AHMAD Fazli Sham catat rekod tersendiri apabila muncul sebagai pelumba terbanyak memenangi perlumbaan kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS setelah meraih kemenangan ketiga di Litar Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang.
Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu menamatkan 18 pusingan dengan catatan masa 16’18.041s, iaitu 2.088s di hadapan pencabar terdekat, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing).
Manakala Md Azhar Abdul Jalil dari Motul Zeneos Yamaha YY Pang pula menduduki tempat ketiga dengan masa 16’20.196s.
Pada peringkat awal perlumbaan, dua pelumba muda, Hafiz Nor Azman dan Kasma Daniel Kasmayuddin bersaing sengit di hadapan sebelum masalah mekanikal memaksa Kasma menarik diri seawal pusingan ketiga.
Masalah itu bagaimanapun tidak memberi kelebihan untuk Hafiz menjarakkan diri di hadapan sebaliknya Ahmad Fazli berjaya merapatkan jurang sebelum memintas pelumba itu pada pusingan kelima dan mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat.
“ Jentera kami begitu pantas. Jika bukan sebab masalah mekanikal, sudah tentu kami dapat ulang kemenangan satu – dua di pusingan pertama dahulu.
" Meskipun Hafiz bermula dengan agresif, saya yakin dia tidak dapat untuk menjarakkan diri dan hanya menunggu peluang untuk memintas, namun selepas Kasma terpaksa menarik diri dari perlumbaan, saya terpaksa bertindak. Tidak lama selepas itu saya berjaya memintas Hafiz dan mendahului perlumbaan,” jelas Fazli.
Sehingga kini Fazli berada di kedudukan teratas dengan 45 mata diikuti Norizman 31 mata dan Kasma ketiga, 25 mata.
KEPUTUSAN:
CP130 (18 pusingan)
1. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 16’18.041s
2. Norizman Ismail (SGR) Honda 16’20129s
3. Md Azhar Abd Jalil (SGR) Yamaha 16’20.196s
4. Md Hafiz Nor Azman (PRK) Honda 16’20.468s
5. Md Adib Rosley (SGR) Yamaha 16’24.718s
KEDUDUKAN KESELURUHAN:
1. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 45 mata
2. Norizman Ismail (SGR) Honda 31 mata
3. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) 25 mata
4. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 22 mata
5. Md Hafiz Nor Azman (PRK) Honda 22 mata
Leave a Reply