintar (Smart Panorama Parking Assist, SPPA) dengan fungsi suara dan imej dan bantuan stereng
- Fungsi Amaran Perlanggaran (Collision Warning Function,CWF) dan Fungsi Brek Elak Rempuhan (Crash Avoidance Braking Function, CABF)
- Fungsi Cegah Mula Silap (Erroneous Start Prevention Function, ESPF) dengan kawalan brek untuk mengelak pemandu tersilap memasukkan gear pandu atau undur dan berlanggar dengan objek penghadang.
11. Toyota memasarkan Raize dalam empat varian: X, S, G dan Z. Semua varian ditawarkan dengan opsyen pacuan roda depan (FWD) atau 4WD.
12. Raize dijual pada harga serendah 1,679,000 yen (RM63,715) untuk varian X FWD, manakala varian paling premium berharga 2,282,200 yen (RM86,605) untuk Z 4WD.
Adakah Perodua akan memasarkan Raize sebagai model sendiri? Itu kami tidak berani jamin. Jika jadi kenyataan, kami harapkan ia dipasarkan pada harga yang benar-benar menarik. Mungkin lebih laku keras kalau di bawah paras harga Aruz.
BACA >>> Hebat!!! Perodua Bezza RM86k Jadi Sedan Bawah 1.0L Paling Laku di Sri Lanka!
Yusri says
Terbaiklah penulisan artikel ini. Tersusun, mengotakan bahasa ibunda dan penuh maklumat. Cuma penulis patutnya letak nama sebenar, bukan "Abang Hirata". Itu adalah etika menulis artikel, kena guna nama sebenar.
Tapi apa pun terbaik. Mulanya saya dah sasar X50 tapi harganya macam berdentum (mahal) la pula. Saya mampu, cuma saya rasa saya tak perlu kereta berkuasa tinggi sangat dan besar, jika dibandingkan dengan Toyota Raize ni. Raize ni murah dan banyak ruang, sungguh memadai bagi saya yang suka memandu dengan kelajuan biasa, tidak terlalu laju dan perlahan. Tak suka berlumba-lumba atau terkejar-kejar dengan kereta lain. Mujur ada Raize ni. Tapi nak tunggu dulu rebiunya dulu sebelum buat pilihan.