SEMPENA ulang tahun Bugatti ke-110, pengeluar dari Perancis itu menghasilkan satu model unik, dinamakan Baby II. Model ini diperkenalkan dalam bentuk cetakan 3D pada Pameran Motor Geneva (GIMS) 2019, awal tahun ini. Apa yang istimewa, ini bukan model pengeluaran sebenar, tetapi khas untuk kanak-kanak.
Walaupun cuma model replika untuk si kecil, tetapi semua 500 unit edisi terhad itu habis dijual dalam masa tiga minggu sahaja. Bagi menghasilkan Baby II, Bugatti bekerjasama dengan The Little Car Company di Britain. Tempoh pembangunan pula memakan masa berbulan-bulan lama dan sekarang barulah siap prototaip XP1 yang sedia dipandu uji di Molsheim, Perancis.
BACA >>> Rolls-Royce Bina Kereta Mainan Elektrik untuk Hiburkan Kanak-Kanak Sakit di Hospital
Baby II dibina mengikut model Bugatti Type 35. Asal sejarah model Baby dibina pengasas jenama itu, Ettore Bugatti dan anak sulungnya Jean sebagai hadiah kepada anak bongsu, Roland sempena hari kelahiran ke-4 pada 1926.
Ia dibina mengikut skala 75 peratus mengikut saiz sebenar Type 35 dan orang dewasa pun boleh memandunya. Model replika ini dipacu enjin elektrik dengan pacuan roda belakang (RWD).
TENTANG BUGATTI BABY II
- Berukuran 2.8 meter panjang dan 1 meter lebar. Berat tanpa pemandu bermula 230kg.
- Menggunakan trenkuasa elektrik dengan bateri litium-ion dan teknologi brek regeneratif.
- Ada dua mod pemanduan: kanak-kanak dan dewasa.
- Mod kanak-kanak berkuasa 1kW dengan halaju maksimum 20kmj, manakala mod dewasa berkuasa 4kW dengan halaju maksimum 45kmj.
- Dipakejkan dua bateri saiz berbeza dan boleh tanggal. Bateri standard berkuasa 1.4 kWh dan 2.8 kWh dengan jarak pemanduan lebih 30km.
- Ada fungsi Speed Key jika mahu lebih keseronokan. Punat ini sama seperti Chiron yang berfungsi meningkatkan kuasa hingga 10kW dengan menyahfungsi pengehad kelajuan.
- Supaya pemanduan lebih stabil, roda belakang dilengkapkan ciri diferensial gelincir terhad (LSD).
- Rim lapan rongga adalah mengikut rekabentuk asal Type35 dan dipadankan tayar Michelin.
- Ruang kabin tersedia spidometer, indikator bateri dan meter kuasa yang kali pertama digunakan pada Veyron.
- Mempunyai komponen sama seperti kereta sebenar seperti hon, cermin pandang belakang, brek tangan dan lampu utama.
- Dilengkapi alat kawalan jauh yang boleh menyahaktif kereta dari jarak 50 meter sekiranya pemandu cilik hilang kawalan.
- Logo Macaron Bugatti diperbuat daripada material perak padu 50 gram, sama seperti Chiron.
- Warna standard French Racing Blue dengan interior kulit hitam. Pembeli turut ditawarkan pilihan warna solid seperti Chiron.
Ada tiga pilihan varian Baby II ditawarkan, iaitu:
- Baby II dengan badan komposit.
- Baby II Vitesse dengan badan gentian karbon dan Speed Key.
- Baby II Pur Sang dengan badan buatan tangan daripada aluminium dan Speed Key.
Walaupun semua 500 unit Baby II sudah habis dijual, Bugatti masih menawarkan slot simpanan sekiranya ada pembeli menarik diri. Harga Baby II bermula €30,000 (RM138,670) dan pengeluaran dijadualkan bermula awal tahun depan. Semua unit akan dikeluarkan pada 2020 dan 2021.
BACA >>> LEGO Bugatti Chiron Saiz Sebenar Ini Memang Boleh Dipandu - 5.3hp, 92Nm
Leave a Reply