HEBAT! Seorang gadis 14 tahun berjaya menghasilkan sistem prototaip yang mampu mengatasi masalah titik buta pada pilar-A kenderaan, terutama kereta.
Menariknya, Alaina Gassler mencipta sistem itu dengan hanya menggunakan kamera web, projektor dan beberapa komponen yang direka menggunakan mesin pencetak tiga dimensi (3D).
Caranya, kamera web yang dipasangkan pada luar pilar-A sebelah penumpang depan akan memancarkan paparan video secara langsung pada dinding tiang bahagian dalam kabin. Video itu pula dipancarkan menerusi alat projektor yang diikat pada siling kereta, iaitu atas kerusi pemandu.
BACA >>> Rekacipta Konsep Beg Udara dengan Pelana Boleh Tanggal Seperti Jet Pejuang
Antara cabarang dihadapi, Alaina terpaksa mencetak komponen khas untuk membantunya mendapatkan fokus paparan video jarak dekat dari projektor.
Sebaik saja mendapatkan fokus, dia berdepan pula masalah melihat paparan video pada dinding pilar-A. Penyelesaiannya, tiang tersebut dibalut menggunakan sejenis fabrik reflektor yang biasanya dijahit pada baju hujan sebagai material pemantul cahaya.
Ya, fungsi material fabrik itu cuma untuk memantulkan semula cahaya kepada sumber asal pancaran, iaitu projektor. Disebabkan pemandu duduk berdekatan alat pemancar, maka dia dapat melihat paparan video tersebut dengan jelas. Sebaliknya penumpang hanya melihat kain fabrik hitam.
Gadis dari Grove Barat, Pennsylvania di Amerika Syarikat itu menamakan projek tersebut sebagai 'Menambah Baik Keselamatan Automobil dengan Menghilangkan Titik Buta' (Improving Automobile Safety by Removing Blind Spots).
BACA >>> Pelajar Cipta Peranti Imbas Cap Jari untuk Hidupkan Motosikal
Usaha dan inovasi mengesan titik buta pada kenderaan sudah jadi kebiasaan dalam rekacipta automotif. Antara teknologi sedia ada yang banyak digunakan kenderaan moden masa kini adalah pengenalan Sistem Maklumat Titik Buta (Blind Spot Information System, BLIS).
Sistem BLIS, juga dipanggil BSM (Pemantau Titik Buta/Blind Sport Monitoring) akan memberi amaran menerusi kelipan cahaya, bunyi atau gegaran jika mengesan kenderaan lain atau objek di zon titik buta kenderaan. Lazimnya, amaran dipaparkan pada cermin sisi.
Alaina menghasilkan projek itu untuk menyertai pertandingan Broadcom MASTERS (Matematik, Sains Gunaan, Teknologi dan Kejuruteraan untuk Bintang Muda). Hasilnay, dia meraih anugerah untuk ciptaan menyelamatkan nyawa, sekali gus memenangi pertandingan peringkat kebangsaan dan membawa pulang Hadiah Yayasan Samueli bernilai AS$25,000 (RM103,410). Masyuk!
Memang hebat walaupun faktanya Alaina belum pun ada lesen memandu sah.
SUMBER: MashbleSEA | BoredPanda
Leave a Reply