PEMANDUAN jauh pastinya meletihkan, dan pemandu berdepan risiko mengantuk dan hilang fokus, sekali gus mendedahkan diri kepada kemalangan. Namun, teknologi baharu seperti keselamatan jelajah (cruise safety) yang menjadi sebahagian sistem keselamatan kereta moden hari ini mampu membantu mengurangkan risiko bahaya tersebut.
Semua teknologi di bawah ini berfungsi sebagai pembantu peribadi ketika memandu bagi mengawal perilaku pemanduan anda supaya kekal memandu dalam keadaan selamat dan terkawal.
BACA >>> Demo Ford: Ciri Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) Mampu Minimumkan Kesesakan Trafik
1. KAWALAN JELAJAH ADAPTIF (ADAPTIVE CRUISE CONTROL)
Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control, ACC) mampu mengurangkan beban mengawal halaju kereta ketika memandu, terutama perjalanan jauh.
Sebaik saja pemandu menetapkan had kelajuan tertentu, sistem ACC akan mengekalkan halaju tersebut. Sekiranya sensor sistem, termasuk kamera dan radar mengesan kenderaan lain dalam laluan anda, sistem akan melaraskan halaju untuk mengekalkan jarak selamat.
Sistem ini sangat berguna dalam situasi kesesakan lalulintas teruk, di mana anda tidak perlu lagi terlalu fokus kepada gerak-henti sepanjang kesesakan.
BACA >>> Apakah Itu 'Honda Sensing' pada Honda CR-V (2017) - Power Sangat Ke?
2. AMARAN LENCONG (LANE DEPARTURE WARNING, LDW)
Dengan menggunakan kamera untuk mengimbas jalan raya di depan kenderaan, sistem Amaran Lencong (Lane Departure Warning, LDW) akan memberi amaran kepada pemandu apabila ada risiko ketika mahu menukar lorong.
Sistem ini membantu pemandu mengekalkan laluan pemanduan ketika mengantuk, dan mampu berfungsi lebih baik dengan Sistem Elak Rempuhan (Collision Avoidance System). Institut Insurans bagi Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) mendapati ramai pemandu cenderung mengabaikan sistem ini selepas memandu beberapa ketika. Jadi, sistem pengesanan tambahan dapat memastikan amaran tersebut tidak diabaikan apabila berlaku situasi yang benar-benar memerlukan.
3. SISTEM PEMUSATAN LORONG (LANE CENTERING SYSTEM, LCS)
Sistem Pemusatan Lorong (Lane Centering System, LCS) ialah versi termaju bagi sistem Amaran Lencong (LDW). Sebagai tambahan untuk memantau kedudukan anda dalam laluan, sistem ini mampu mengambil alih sistem stereng bagi mengekalkan posisi anda di lorong tengah.
Sistem ini dapat membantu mengelak kemalangan disebabkan terkeluar lorong secara tiba-tiba, terutama ketika mengantuk atau keletihan.
4. LAMPU UTAMA ADAPTIF (ADAPTIVE HEADLIGHT)
Lampu Utama Adaptif (Adaptive Headlights), menggunakan motor kecil yang disambungkan kepada roda stereng untuk melaraskan sudut lampu depan anda.
Dengan mengubah trajektori lampu utama, sistem ini membantu anda melihat kawasan sekeliling, termasuk sudut jalan yang tidak dapat disuluh lampu biasa. Ini memberikan anda amaran awal mengenai objek yang mungkin anda tidak nampak. Bersama tambahan Bantuan Brek (BA), lampu depan adaptif sangat berkesan mengurangkan risiko kemalangan.
Sesetengah kenderaan dilengkapi ciri Lampu Suluh Tinggi Automatik (Automatic High Beam, AHB) yang secara automatik akan merendahkan suluhan lampu apabila mengesan kehadiran kenderaan depan.
BACA >>> #TahukahAnda: 6 Fakta Tentang Mengantuk Ketika Memandu yang Perlu Anda Tahu
KESELESAAN FUTURISTIK: MASA DEPAN KESELAMATAN JELAJAH DIPERTINGKAT
Ketika kemunculan pelbagai teknologi yang semakin hari semakin biasa diketahui pengguna, pada masa sama industri automobil mula menyaksikan peningkatan sistem futuristik keselamatan kereta. Semua sistem tersebut menggunakan teknologo termaju untuk menjadikan pemanduan lebih mudah dan selamat berbanding sebelumnya.
1. PAPARAN DONGAK (HEAD-UP DISPLAY, HUD)
Diilhamkan berasaskan paparan daripada jet pejuang Paparan Dongak (Head-Up Display, HUD) menggunakan projektor kecil untuk memaparkan maklumat relevan atas cermin depan pada ruang pandangan pemandu.
Maklumat dipaparkan terdiri daripada halaju, halatuju, arah navigasi dan banyak lagi. Dengan memaparkan maklumat pada lokasi mudah lihat, HUD membolehkan pemandu memberikan tumpuan sepenuhnya pada pemanduan.
2. PANDANGAN MALAM (NIGHT VISION)
Sistem Pandang Malam (Night Vision) menggunakan kamera inframerah untuk membantu anda melihat dalam gelap. Kamera ini membolehkan anda melihat objek yang mungkin terlindung daripada suluhan lampu depan seperti haiwan, objek tepi jalan dan pejalan kaki. Biasanya, maklumat akan ditunjukkan pada paparan resolusi tinggi yang berasingan.
3. KENDERAAN SEMI-AUTONOMI
Dengan menggabungkan beberapa sistem kawalan berbeza, pengeluar boleh menghasilkan Kenderaan Semi-Autonomi (Semi-Autonomous Vehicle).Walaupun kenderaan masih memerlukan input pemandu, sistem ini mampu membantu pemandu mengetepikan hal-hal rumit ketika memandu.
Pemandu Kenderaan Semi-Autonomi boleh memandu dengan tenang tanpa terlalu menumpukan perhatian kepada ancaman atau cubaan mengelak kemalangan. Sistem ini menggunakan pelbagai teknologi, termasuk ACC, LCS, Pembrekan Proaktif dan Elak Rempuhan.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Jarak Selamat Memandu di Belakang Kenderaan Depan?
Leave a Reply