PROTON Exora versi dipertingkat (facelift) dilancarkan secara rasmi sebentar tadi dengan menampilkan kemas kini luaran dan dalaman, termasuk dilengkapi sistem infotainment pintar, 'Hi Proton', sama seperti dimiliki model facelift terdahulu, Iriz dan Persona.
Kenderaan pelbagai guna (MPV), yang sudah memasuki 10 tahun usia pengeluaran tahun ini, boleh dimiliki pada harga menarik, iaitu bermula RM59,800 sahaja, dengan penjimatan RM2,208 berbanding model terdahulu.
BACA >>> Proton Persona (2019) Edisi Facelift Lancar, Harga Lebih Murah Bermula RM42,600
Apakah perkara menarik tentang Exora (2019) facelift?
1. HARGA MENARIK
Exora (2019) facelift ditawarkan dalam dua varian yang kedua-duanya dikuasakan enjin 1.6 Turbo dengan transmisi CVT:
- Exora Premium 1.6T CVT - RM66,800
- Exora Executive 1.6T CVT - RM59,800
2. LUARAN LEBIH SPORTY, AGRESIF
Penampilan paling ketara dapat dikesan ialah visual belakang, mengambil konsep sama seperti Iriz facelift, iaitu panel atas pintu but hitam dengan lencana 'TURBO' dan 'EXORA' di penjuru kiri dan kanan, yang asalnya diperkenalkan pada edisi facelift 2017. Lampu belakang meminjam rekaan asal daripada model CFE, iaitu jenis jernih.
Rupa depan kini lebih sporty dan agresif tanpa kemasan krom apabila bahagian gril digelapkan sepenuhnya. Bampar depan juga sama, cuma diberikan kemasan hitam pada difuser tepi bawah, termasuk skirt. Antena konvensional digantikan dengan antena sirip yu.
3. DALAMAN TAMPAK PREMIUM
Rekaan dalam Exora (2019) facelift kini lebih premium dengan rekaan stereng baharu dan kemasan perak pada konsol tengah yang memuatkan unit infotainment, termasuk konsol gear.
Set upholsteri diperbaharui dengan kemasan semi-kulit bertekstur corak silang pada kerusi dan panel pintu, manakala kluster meter menampilkan fon lebih kemas warna putih. Tiada perubahan dimensi atau susunan konfigurasi kerusi dibuat.
4. WARNA BAHARU EKSKLUSIF
Exora (2019) Facelift memperkenalkan warna baharu, Rosewood Maroon (merah hati), sama seperti model Persona (2019)
5. ADA CIRI ARAHAN SUARA 'HI PROTON'
Ini ialah ciri paling baharu yang tiada pada model terdahulu. Exora (2019) facelift dilengkapkan dengan ciri infotainment 'Hi Proton' yang membolehkan pengguna melakukan strim muzik dan navigasi secara atas talian, menikmati sambungan 4G dan melayari Internet dengan fungsi WiFi hanya dengan arahan suara.
BACA >>> Hi Proton! Bagaimanakah Cara Guna Fungsi Arahan Suara X70?
6. ENJIN, DIMENSI DAN CIRI KEKAL SAMA
Exora (2019) facelift masih mengekalkan trenkuasa sama, 1.6 Turbo berkuasa 138hp dan tork 205Nm. Begitu juga dimensi luaran dan dalaman, masih sama. Bagi versi facelift, rasanya tidak banyak perlu diubah untuk Exora kerana model ini sememangnya antara MPV yang menawarkan ruang terbaik dalam kelas.
Exora (2019) facelift menawarkan kapasiti 7 kerusi yang mampu memuatkan 7 dewasa, penyaman udara setiap baris tempat duduk, dan ciri pengendalian terbaik.
BACA >>> 7 Perkara Patut Anda Tahu Tentang Proton Iriz (2019) Facelift - Harga Bermula RM36,700!
7. PAKEJ WARANTI
Proton menawarkan dua pakej menarik kepada pembeli Exora (2019) facelift, iaitu:
- Pakej Servis - Caj buruh percuma sebanyak tiga kali
- Pakej Data - Internet percuma selama 5 tahun dengan kuota data 1GB sebulan.
Menariknya, bagi pendaftaran sepanjang 2019, Proton menawarkan caj buruh percuma selama 5 tahun, tertakluk terma dan syarat
8. PAKEJ PEMBELIAN MENARIK
Exora (2019) facelift turut menawarkan kadar faedah rendah bermula 2.76 peratus dengan pakej perlindungan insurans hingga 12 tahun dan pampasan kemalangan bernilai RM15,000!
Bagi 1,000 pelanggan pertama, Proton memberikan cukai jalan percuma selama dua tahun untuk pendaftaran persendirian dan setahun percuma untuk pendaftaran syarikat.
Dengan segala pengurangan harga dan tambahan pakej serta ciri diberikan, pengguna mendapat tambahan nilai berjumlah RM4,233 untuk varian Exora Executive 1.6T CVT, dan RM5,652 (Exora Premium 1.6T CVT).
9. KOS SERVIS 5 TAHUN
Proton kali ini turut berkongsi anggaran kos servis untuk Exora (2019) facelift untuk 5 tahun pemilikan, iaitu:
- Tahun 1 - RM363.27
- Tahun 2 - RM314.26
- Tahun 3 - RM654.05
- Tahun 4 - RM705.46
- Tahun 5 - RM385.98
JUMLAH: RM2423.02#
Leave a Reply