PROTON Persona edisi dipertingkat (facelift) 2019 diakui mendapat sambutan menggalakkan sejak dilancarkan April lalu. Datang bersama slogan 'Intelligence That Cares' (Kepintaran yang Prihatin), ini dapat dilihat menerusi kehadiran sistem arahan suara 'Hi Proton' yang kali pertama digunakan untuk model kereta segmen-B di pasaran Malaysia.
Bagaimanapun, ciri tersebut cuma terhad kepada varian tertinggi, Premium yang ditawarkan pada harga atas jalan RM56,394, atau ansuran lebih kurang RM596 sebulan yang perlu dibayar selama 9 tahun.
Bagaimanakah pula jika bajet bulanan anda tidak lebih RM500? Adakah varian paling asas, Standard yang berharga RM42,000 (manual) dan RM44,000 (auto) masih memuaskan?
BACA >>> Proton Persona (2019) Edisi Facelift Lancar, Harga Lebih Murah Bermula RM42,600
Jom ikuti ulasan pandang pertama Persona facelift varian Standard di bawah ini:
REKABENTUK LUARAN
Memandangkan ini cuma model facelift, tidak banyak perubahan kosmetik dilakukan. Jadi ya, ia masih spesies Iriz yang ditambah but, dan mempunyai proporsi atau sudut badan pelik berbanding sedan lain dalam segmen sama.
Apapun, perubahan dilakukan sekurang-kurangnya mampu menukar imej Persona daripada kereta yang ada krisis identiti - agresif di depan, tapi pelik dari tepi dan belakang - kepada imej lebih harmoni secara keseluruhan.
Perubahan paling signifikan Persona facelift pada pandangan saya adalah bampar belakang. Sekali imbas, tiada apa yang nampak istimewa, tetapi itulah keistimewaannya. Versi facelift ini kurang menyakitkan mata seperti Persona lama walaupun ada yang mengaku lebih sukakan gaya lama. Tapi tak apalah, itukan cita rasa masing-masing.
BACA >>> Proton Persona Lama vs Facelift: Apa yang Baharu? Apa yang Berubah?
Mulanya, saya kurang gemar pada garis krom yang melintang di bawah bampar belakang itu. Namun selepas diteliti betul-betul, garis krom itu berjaya 'mengangkat' bampar Persona dengan efek visual ilusi optik untuk membuatkan fokus mata kita terhenti pada kemasan krom itu. Lihat perbandingan foto atas antara Persona facelift dan Persona lama.
Faktanya, bampar belakang Persona facelift ini sebenarnya masih labuh, dengan tambahan gril palsu yang tiada fungsi apa-apa fungsi selain pelengkap ruang supaya tidak nampak terlalu kosong.
BACA >>> Hi Proton! Bagaimanakah Cara Guna Fungsi Arahan Suara X70?
Bagi varian Standard ditunjukkan dalam artikel ini, sedan ini berkongsi rupa luaran sama seperti varian Executive, cuma diberikan beberapa pembaharuan dan perbezaan seperti:
- Sensor parkir depan kini lebih rendah, diposisikan di dalam ruang gril sisi palsu (foto bawah) yang turut menempatkan lampu siang (DRL) untuk varian Executive dan Premium. Disebabkan tiada DRL untuk varian Standard, bahagian itu nampak kosong saja.
- Hendal pintu dan cermin sisi kini diwarnakan ikut warna badan untuk varian Standard, sama seperti varian atasan. Tetapi tiada sensor kunci pintar.
- Frem pintu bahagian tengah ditrim warna badan seperti varian Executive, tetapi untuk varian Premium diwarnakan hitam kusam.
- Rim aloi 15 inci mempunyai rekaan sama seperti varian Premium, tetapi cuma satu tona warna, sama seperti varian Executive
- Antena sirip jerung baharu, standard semua varian.
- Tiada kamera undur di belakang, ada pada Executive dan Premium
- Tayar masih Silverstone Kruizer 185/55/R15, juga sama dengan varian Executive, manakala tayar Goodyear Assurance untuk Premium.
Sekilas pandang atas jalan, agak sukar hendak membezakan Persona facelift varian Standard dengan varian atasan lain. Ini memang berita baik untuk pemilik yang tidak mahu rasa rendah diri dilihat memandu kereta yang kata orang 'standard pekak' je. Ini penambahbaikan yang harus diberikan kredit buat Proton.
Bagi saya, jika ingin dimodifikasi, perkara kedua yang saya akan tukar selepas tayar ialah suspensi sport supaya profil sedan ini jadi lebih rendah.
* Visor tingkap @ door visor seperti dalam gambar ialah aksesori tambahan aftermarket.
KEMASAN DAN CIRI DALAMAN
Bahagian dalaman Persona facelift Standard ini mungkin mengejutkan pemilik jika anda hanya pernah melihat varian Premium di pusat jualan Proton.
Walaupun masih mengekalkan elemen rekabentuk sama, ada banyak perubahan ketara dilakukan Proton untuk varian Standard ini, atau mungkin lebih senang disebut Persona versi downgrade. Jika melihatkan senarai ciri dalam brosur rasmi, ia banyak melibatkan ciri berbentuk kemasan dan fungsi elektronik seperti berikut:
- Tiada punat tekan mula (push-start). Perlu guna kunci fizikal untuk hidupkan enjin.
- Tiada unit infotainment dengan skrin sentuh (tetapi masih menawarkan ciri kawalan sesentuh, tiada lagi butang tradisional).
- Tiada warna pada paparan multi-info (MID) di tengah panel meter, cuma monokrom hitam putih.
- Tiada suis tutup automatik sekali ketik, Auto-Up untuk tingkap kuasa sebelah pemandu. Pengguna perlu tarik dan pegang suis hingga tingkap ditutup sepenuhnya.
- Tiada cermin sisi automatik yang boleh dilipat sendiri.
- Tiada pembesar suara untuk penumpang belakang.
- Tiada kemasan kulit untuk stereng dan kerusi.
- Kerusi belakang tidak boleh lipat.
Ketiadaan semua ciri disenaraikan di atas itu mungkin membuatkan anda berfikir semula sebelum memilih varian Standard seperti ketiadaan punat push-start dan kerusi belakang tidak boleh lipat.
Bagaimanapun, bukan setakat itu saja, ada beberapa lagi downgrade yang saya dapat kesan untuk varian Standard ini dan tiada dalam senarai rasmi:
- Tiada kemasan metalik atau krom pada papan pemuka, terutama keliling pemain audio dan ventilator penyaman udara.
- Tiada kemasan metalik keliling tombol gear.
- Tiada poket di belakang kerusi pemandu dan penumpang depan.
- Tiada lapik fabrik pada panel pintu, digantikan plastik sepenuhnya.
Walaupun banyak benda diturun taraf, ada beberapa perkara pula yang dinaik taraf daripada varian Standard terdahulu. Antaranya, pemain media jenis baru kawalan sesentuh yang menyokong konektiviti wayarles seperti USB dan Bluetooth dengan sokongan strim audio dan panggilan suara telefon pintar.
Sebagai pengguna Spotify tegar, saya rasa ciri ini lebih penting daripada pangkalan data lagu yang ada dalam sistem 'Hi Proton' varian atasan. Panel meter dan MID lebih jelas dibaca menerusi fon baharu, manakala indikator minyak dan suhu diletakkan di luar MID, nampak kemas dan lengkap.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Sistem Infotainment yang Perlu Anda Tahu
Paling menarik, khas buat pemilik varian Standard versi transmisi manual, tombol gear menampilkan rekabentuk mirip tombol gear model X70. Memang cantik!
Secara keseluruhan, boleh dikatakan bahagian dalaman Persona facelift Standard masih mengekalkan ciri praktikal seperti varian atasan dari segi ruang, jumlah pemegang cawan, cangkuk dan bilangan palam USB.
Namun, ia ketara kurang dari segi ambien mewah seperti dimiliki varian atasan. Jujurnya, jika ada pembeli cerewet dengan perkara sebegini, sudah tentu mereka akan pilih varian lebih tinggi.
KESIMPULAN
Persona facelift Standard sesuai buat mereka yang mahukan kereta lengkap dengan ciri asas, dan tidak kisah jika model itu tiada ciri kereta moden masa kini. Namun pada masa sama, mereka juga tidak mahu kereta harga bajet mereka itu nampak murah, sekurang-kurangnya dari pandangan luaran.
Jika ulasan pandang pertama ini masih belum cukup meyakinkan, nantikan ulasan pandu uji penuh dalam artikel seterusnya. Saya akan kongsikan pengalaman memandu uji Persona facelift Standard dengan transmisi manual.
BACA >>> Model 'Facelift' dalam Automotif - Antara Trik, Strategi atau Realiti Pasaran?
Leave a Reply