NAZA Bikes memeriahkan pasaran motosikal tempatan menerusi perlancaran model baharu, Naza N5 yang direka khas bagi memenuhi selera pembeli yang mahukan motosikal entri dalam kategori 250cc.
Tergolong dalam famili naked, motosikal pemasangan Kilang Naza Bikes, Shah Alam itu menawarkan elemen santai dan mudah kepada bakal pemilik atas kelebihan profil binaan dimiliki. Naza N5 amat sesuai buat penunggang urban dan gemarkan aktiviti kembara bermotosikal ke kawasan luar bandar pada hujung minggu.
NAZA N5 menitik beratkan faktor mesra penunggang baharu dan pada masa sama memastikan kepuasan tunggangan dirasai selain berupaya mengasah skil dan meningkatkan keyakinan kawalan. Cukup ideal kepada pembeli berusia antara 18 hingga 45 tahun.
Model transmisi 6-kelajuan dengan unit enjin silinder tunggal DOHC dan bantuan sistem penyejukan cecair pasti mempelbagaikan opsyen pengguna dalam memilih motosikal mampu milik.
SASARAN 300 UNIT
Sebagai promosi awal, 500 pembeli pertama berpeluang menikmati harga pembelian istimewa, RM13,988 (harga atas jalan) dengan sasaran jualan 300 unit sebulan.
Naza N5 ada kaitan rapat dengan model dari Korea Selatan, Hyosung EXIV 250 dan ia bukan perkara asing kerana rata-rata model Hyosung di pasaran Malaysia memakai label Naza atas dasar persefahaman dan perjanjian sesama syarikat.
EKSPORT
Majlis pelancaran motosikal baharu itu dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Eksekutif Bersama Naza Group, Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolao Group, Oh Sei-young, Ketua Pegawai Eksekutif KR Motors, Bae Dong-Jun dan Nik Danial Nik Mahmood selaku Naib Presiden Naza Two Wheels & Four Wheels Division.
“Tahun 2013, model sportsbike NAZA Blade 650 berjaya menduduki tangga teratas dalam kelasnya dan motosikal 250cc kami juga menjadi pilihan popular dalam segmennya. Sepanjang 15 tahun kerjasama dengan rakan kami iaitu KR Motors, NAZA Bikes berjaya memperkenalkan 6 motosikal berbeza dalam kategori 250c dan 650cc,” kata Datuk Wira SM Faisal.
Bukan itu sahaja, NAZA Bikes ada berkecimpung dalam aktiviti eksport motosikal ke luar negara. Program bermula 2009 itu menyaksikan Iran sebagai negara pertama menerima motosikal NAZA. Selepas itu, aktiviti eksport juga diadakan ke Brunei dan mula meneroka pasaran Kemboja.
Datuk Wira SM Faisal mengutarakan hasrat melihat NAZA bangkit sebagai pengeluar sepenuhnya yang mampu menghasilkan motosikal Malaysia, khasnya dalam kelas enjin 250cc yang diterima baik pengguna tempatan dan dikenali di persada antarabangsa. Malah, beliau juga mahukan jenama motosikal NAZA setanding pengeluar lain seperti Kawasaki dan Honda yang mana kolaborasi bersama KR Motors bakal menjadikan visi itu sebagai realiti.
SPESIFIKASI
ENJIN Silinder tunggal, DOHC dengan sistem sejukan cecair
SESARAN 249cc
GEREK & LEJANG 73mm x 59.6mm
NISBAH MAMPATAN 12:1
KUASA MAKSIMUM 21.2 kW (28.4 HP) @ 8500rpm
TORK MAKSIMUM 26.1 Nm (2.56 kgf.m) @ 7000rpm
SISTEM PENYAMPAIAN BAHAN API Sistem suntikan terus (injection)
KOTAK GEAR 6-kelajuan
PANJANG 1937mm
LEBAR 800mm
TINGGI 1055mm
TINGGI TEMPAT DUDUK 780mm
BERAT 149kg
BREK HADAPAN CAKERA 300mm
BREK BELAKANG CAKERA 230mm
TAYAR HADAPAN 110/70 - 17
TAYAR BELAKANG 150/60 - 17
FORK HADAPAN Teleskopik USD 37mm
SUSPENSI BELAKANG Monoshock boleh laras
SAIZ TANGKI 11L
Leave a Reply