LAGI kes basikal lajak menjadi tajuk berita utama. Kali ini lebih kurang 10 kanak-kanak dan remaja dirakamkan melakukan aksi berbahaya menunggang basikal lajak di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), kelmarin.
Video 50 saat itu dirakamkan seorang pengguna wanita lebuh raya tersebut yang mahu melalui susur masuk ke Seremban dan Ampangan. Masing-masing penunggang didapati melakukan aksi 'superman', yang boleh dikatakan disiplin wajib dalam sukan haram basikal lajak di jalanan.
Perakam wanita itu juga didengar mengucapkan istighfar beberapa kali seakan tidak percaya anak muda Malaysia seberani begitu yang pasti mampu menempa nama di suka permotoran dunia seperti MotoGP, WorldSBK dan Motocross jika kena caranya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir dipetik HMetro berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan sudah ke lokasi untuk mendapatkan maklumat, tetapi kumpulan tersebut sudah tiada di lokasi.
“Polis kini sedang mengesan geng basikal lajak sekitar Seremban, tetapi mereka bergerak pada waktu dan lokasi berbeza, jadi ia sedikit sukar. Bagaimanapun, orang ramai yang ada maklumat boleh menyalurkan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Ibrahim, kumpulan berkenaan boleh diambil tindakan termasuk merampas basikal mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala penunggang basikal pula boleh disaman mengikut Peraturan 42(1)(a) LN166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.
“Saya menasihatkan remaja dan kanak-kanak supaya tidak menggadaikan nyawa sendiri demi keseronokan sementara. Ibu bapa juga perlu pantau kegiatan anak-anak kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kelak, pasti akan menyesal,” katanya.
KOMEN KAMI
Betullah apa yang tuan polis kita cakap. Masing-masing jalankanlah tugas pantau anak-anak sendiri. Yang boleh repot, pergi buat repot, yang polis tolong cari suspek dan ibu bapa pula jangalah melangut saja dan salah itu ini. Padahal anak baik punya masuk highway main basikal lajak!
Tumpang tanya, tukang rakam tu orang Utara ka orang Nogori?
Leave a Reply