MENYAKSIKAN acara kelajuan darat tertinggi memang mengujakan dengan kelajuan luar biasa yang dicapai dan rekabentuk unik ibarat jet pejuang tanpa sayap.
Pada 21 Oktober lalu, pasukan Bloodhound Land Speed Record (LSR) mendedahkan kereta terbaharu yang bakal mencipta Rekod Kelajuan Daratan paling pantas di dunia, tahun depan. Kereta itu ditayangkan kali pertama dengan spesifikasi padang pasir sempena permulaan program ujian halaju tinggi di padang pasir Hakskeenpan, Afrika Selatan.
Kereta itu juga kali pertama dilihat dengan roda aluminium padu yang direka untuk menahan tekanan halaju supersonik. Dalam sesi pertama, roda itu akan diuji pada kelajuan hingga 800kmj selain menjadi acara mempamerkan kejuruteraan British kepada umum.
BACA >>> AddArmor APR Audi RS7 - Inilah Sedan Perisai Paling Laju di Dunia, Sepantas 325kmj!
Pasukan Bloodhound LSR mahu projek berkenaan menjadi inspirasi kepada orang ramai tanpa mengira perbezaan usia dalam membangunkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Kereta pecutan lurus terpantas dunia ini dikuasakan enjin pesawat pejuang EJ200 Eurofighter Typhoon.
Ujian itu juga menjadi kenyataan hasil usaha Kerajaan tempatan, Northern Cape yang bekerja keras membuang 16,500 tan batu dari tasik kering bagi memastikan ujian Bloodhound berjalan lancar. Ia kini menjadi kawasan terbesar yang dibersihkan untuk acara permotoran.
Fakta menarik lain, salah satu objektif utama acara ini adalah menilai kondisi kereta apabila diperlahankan dan dihentikan dalam halaju sasaran tertentu, sama ada ketika mula bergerak atau lebih 800kmj.
BACA >>> Natasha Catat Rekod Dunia Pemandu Terpantas Daki Jalan Gunung Doi Chang, Thailand
Apabila jurutera dan pemandu Andy Green berpuas hati dengan keupayaan memecut dan berhenti, barulah fasa pecutan bermula dengan meningkatkan kelajuan setiap sesi pada 80kmj.
Data tekanan daripada 192 sensor pada kereta akan diperhatikan dan dibandingkan dengan model pengiraan dinamik bendalir (computational fluid dynamic, CFD). Jurutera Bloodhound LSR turut bekerjasama dengan Penolong Profesor Ben Evans dan Jack Townsend dari Universiti Swansea bagi memeriksa dapatan data.
Dari segi prestasi, dengan kelajuan penuh 1689.8kmj, Bloodhound LSR mampu bergerak hingga 1.6km dalam masa 3.6 saat, atau kira-kira 150 meter dalam sekelip mata. Rekod kelajuan tertinggi bumi setakat ini ialah 1,227.9kmj, dilakukan Thrust SSC.
Rekod dicatatkan pasukan dari UK itu diketuai Richard Noble pada 1997 dan dilakukan Green, yang juga pemandu Bloodhound LSR.
BACA >>> AddArmor APR Audi RS7 - Inilah Sedan Perisai Paling Laju di Dunia, Sepantas 325kmj!
Leave a Reply