NEGARA kita terkenal dengan budaya balik kampung atau bercuti dalam negara apabila tiba musim perayaan atau cuti umum. Budaya ini banyak dibantu dengan akses rangkaian jalan raya yang baik selain kepelbagaian destinasi menarik yang ada seluruh negara.
Satu lagi aspek penting lain ialah harga petrol 'gred marhaen' (RON95) yang masih munasabah untuk berjalan jauh.
Nun jauh di Kanada, penduduk negara itu pula gemar memandu sambil mengembara (dipanggil 'road trip' ) sepanjang musim panas dengan menjelajah pelbagai tempat dalam negara untuk menikmati pemandangan cantik dan menarik.
Antara destinasi menarik di Kanada ialah kawasan pergunungan Alberta, Niagara dan Quebec. Keluasan Kanada ialah sekitar 9,984,670km persegi, lebih besar besar daripada Amerika Syarikat (AS), iaitu sekitar 9,833,517km persegi yang jauh lebih ramai penduduk.
BACA >>> #SembangDeras: Aduh, Kenapa RON95 Nak Kena Ikut Harga Minyak Dunia Pulak?
HARGA MINYAK PENGARUHI MOOD MENGEMBARA
Bagaimanapun, tinjauan Toyota Canada yang dibuat Ipsos pada 3-6 Mei lalu mendapati budaya 'road trip' dalam kalangan penduduk Kanada mungkin terjejas akibat kenaikan harga bahan api. Berdasarkan kajian melibatkan 2,005 responden atas talian, hampir separuh jawapan diterima mengakui tentang kemungkinan pelan percutian mereka terjejas.
Keputusan Tinjuan Toyota Canada
- 78 peratus responden mengambil kira anggaran kos bahan api apabila membuat perancangan percutian.
- 47 peratus responden mengatakan harga bahan api yang tinggi mungkin menyebabkan mereka tidak melakukan pengembaraan pada musim panas tahun ini.
- 27 peratus responden mempertimbangkan untuk menukar rancangan sedia ada disebabkan harga bahan api tinggi.
- 62 peratus responden mendakwa kenaikan harga bahan api bukan saja menjejaskan percutian, tetapi juga kewangan isi rumah.
Di sebalik dapatan di atas, tidak semua warga Kanada membatalkan percutian mereka dengan segera, ada yang beralih kepada penyelesaian alternatif seperti menggunakan kenderaan elektrik (EV) bagi mengawal impak harga bahan api dalam kehidupan harian.
Dalam proses pemilihan pembelian kereta, kecekapan bahan api ialah perkara nombor dua penting selepas harga kereta. Toyota Canada juga mendedahkan 52 peratus warga Kanada mungkin akan membeli EV dalam masa lima tahun akan datang.
BACA >>> Subsidi Petrol: Kerajaan Setuju Beri Tunai kepada Penerima BSH yang Ada Kereta, Motor
JUALAN KENDERAAN ELEKTRIK (EV) MENINGKAT
Selain itu perubahan permintaan menunjukkan trend positif dengan rekod jualan EV sebanyak 16.7 peratus daripada keseluruhan jualan pada April lalu. Model paling laris ialah RAV4 Hybrid, terjual 2,112 unit, meningkat 246.8 peratus!
Kepada pengguna yang risaukan kos bahan api, Toyota Canada turut berkongsi tip penjimatan (boleh juga dijadikan rujukan kepada pemandu Malaysia), iaitu:
- Jangan memecut secara kasar
- Kurangkan muatan tidak diperlukan seperti rak basikal
- Guna lebuh raya dan ciri kawalan jelajah
- Elak melahukan enjin
- Rancang perjalanan
Sebagai rekod, harga petrol di Kanada pada 22 Julai lalu ialah C$1.413 (RM4.43), manakala harga petrol RON95 di negara kita ialah RM 2.08 (C$0.66).
* Jenis RON tidak dapat disahkan
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Makin Pecut Laju, Makin Kuat Makan Minyak?
Leave a Reply