TOYOTA memperkenalkan model konsep kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV), 'Mirai Concept' sempena Pameran Motor Tokyo (TMS) 2019 yang bermula hari ini.
Mirai Concept ialah model pembangunan fasa akhir untuk Mirai generasi kedua yang akan ditayangkan di 'Future Expo' bermula 24 Oktober ini hingga 4 November di Megaweb.
Rekabentuk Mirai dirombak sepenuhnya itu yang dilihat sebagai satu langkah mara ke depan dalam pembangunan produk FCEV menerusi jarak pemanduan lebih jauh dan prestasi ditambah baik serta rekabentuk sporty dan elegan untuk lebih keselesaan dan keluasan.
BACA >>> Toyota 'Tokyo 2020 Version' - Kenderaan e-Palet untuk Atlet Olimpik, Paralimpik 2020
Ketua Jurutera Mirai, Yoshikazu Tanaka berkata, Mirai Concept dibangunkan sebagai sebuah kereta yang sentiasa mahu dipandu pelanggan. Ia bukan saja memiliki rekabentuk emosional dan menarik, tetapi juga memberikan prestasi responsif dan dinamik yang mampu membuatkan pemandu tersenyum.
Saya mahu pelanggan cakap, 'saya pilih Mirai sebab saya memang mahu kereta ini dan ia baru saja jadi FCEV. Kami akan teruskan kerja pembangunan yang menumpukan kepada perasaan, dan kami harap Mirai baharu akan jadi peneraju dalam merealisasikan masyarakat tenaga hidrogen."
YOSHIKAZU TANAKA, Ketua Jurutera Mirai
SEL BAHAN API SEBAGAI SUMBER TENAGA
Dilancarkan pada 2014, Mirai generasi pertama (foto atas) membuktikan kepada dunia tentang potensi hidrogen sebagai sumber tenaga untuk mobiliti mampan dan bersih. Ini dinilai menerusi gabungan jarak pemanduan dengan masa isian semula minyak yang setara kenderaan konvensional, dan paling penting tiada emisi, kecuali air.
Kira-kira 10,000 unit Mirai terjual seluruh dunia yang membuka jalan kepada masyarakat hidrogen dalam usaha mengurangkan emisi, mempelbagaikan sumber tenaga dan menjana pertumbuhan ekonomi global.
Dijadualkan dilancarkan lewat 2020, bermula di Jepun, Amerika Utara dan Eropah, Mirai generasi kedua ini bukan sekadar kereta eko, tetapi meletakkan penanda aras baharu dalam teknologi FCEV.
Penambahbaikan dalam prestasi sistem sel bahan api dan peningkatan kapasiti storan hidrogen meningkatkan 30 peratus jarak pemanduan Mirai. Ia juga direka semula sepenuhnya berasaskan platform TNGA pacuan roda belakang (RWD) yang menggabungkan ketangkasan dan prestasi pemanduan terhebat dalam rekabentuk luaran serba elegan dan slik.
BACA >>> #Spyshot: Foto Toyota Yaris (2020) Bocor, Rekabentuk Serba Baharu Sepenuhnya
Apakah yang menarik tentang Mirai Concept?
1. KENDERAAN MODEN DAN BERGAYA DENGAN PENGALAMAN MEMANDU DIPERTINGKAT
Mirai Concept memiliki rekabentuk luaran dinamik yang dibina berasaskan platform baharu Toyota, TNGA (Arkitektur Global Baharu Toyota). Ini menjadikan model ini lebih rendah dan besar dengan rekabentuk elegan dan slik, manakala saiz rim 20 inci membuatkan ia tampak menyerlah.
Ia juga dipersembahkan dalam warna biru khas, Force Blue Multiple Layers yang menggunakan lapisan warna untuk mencapai tahap kecerahan dan kedalaman terbaik.
Ruang dalaman dilengkapkan skrin lebar 12.3 inci pada konsol tengah dan panel instrumen fokus pemandu dengan ruang yang ringkas dan moden untuk fiil keselesaan dan kehangatan. Konfigurasi sistem sel bahan api berasaskan platform TNGA turut membolehkan Mirai Concept memuatkan lima kerusi, berbanding empat kerusi untuk model sebelum ini.
2. PRESTASI PEMANDUAN DITAMBAH BAIK
Sejak awal lagi, platform modular baharu Toyota memang dibangunkan untuk menampung trenkuasa jarak penuh Toyota, termasuk sel bahan api hidrogen. Ini membuatkan Mirai Concept lebih rigid yang menyumbang kepada ketangkasan dan tahap responsif lebih baik, manakala pusat graviti rendah (CoG) memberikan pengendalian lincah.
Penambahbaikan ke atas sistem sel bahan api turut meningkatkan jarak pemanduan dan respon enjin lancar, serta menyatukan input terotel pemandu dan pecutan kereta. Pengendalian kini lebih ringan dan mudah ketika memandu di jalan raya berliku, manakala pemanduan lebuh raya memberikan sensasi kuasa hebat pada setiap kelajuan.
3. TEKNOLOGI FCEV FASA TERKINI
Mirai Concept menampilkan sistem sel bahan api yang direka semula sepenuhnya, terdiri daripada pek sel bahan api untuk kesan prestasi memberangsangkan.
Toyota mensasarkan peningkatan jarak pemanduan sebanyak 30 peratus berbanding model terdahulu. Terima kasih kepada kapasiti storan hidrogen yang dipertingkat.
BACA >>> Toyota Yaris (2020) Serba Baharu Didedahkan, Kini dengan Rekabentuk Lebih Seksi
SPESIFIKASI
Panjang: 4,975mm
Lebar: 1,885mm
Tinggi: 1,470mm
Jarak Roda: 2,920mm
Sistem Pemanduan: Pacuan Roda Belakang (RWD)
Penumpang: 5 orang
Jarak: Peningkatan kira-kira 30% daripada generasi sekarang
* Angka mengikut unjuran dalaman Toyota
Leave a Reply