HYUNDAI-Sime Darby Motors memang berani membawa masuk model hibrid, Ioniq ke pasaran tempatan. Apa yang mengejutkan ialah model itu, yang dilancarkan November 2016, dipasarkan pada harga sekitar RM100,000 sahaja.
Harga itu boleh dikatakan sangat berpatutan kerana Ioniq ialah kereta penumpang yang menawarkan ruang dalaman selesa. Beberapa tahun kemudian barulah Ioniq menerima saingan terus apabila Honda memasarkan City Hybrid.
BACA >>> Hyundai Ioniq Dipilih Sebagai Kereta Terbaik (COTY) Dunia Wanita 2017
Di peringkat global, Ioniq mempunyai dua lagi varian yang tidak dipasarkan di pasaran tempatan, iaitu Ioniq Plug-In Hybrid (PHEV) dan Ioniq Electric. Hyundai mendakwa Ioniq ialah kereta pertama dunia dilengkapkan tiga trenkuasa elektrik yang dirancang sejak awal.
Selepas masuk tahun ketiga sejak kali pertama dilancarkan, Hyundai Motor memperkenalkan Ioniq (2019). Model ini menampilkan beberapa perubahan luaran dan dalaman untuk ketiga-tiga varian utama, termasuk bateri baharu untuk model elektrik.
Kami berpendapat HSDM wajar mempertimbangkan Ioniq Electric dijual di Malaysia bagi merintis jalan kepada kehadiran EV mampu milik. Tambahan pula, pesaing seperti Edaran Tan Chong Motor (ETCM) bakal melancarkan Nissan Leaf beberapa bulan lagi.
TAMBAHAN TENAGA
Ioniq Electric (2019) tampil dengan tambahan kapasiti tenaga sebanyak 36 peratus menerusi penggunaan bateri berkuasa 38.3kWh. Bateri asal model ini ialah 28kWh, manakala bateri baharu memberikan jarak perjalanan sejauh 292km (mengikut rating WLTP). Jarak tersebut cuma sederhana, tetapi cukup perjalanan ulang-alik ke tempat kerja.
Dari segi kuasa, motor Ioniq Electric (2019) mempunyai kuasa maksimum 134hp dan tork 295Nm. Hyundai turut membekalkan pengecas on-board 7.2kW yang dinaik taraf daripada 6.6kW untuk sistem pengecasan AC Type 2. Dengan kuasa 100kW di stesen pengecasan pantas, model ini mampu dicas 80 peratus dalam masa 54 minit.
Luaran Ioniq Electric (2019) menerima beberapa perubahan kosmetik pada gril, bampar depan dan belakang, lampu depan LED dan belakang supaya tampak segar dan dinamik. Hyundai turut memberikan rim 16-inci dengan paten baharu. Ada sembilan warna ditawarkan: Fluidic Metal, Electric Shadow, Liquid Sand, Typhoon Silver Phantom Black, Polar White, Iron Grey, Intense Blue dan Fiery Red.
Sejak diperkenalkan pada 2016, lebih 60,000 unit Ioniq sudah terjual. Angka tersebut biasa sahaja jika dibandingkan kereta konvensional, tetapi cukup besar dalam segmen EV.
BACA >>> Albert Biermann - Orang Kuat i30 N dan Stinger Kini Dilantik Ketua R&D Hyundai-Kia!
Leave a Reply