DALAM dunia automotif, Gordon Murray adalah antara tokoh disegani. Beliau ialah individu yang bertanggungjawab merekabentuk supercar tiga kerusi, McLaren F1.
Murray sebelum itu terlibat dengan begitu banyak projek kereta lumba Formula Satu (F1) Brabham. Pada 1988, selepas 17 tahun bersama Brabham, beliau berpindah ke McLaren Racing sebagai Pengarah Teknikal. Kemudian pada 1990, Murray berpindah dari operasi F1 untuk menubuhkan syarikat baharu, dikenali sebagai McLaren Cars Limited. Buat masa ini McLaren F1 dikeluarkan, disusuli Mercedes-Benz SLR McLaren.
Murray kemudian keluar dari McLaren pada 2005 dan menubuhkan Gordon Murray Design Ltd pada 2007. Syarikat ini terus berkembang dan terbaharu beliau dikurniakan darjah kebesaran CBE (Commander of the British Empire) daripada Putera William di Istana Buckingham, bulan lalu.
Sentuhan beliau dalam automotif akan kembali melalui Gordon Murray Automotive dengan model sulung dipanggil sebagai T.50. Ia ibarat bayangan pengganti McLaren F1 dan dikatakan supercar paling fokus kepada pemandu, ringan dan tulen pernah dihasilkan.
BACA >>> Ronaldo Nafi Beli Supercar Bugatti La Voiture Noire RM78 Juta
T.50 bukan lagi pada tahap lakaran atas kertas, tetapi pembangunan model ini sudah pun berjalan dengan pengeluaran dan penghantaran kepada pelanggan akan dibuat pada awal 2022.
Tentang Supercar T.50
- Direka sebagai supercar GT (grand tourer).
- Supercar British tulen yang dibikin di Britain.
- Pelan kejuruteraan, gaya luaran dan dalaman dihasilkan sendiri Gordon Murray Design.
- Pengeluaran akan dibuat di Britain di bawah Gordon Murray Automotive.
- Setiap kereta lumba atau kereta jalanan rekaan Murray akan mempunyai tanda nama T.
- Berat T.50 cuma 980kg, lebih ringan daripada supercar lain.
- Memiliki dimensi lebar 1,850mm, dan panjang 4,380mm.
- Menggunakan enjin aspirasi natural (NA) V12 Cosworth-GMA 3.9L 65° berkuasa 650hp dan tork 450Nm.
- Digerakkan sistem pacuan roda belakang (RWD).
- Konfigurasi tiga kerusi dipelopori Murray pada McLaren F1.
Apa yang menjadikan T.50 sebagai koleksi berharga masa depan ialah model ini cuma dikeluarkan 100 unit sahaja, dan mendapat sentuhan dan ilham Murray yang sudah 50 tahun berkecimpung dalam F1 dan bidang kejuruteraan, termasuk rekabentuk industri automotif.
Tentang harga pula, mereka yang berminat boleh memiliki T.50 pada £2 juta (RM10.6 juta), tidak termasuk cukai. Wow!
BACA >>> Aston Martin Valkyrie - Kereta Hiper Enjin NA Cosworth V12 Berkuasa 1,160hp!
Leave a Reply