AGAKNYA dalam urusan penyelenggaraan kereta, anda sebenarnya golongan mana? Suka buat sendiri (DIY) atau upah saja mereka yang mahir (baca: mekanik)?
Di negara kita, umumnya, upah penyelenggaran kereta masih lagi munasabah. Biasanya dimasukkan terus dalam sebut harga. Tambahan lagi, kebanyakan pengeluar menawarkan pakej servis percuma untuk pembelian kenderaan baharu.
Bagaimanapun, senario itu berbeza di negara maju seperti Britain. Kereta memang mampu milik, tetapi apabila berlaku kerosakan dan bukan lagi dalam perlindungan pakej waranti, caj jadi sangat tinggi disebabkan kos buruh.
BACA >>> Menjawap Persoalan Ya atau Tidak Kos Senggara Kereta Terpakai Tinggi?
Inilah sebab kenapa budaya DIY lebih subur di Britain. Mengenai penyelenggaraan kereta, ada satu kajian dibuat Continental Tyres dengan memperoleh beberapa dapatan menarik seperti di bawah:
1. Separuh (50 peratus) pemandu berusia 18 - 24 tahun tidak tahu bagaimana periksa paras minyak enjin atau tekanan angin tayar.
2. Pemandu berusia didapati tiga kali lebih cenderung menukar mentol lampu rosak dan dua kali menukar bilah pengelap cermin berbanding pemandu lebih muda.
3. Pemandu berusia mempunyai keyakinan menguruskan hal-hal kecil melibatkan kenderaan, memperbaiki keselamatan dan menjimatkan wang untuk urusan yang tidak memerlukan mereka ke bengkel.
4. Sebanyak 45 peratus pemandu berusia 55 tahun ke atas mahu menukar tayar, tetapi pemandu 18 - 24 tahun yang mahu melakukan perkara sama cuma 19 peratus.
5. Hanya 56 peratus pemandu muda rasa senang menambah isian dalam tangki pengelap cermin.
Kajian itu, yang melibatkan 2,000 pemandu, turut mendedahkan 8/10 pemandu muda sedar mereka boleh menjimatkan wang jika tahu melakukan penyelenggaraan sendiri, manakala 62 peratus mendakwa mereka lebih gembira apabila dapat buat banyak lagi.
PEMANDU MUDA BERBELANJA TIDAK PERLU
Mengulas mengenai dapatan tersebut, pakar keselamatan Continental Tyres, Mark Griffiths berkata;
"Kurangnya keyakinan dan pengetahuan dalam aspek penyelenggaraan berkala seperti ketebalan bunga tayar, tekanan angin dan penglihatan boleh mendatangkan risiko yang menyebabkan kemalangan. Ia juga beri gambaran pemandu muda membelanjakan wang untuk perkara yang tidak memerlukan bantuan pakar bagi kerja mudah."
Kajian turut mengesan paten penerimaan teknologi baharu berdasarkan peringkat umur. Hanya 1/10 pemandu berusia 18 - 24 tahun rasa yakin memandu menggunakan peta kertas sebagai medium navigasi, sebaliknya 55 peratus pemandu berusia lebih yakin menggunakan cara manual tersebut.
Golongan pemandu muda sedar kelemahan mereka, dan kemampuan pemandu lebih berusia. Lebih 80 peratus kumpulan termuda dalam kajian percaya ibu bapa mereka mampu melakukan kerja menyelenggara kenderaan sendiri. Lebih mengejutkan (mungkin sedikit lucu), separuh responden berusia 55 tahun ke atas percaya ibu bapa mereka pula lebih handal berbanding mereka sendiri.
BACA >>> Kajian: Toyota Prius Jadi Jenama Kereta Paling Banyak Kemalangan di UK
Menurut Griffiths, kajian ke atas semua kumpulan umur itu cenderung ke arah kemahiran dalam aspek teknologi dan kurang dalam perkara mekanikal. Jadi dalam hal ini (teknologi), golongan muda mempunyai kelebihan.
10 TIP PENYELENGGARAAN ASAS KENDERAAN
1. Tayar
Periksa tekanan angin, ketebalan bunga dan keadaan tayar setiap dua minggu sekali. Had ketebalan bunga tayar (Britain) ialah 1.6mm. Periksa tekanan angin ketika tayar dalam keadaan sejuk.
2. Minyak Enjin
Tidak susah pun, hanya guna tolok (dipstick). Periksa beberapa minggu sekali dan sebelum perjalanan jauh.
3. Air atau Cecair Penyejuk Enjin @ Coolant
Periksa seminggu sekali apabila enjin sejuk, periksa juga cecair penyejuk enjin.
4. Sistem Pengelap Cermin
Di Britain, pemandu dikira melakukan kesalahan jika sistem pengelap cermin tidak berfungsi. Periksa dengan kerap dan tambah air apabila perlu.
5. Cermin Depan
Periksa jika ada rekahan kecil dan baiki sebelum cermin retak lebih luas.
6. Lampu
Periksa semua lampu seminggu sekali. Anda perlukan bantuan seseorang untuk perhatikan lampu brek atau undur.
7. Badan Kereta
Periksa badan kereta untuk sebarang tanda kerosakan atau karat.
8. Stereng Kuasa
Periksa tahap bendalir dalam takungan yang terletak dalam ruang enjin. Tambah jika didapati kurang.
9. Penapis Udara
Ada dua jenis penapis udara, di bahagian enjin dan kabin. Semak manual kereta untuk cara menukar atau minta bantuan bengkel untuk menggantikannya.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Perbezaan Penapis Udara Enjin dan Penapis Udara Kabin?
10. Bateri
Periksa sebarang kebocoran atau kerosakan beberapa bulan sekali. Anda juga boleh bersihkan sisa deposit pada bateri menggunakan berus.
Apabila sudah terbiasa melakukan kerja asas begini, ia akan jadi rutin dan memudahkan anda buat penyelenggaraan asas kereta selain menambah baik tahap keselamatan dan menjimatkan wang.
Leave a Reply